MEMENUHI jemputan stesen televisyen.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Pengasas Drabot, Dafizal Derawi, tidak pernah berahsia bahawa minatnya terhadap robot membawa kepada detik perkenalan dengan pasangan hidupnya iaitu Nurul Dayana Salim.

Lebih bermakna, minat yang subur sejak zaman kanak-kanak itu kini menjadi kerjaya, malah diwarisi anak tunggal pasangan berkenaan, Darwish Shah.

Darwish Shah mempunyai kecenderungan dalam bidang robotik meskipun usia kanak-kanak itu baru lima tahun.

Menerusi foto yang dikongsi Dafizal, dapat dilihat Darwish Shah tidak kekok mengendalikan robot kerana bapanya memberi pendedahan ilmu itu seawal usianya dua tahun.


DARWISH tidak kekok mengendalikan sistem pengaturcaraan.

“Anak kami memang menunjukkan minat dalam dunia robotik sejak kecil memandangkan ketika dia lahir, kami membuat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang berkenaan.

“Dia mempunyai pengalaman dengan robot kerana sering melihat kami membangunkan teknologi itu sejak awal usia. Setakat ini, pemahaman atau ilmu dimiliki Darwish Shah membolehkan dia dapat mengesan apa akan berlaku apabila robot gagal berfungsi.


DARWISH mewarisi minat dan skil ibu bapa.

“Ketika usianya dua tahun, Darwish tahu mengawal robot darat dan sekarang didedahkan pula dengan ‘3D modelling’ yang menggunakan pen tiga dimensi (3D) serta pengaturcaraan menggunakan blok (drag and drop method). Dia juga dapat membezakan antara robot dan bukan robot,” katanya.

Berkongsi kisah menarik di sebalik keghairahan dalam bidang robotik, kata Dafizal, isterinya paling banyak memberi dorongan dalam bidang teknologi berkenaan.


DAYANA dan Darwish antara penyokong kuat Dafizal.

“Ketika di Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTM KL), saya memegang jawatan sebagai Presiden Kelab Penyelidikan dan Inovasi serta ketua pasukan robotik UTM KL pada 2008. Sebenarnya saya mengenali isteri dalam bengkel robotik anjuran kelab berkenaan.

“Dalam tempoh yang sama, saya sering mewakili UTM KL dalam pertandingan robotik dan menjadi pengajar untuk bengkel robotik anjuran kelab berkenaan.

“Pembabitan isteri saya dalam dunia robotik pula lebih serius ketika kami melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di Australian National University (ANU) dan ketika itu kami sudah berkahwin.


KETIKA menuntut di luar negara.

“Dia sentiasa bersama-sama dalam setiap projek robotik yang membabit­kan saya. Ketika di ANU, kami mendalami ilmu berkaitan robotik udara (drone).

“Saya juga berjaya membina sistem navigasi untuk robot udara dan menjadi penyelidik serta tutor di sana selama setahun. Selepas itu, kami bersama-sama melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD pada 2013 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang robotik udara.


SERING dijemput memberi taklimat serta bengkel berkaitan.

“Lebih bermakna pada 2015, kami bertuah kerana dapat menjadi penyelidik pelawat di Autonomous Control Systems Laboratory Ltd di Chiba, Jepun iaitu sebuah syarikat pembinaan UAV di Jepun,” katanya.

Terbaru, pasangan itu dipelawa College of Engineering and Computer Science ANU untuk membuat demonstrasi robot dan bengkel pengaturcaraan pada 25 Ogos lalu.


TURUT berkongsi minat dengan masyarakat mengenai ilmu robot.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 2:54 AM