MEMENUHI jalan sekitar Bandar Seri Putra.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Kempen kesedaran kanser dalam kalangan wanita sering kita dengar, namun buat kaum Adam, rasanya jarang sekali.

Sedangkan golongan itu juga tidak terkecuali wujud risiko kanser antaranya kanser paru-paru, prostat dan kolorektal.

Justeru, bersempena kedatangan November disifatkan bulan kesihatan khusus untuk lelaki, Bangi Heights Development mengambil inisiatif menganjurkan kayuhan santai Fun Ride Movember 2018 sebagai sokongan terhadap kempen berkenaan.

Dalam kayuhan sejauh 15 kilometer itu peserta mengelilingi bandar baharu terbabit bermula dan berakhir di depan pejabat korporat berkenaan.

Ketua Subsidiari Bangi Heights Development, Hadyan Ibrahim berkata, pada awalnya pihaknya bercadang menganjurkan kayuhan bulan lalu sebagai menyokong kempen kanser wanita tetapi terlalu banyak program serupa berlangsung ketika itu.


MEMENUHI jalan sekitar Bandar Seri Putra.

“Ketika kami mencari kempen sesuai dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), kami menyedari Movember merujuk pada badan sukarelawan antarabangsa yang memberi perhatian kepada isu kesihatan lelaki termasuk kanser.

“Ia sesuai dengan objektif program kami yang mahu penduduk Bandar Seri Putra dan sekitarnya mendapat maklumat serta mencetuskan kesedaran golongan lelaki khususnya supaya perlu lebih sensitif terhadap kesihatan mereka.

“Menariknya 90 peratus peserta kayuhan ini adalah lelaki dan mereka sedar kepentingan menjaga kesihatan apatah lagi yang mempunyai keluarga. Ini adalah antara bentuk tanggungjawab sosial korporat yang kami lakukan dalam menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.

Penolong Pengurus Besar Pengurusan Perbandaran Bangi Heights Development, Yasmin Daud, menjelaskan pihaknya menerima 190 penyertaan daripada pelbagai kelab basikal di bandar berkenaan serta kawasan berhampiran.


SAAT pelepasan.

“Acara kayuhan memang antara program yang kami anjurkan setiap tahun untuk penduduk Bandar Seri Putra. Namun, kelainan dalam kayuhan untuk tahun ini adalah penyertaan juga dibuka kepada penduduk di luar bandar ini sebagai usaha kempen Movember.

“Kami juga kali pertama bekerjasama dengan NCSM, selain mendapat sokongan penuh syarikat induk iaitu UMLand. Kami mahu kayuhan sebegini diadakan lagi tahun depan pada skala lebih besar,” katanya.

Peserta dari Semenyih, Mohd Hassan Abdullah dan temannya, Hafifi Basir berkata, program terbabit patut terus diadakan kerana mempromosikan gaya hidup sihat, selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam.

“Kami memang menyukai program sebegini kerana dapat mengenali lebih ramai komuniti basikal lain. Istimewanya, ia bukan sekadar untuk berseronok sebaliknya mempunyai mesej penting iaitu mengenai bahaya kanser terhadap lelaki,” katanya.

Bercakap mengenai cabaran laluan, Hafifi berkata, ada tiga bukit yang perlu diharungi peserta dan ia menambah keseronokan kayuhan kerana mereka cuba mempamerkan prestasi terbaik.

“Bagaimanapun, laluan berbukit itu tidak sukar kerana bukitnya landai dan sesuai untuk semua peringkat termasuk mereka yang baharu berjinak dalam acara basikal,” katanya.


TIDAK ketinggalan komuniti basikal lipat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 6:01 AM