KELUARGA kecil Emmi Shahhida.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Menyaksikan perkembangan proses pembelajaran seorang murid buta huruf pada usia 10 tahun, yang akhirnya berjaya membaca dan lulus sekurang-kurangnya satu subjek dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2013, satu pengalaman indah buat Emmi Shahhida Marzuki.

Bergelar pendidik di sebuah sekolah rendah di Seri Kembangan, wanita berusia 35 tahun ini menyifatkan kerjaya berkenaan membuka ruang untuk dia membentuk lebih ramai anak bangsa berdaya saing.

“Sebenarnya saya tidak pernah memiliki impian untuk menjadi guru, namun rezeki itu diterima sebaik saya menamatkan pengajian.

“Saya berterima kasih atas sokongan dan dorongan suami dan keluarga supaya terus bersemangat untuk menggalas tanggungjawab ini.

“Suami, Yuraimy Yakimin Abdul Talib, 35, pendidik subjek Elektronik di sebuah kolej di Beranang.

“Meskipun berbeza tahap institusi pendidikannya, kami saling memahami dan bertolak ansur dalam menguruskan keluarga.

“Saya dan suami sering bertukar-tukar pendapat untuk mempertingkatkan kaedah pengajaran dan pemudah cara (PDPC) demi membantu anak bangsa.


PIKUL tanggungjawab menguruskan anak secara adil.

“Selain itu, selain berkongsi cerita, masalah mahupun isu berbangkit berkaitan tempat kerja, kami turut saling membantu bagi menyempurnakan satu-satu tugasan.

“Suami adalah ‘orang kanan’ yang sering membantu saya melakukan projek dalam pertandingan anjuran sekolah.

“Contohnya, ketika berlangsungnya karnival, suami dengan rela hati menawarkan diri sebagai jurulatih bagi sukan memanah,” katanya.

Memiliki jadual padat di sekolah dan kolej, pasangan ini mengamalkan sistem pembahagian masa dalam memastikan pengurusan empat cahaya mata berusia tiga hingga 10 tahun tidak terabai.

Kekangan masa bersama keluarga mendorong pasangan ini memperuntukkan waktu malam mendidik anak termasuk memantau kerja sekolah dan membaca buku bersama-sama.

Pengalaman sebagai guru memberi kelebihan kepada Emmi Shahhida untuk membantu anaknya dalam pelajaran.


HABISKAN masa berkualiti bersama-sama.

“Kami mengambil pendekatan berbeza kerana di rumah, kaedah pembelajaran secara satu kepada satu.

“Jika di sekolah, mereka sudah menerima ilmu, jadi saya perlu memberi kefahaman lebih kepada anak melalui bertanya soalan tidak difahami di rumah.

“Selain fokus pada pelajaran anak, kami turut melakukan aktiviti santai bagi menghabiskan masa berkualiti bersama-sama,” katanya.

Menyifatkan sambutan Hari Guru dan menerima penghargaan daripada murid sebagai satu acara istimewa, Emmi Shahhida tidak menafikan amanah disandangnya memiliki cabaran tersendiri.

Sebagai guru dan ‘ibu’ kepada murid, wanita ini mengakui berdepan cabaran membentuk generasi muda berakhlak dan bersahsiah tinggi, bukan saja dari aspek akademik bahkan sosial serta masyarakat.


DIDIK anak di rumah guna pendekatan ‘satu kepada satu’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 6:01 AM