BERHENTI di Jambatan Ban Me Wat.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

‘Bukit Jahanam’ gelaran diberikan kepada trek beralun yang sentiasa mencanak, selain puncak yang berlapis-lapis ketika melangsaikan tugasan hari pertama kayuhan jelajah Buketa-Empangan Bang Lang-Betong-Iyerweng, Thailand.

Perit, senak dan ‘sehabis gear’ gambaran mudah cabaran ditempuh 14 ahli komuniti Jeli Epic yang turut disertai dua peserta dari Thailand ketika melepasi semua laluan bukit berkenaan sebelum berhenti rehat dan bermalam di rumah bot.

Kayuhan seawal jam 7 pagi dari pintu sempadan Buketa atau Bukit Bunga hingga Empangan Bang Lang itu sejauh 160 kilometer. Ia hanyalah separuh daripada jumlah keseluruhan jarak membabitkan 320 kilometer dari sempadan Bukit Bunga, Malaysia-Thailand hingga ke Iyerweng menerusi jalan dalam yang perlu dilengkapkan sepanjang tiga hari ekspedisi.

Menurut Pembantu Pengarah Program Ahmad Mokhtaruddin Mohd Nor, projek merentas sempadan Jeli-Thailand itu julung kali diadakan dan laluan berkenaan hanyalah berdasarkan panduan sistem kedudukan global (GPS).


RUMAH bot perhentian untuk peserta ekspedisi singgah berehat dan bermalam.

“Tiada dalam kalangan kami mengetahui secara spesifik laluan hinggalah hari perjalanan bermula. Atas sebab itu kami tidak jangka langsung hari pertama kami terpaksa menempuh laluan berbukit sangat curam dan berlapis-lapis.

“Namun demikian, kami perlu mengikut masa ditetapkan, apatah lagi laluan berkenaan sebenarnya juga alur gajah liar. Keadaan itu mendorong kami teruskan kayuhan walaupun ‘perit.’

“Selain itu sokongan kawan-kawan yang menyertai kayuhan juga sangat positif, selain peranan dua peserta dari Thailand sering menjadi pemudah bicara apabila berinteraksi dengan komuniti setempat.

“Biarpun kayuhan ini tidak mudah kerana genre ‘endurance’ selain merentas negara asing, kami sentiasa mematuhi prosedur ditetapkan pihak berkuasa tempatan,” katanya.


ISTIRAHAT bersama rakan.

Faktor lain, menurut Mokhtaruddin, membabitkan cuaca. Sejak hari pertama lagi, peserta terpaksa memulakan kayuhan dalam keadaan hujan pada jarak kira-kira 100 kilometer.

Lantas pihaknya mengambil langkah keselamatan sepanjang tempoh ekspedisi dan persiapan termasuk kenderaan iringan bertindak sebagai marsyal yang juga pengangkut aksesori gantian, selain bekalan makanan dan perubatan.


BERGAMBAR di puncak Iyerwaeng yang popular dengan awan nano atau awan ‘karpet’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 12:01 AM