PERINGKAT awal pendakian Stok Kangri, trek landai menyusuri sungai yang berpunca daripada glasier cair di puncak gunung.
Mohamad Jono Hashim
metahad@hmetro.com.my

Pesawat yang berlepas dari Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi ke bandar Leh selamat mendarat di Lapangan Terbang Kushok Bakula Rinpoche selepas penerbangan singkat sejam setengah.

Perubahan ketinggian di Leh, sekitar 3,450 meter (m) dari aras laut, dikelilingi gunung-ganang dan padang pasir tandus, dengan hanya sedikit tumbuhan hijau, sangat pantas menyebabkan serangan sakit kepala, iaitu tanda awal ‘mabuk gunung’ atau masalah ketidakselesaan akut pergunungan (AMS). Sakit kepala penulis berlarutan sehingga terpaksa mengambil sebiji pil tahan sakit.


DARI udara, bandar Leh kelihatan seperti lembah yang dikelilingi gurun gersang bergunung-ganang.

Penyesuaian iklim di Genting Khardungla

Hari ini kami dijadualkan pergi ke Genting Khardungla untuk proses penyesuaian iklim. Dari hostel di tengah bandar Leh, kami memulakan perjalanan menaiki dua kenderaan melalui jalan sempit berliku di pinggir cerun bukit dan gunung. Semakin jauh meninggalkan Leh, jalan yang dilalui juga berubah daripada jalan berturap cantik ke laluan tanah cerun yang mendebarkan.

Genting Khardungla adalah puncak tertinggi (5,600m) di pertengahan jalan yang digunakan konvoi tentera India untuk ke pos kawalan di daerah pergunungan utara Kashmir bersempadan dengan Pakistan. Permit khas diperlukan untuk melaluinya.

Tujuan kami ke sana untuk membiasakan diri dengan persekitaran altitud tinggi dalam program penyesuaian iklim. Hanya dalam tempoh kurang satu jam, perjalanan sejauh 30 kilometer itu membawa kami naik mendadak dari altitud 3,500m di Leh ke 5,600m di Genting Khardungla.

Rakan pendakian kali ini ialah Azlee Mustafa, Majdi Muhammad, Mohd Izwan Hamzah, Nor Faizal Nordin, Choy Yin Ling, Fatt Chan Yuen, Pelita Lim, Barry Victor, Tan Wan Shin, Abdul Shukor Abdul Rashid, Muhd Khairul Shafee dan Zalina Mohd Som.


MENDAKI puncak Genting Khardongla.

Ada rakan yang tidak terkesan dengan ketinggian itu tetapi tidak kurang juga yang mengalami kesukaran, imbangan badan tidak stabil, kesukaran bernafas, hilang kemampuan walaupun hanya untuk melangkah keluar dari kenderaan.

Rakan yang kuat sempat memanjat bukit berdekatan untuk merakam pemandangan. Akibat perubahan altitud dan suhu drastik, penulis mengalami sakit kepala dan loya lagi. Rakan yang mengalami AMS teruk sejak tiba di Leh, menjadi semakin parah bila turut naik ke altitud tinggi secara mendadak.

Ekspedisi bermula

Kumpulan kami seramai 12 orang menaiki tiga van mini bergerak meninggalkan hostel ke lokasi permulaan pendakian di Kampung Stok terletak di ketinggian 3,600m. Bagaimanapun, Ling yang masih lemah akibat AMS mengambil keputusan untuk tidak turut serta.

Selepas melalui perjalanan selama 40 minit, kami disambut jurupandu, Jimmy, seorang gadis tempatan berdarah Tibet. Hari ini, kami dijadualkan bermalam di Kem Mankarmo (4,400m) yang terletak kira-kira 9km dari Kampung Stok.

Awalnya, trek santai menyusuri sungai yang berpunca dari glasier cair di puncak gunung. Sambil berjalan, Jimmy bercerita, dua minggu lalu dua pendaki India terkorban dalam perjalanan turun dari puncak kerana terjatuh ketika melalui kawasan glasier.

Trek terakhir menuju puncak selepas melalui glasier sangat getir kerana kami perlu melalui rabung batu dan laluan berbentuk zig-zag untuk mengelakkannya daripada terlalu curam. Kami lebih berhati-hati kerana dalam keadaan kepenatan melampau dan kekurangan oksigen, pendaki mudah hilang imbangan badan.

Ketika inilah teringat pesanan banyak pihak yang berulang kali mengingatkan bahawa dalam ekspedisi Stok Kangri, persediaan tenaga, oksigen dan mental bukan hanya untuk membawa pendaki sampai ke puncak, juga paling penting ia mesti cukup untuk membawa pendaki turun kembali ke base camp.

Tahun lalu ,Azlee membawa sekumpulan 15 orang pendaki dari Malaysia tetapi hanya seorang pendaki wanita yang berjaya tiba di puncak dan kembali semula. Ini adalah cubaan kedua bagi Azlee, Shukor, Faizal dan Izwan. Maka kami dapat gambarkan tahap kesukaran yang wujud di gunung ini.

Selepas pendakian sejauh 5km, kami berehat di perhentian pertama, Kem Changma (4,050m) untuk makan tengah hari. Namun ramai yang tidak berselera dek kepenatan dan loya. Nampak macam mudah tapi Stok Kangri memang memiliki kekejamannya tersendiri - kurang oksigen.

Akibat muntah beberapa kali, Zalina terpaksa berehat dan bermalam di Changma dan harus berpatah balik ke tempat permulaan pendakian esok.

Penulis menyambung perjalanan bertiga bersama Pelita dan Azlee. Pergerakan yang sangat perlahan selepas melepasi trek curam ini menyebabkan kami tiba di Kem Mankarmo hampir senja tetapi masih sempat mengerjakan solat jamak Zuhur dan Asar.

Namun, sebelum tiba di Kem Mankarmo , kami tertipu ilusi optik yang ditambah dengan kepenatan fizikal, mental dan emosi. Perjalanan yang disangka cuma memakan masa 15 minit rupa-rupanya berakhir lebih satu jam!

Makan malam yang disediakan memang banyak dan sedap belaka. Ada daging kambing, salad, sayur, sup, nasi, kuah dal dan lain-lain tetapi malangnya kami tiada selera. Penulis hanya menjamah sedikit nasi, daging kambing dan sup masam manis. Malam itu penulis tidur satu khemah dengan Shukor. Khemah terlalu sempit untuk dua orang dengan beg. Udara yang nipis menyebabkan penulis terjaga banyak kali untuk membuka zip khemah dan menyedut udara di luar.

Keesokannya, selepas sarapan, penulis memeriksa tahap kandungan oksigen dalam darah (SPO2) menggunakan Oximeter mudah alih. Bacaannya hanya 56 peratus. Orang sihat dalam keadaan normal sepatutnya melebihi 90 peratus.

Selain hilang selera makan dan sedikit isu pernafasan, penulis tidak berasakan apa-apa masalah besar dalam diri. Jimmy mengingatkan, hanya mereka dengan bacaan 80 peratus atau lebih dibenarkan meneruskan pendakian tapi dia tidak memaksa sesiapa menarik diri.

Kami mula bergerak meneruskan perjalanan sejauh tiga kilometer ke base camp. Selepas tiga jam, penulis dan Pelita yang ditemani Jimmy hanya mampu bergerak sejauh dua kilometer, pergerakan yang sangat perlahan.

Secara jujurnya penulis yakin boleh bergerak lebih pantas kerana pada peringkat awal dari Kem Mankarmo, penulis berasa rentak pergerakan adalah konsisten, boleh bernafas dengan baik dan kurang rasa penat, tetapi perlu memperlahankan rentak kerana menemani Pelita.

Akibat mendaki tidak mengikut kelajuan pergerakan dan kemampuan diri yang sebenar, akhirnya penulis keletihan, bernafas tidak menurut rentak yang optimum sesuai dengan keadaan badan sendiri. Apatah lagi dalam persekitaran oksigen yang nipis, keupayaan badan sangat rapuh, sedikit kesilapan strategi boleh membawa padah.

Kes serupa menimpa Khairul pada hari pertama ketika menemani Zalina. Akhirnya, pada ketinggian 4,700m, cuma sekilometer lagi untuk tiba di base camp, kami berhenti dan mula berbincang dengan Jimmy. Pelita akur dengan keadaan dirinya dan bersetuju apabila dicadangkan untuk tidak meneruskan pendakian.

Lama juga penulis berfikir apa yang terbaik, berperang dalam diri sendiri untuk membuat keputusan. Beberapa kali penulis pandang ke depan melihat keadaan laluan yang seperti tiada penghujungnya, terbayang penipuan ilusi optik semalam.


PENGARUH budaya Buddha Tibet jelas kelihatan di Leh.

Saat mula berasa sebak itulah penulis membuat keputusan yang tepat. Walaupun semangat membara, nyawa dan keselamatan paling utama. Penulis setuju berpatah balik ke Leh bersama Pelita dengan ditemani seorang pembantu, Sonam.

Pada hari kedua, sudah enam orang terpaksa menarik diri dan kami mengharapkan Shin, Shukor, Izwan, Majdi, Faizal, Azlee dan Baba untuk meneruskan cabaran seterusnya.

Pemeriksaan kesihatan

Selepas sejam berehat, penulis, Ling, Pelita dan Yuen mengambil teksi untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital S.N.M Sonam Norbu Memorial. Kami berempat menjalani saringan kesihatan dengan dengan caj RS5 (30 sen) seorang!

Hanya Ling yang diberikan suntikan dan preskripsi ubat untuk dibeli di farmasi, manakala penulis, Pelita dan Yuen dimasukkan wad dengan caj RS200 (RM11.30) seorang. Caj yang tidak dijangka!

Menggunakan peralatan hospital, bacaan SPO2 penulis disahkan amat kritikal, hanya 58 peratus manakala tekanan darah turun jauh daripada aras normal. Kami dimasukkan ke wad pelancong selepas menunjukkan simptom HAPE (High Altitude Pulmonary Edema atau edema paru-paru altitud tinggi). Ini adalah keadaan paru-paru membengkak disebabkan kehadiran cecair berlebihan yang menyukarkan pernafasan.

Kami segera diberikan bantuan oksigen, suntikan kemudian imbasan sinar X. Imbasan sinar X menunjukkan tanda paru-paru membengkak. Esoknya kami dibenarkan keluar wad apabila bacaan SPO2 masing-masing sudah melebihi 90 peratus selepas semalaman diberikan oksigen.

Seharian sehelai sepinggang di Leh, akhirnya beg sandang kami kembali bersama rakan-rakan yang tiba dari basecamp selepas menamatkan ekspedisi.

Alhamdulillah, semuanya baik. Rakan-rakan selamat balik, tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Penulis menjangkakan Shukor dan Shin yang berjaya menjejakkan kaki di puncak Stok Kangri. Rupanya hanya Izwan yang boleh tersenyum bangga.

Semua pendaki yang berjaya sampai ke base camp juga terpaksa mengambil bantuan oksigen untuk mengekalkan SPO2 masing-masing.

Masih banyak kisah yang hendak diceritakan. Maka, ikuti sambungan kisah perjalanan kami minggu hadapan!


KUMPULAN pendaki yang berjaya sampai ke Kem Induk Stok Kangri. Hanya Izwan (tiga dari kiri) yang berjaya sampai ke puncak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 2:52 AM