PENGALAMAN pertama memasang rantai besi pada tayar van.
Rozek Ruzaini Ahmad Tajuddin

MELBOURNE yang terletak di tenggara Australia adalah antara kawasan yang mendapat perhatian pelancong dari seluruh dunia sepanjang tahun. Ia terkenal sebagai bandar raya pilihan bagi pengembara solo mahupun pelawat yang ingin membawa keluarga bercuti.

Oleh kerana Australia adalah negara empat musim, maka Melbourne adalah destinasi paling hampir untuk memperkenalkan ahli keluarga khususnya kanak-kanak kepada suasana baharu di luar negara.

Saya dan sahabat, Marlina Sabran yang membawa tiga anaknya, Ilman Syafiq, Farahanie dan Shayrah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tullamarine selepas penerbangan selama hampir lapan jam.

Usai pemeriksaan imigresen, kami mengambil van besar untuk ke apartmen dua bilik di Ali & Hill Accomodation @ Lighthouse, Elizabeth St. Selepas solat, kami keluar semula untuk membeli bahan masakan. Malam itu Ilman, Farahanie dan Shayrah menggigil kesejukan pada pengalaman pertama berada dalam persekitaran suhu sembilan darjah Celsius.

Keesokan paginya, selepas bersarapan nasi goreng, kami memulakan percutian dengan berjalan ke Queen Victoria Market yang terletak sekitar 400 meter dari apartmen. Kalau mahu ke sini, dinasihatkan pergi awal kerana pasar ini beroperasi dari jam 6 pagi hingga 2 petang dan ditutup pada setiap Rabu.

Queen Victoria Market terkenal dengan jualan barangan basah seperti sayur dan buah. Paling penting, harganya murah dan banyak pilihan. Ada juga cenderamata Australia yang dijual pada harga berpatutan.

Petang pertama kami diserikan dengan hujan renyai. Kami redah juga untuk meninjau beberapa blok bangunan berdekatan apartmen. Oleh kerana hujan semakin lebat, saya dan Marlina berhenti menikmati churros bersama sos karamel di QV Mall.

Sebelah malamnya, kami singgah di pasar raya Hometown Asian yang menjual barangan dapur untuk masakan Asia. Pelbagai barangan masakan dari Asia termasuk Malaysia boleh didapati di sini, antaranya produk Adabi, Kicap Kipas Udang dan rempah ratus.

Hari kedua di Melbourne, kami perlu mengambil sendiri campervan yang sudah ditempah melalui dalam talian. Dalam perjalanan ke Marysville yang mengambil masa kira-kira tiga jam, kami singgah di Healsville mencari barang dapur untuk dimasak di dalam van.

Perjalanan ke Marysville agak perlahan kerana hujan renyai sepanjang jalan. Marysville adalah tapak perkhemahan kami sebelum ke Lake Mountain keesokan harinya. Dalam 20 kilometer sebelum tiba di Marysville, kami berhenti di sebuah kedai yang menyediakan perkhidmatan menyewa pakaian salji.

Sebenarnya, kita tidak perlu membeli dan membawa peralatan serta pakaian tebal untuk bermain salji. Di sini ada banyak kedai yang menyewakan peralatan ini untuk pelbagai peringkat umur. Ini termasuklah toboggan, jaket dan but.

Kami menyewa tiga pasang penuh pakaian salji, dua pasang but dan rantai tayar pada harga AUD175 yang perlu dipulangkan pada keesokan hari sebelum jam 7 malam. Pemilik kedai itu juga menunjukkan cara memasang rantai besi pada tayar van. Kami tiba di tapak khemah Marysville jam 7 malam dalam hujan yang masih renyai.

Suasana pagi di Marysville yang damai dimeriahkan dengan kicauan burung. Marysville terkenal dengan kepelbagaian spesies burung seperti pilot bird, golden whistler dan yellow robin selain air terjun Kepples yang nyaman. Hari itu kami meneruskan perjalanan ke Lake Mountain untuk memberi pengalaman bermain salji kepada Ilman, Farahanie dan Shayrah.

Rancangan untuk memulakan perjalanan pada jam 9 pagi tertunda ke jam 10.30 pagi kerana laluan ditutup sementara akibat jalan diliputi salji tebal. Kami juga sudah siap sedia dengan rantai besi untuk dipasang pada tayar van sebagai langkah keselamatan memandu di atas salji dan jalan raya yang licin.

Pemandangan ke Lake Mountain cukup indah. Kami terpukau dengan keindahan pokok pain yang gondol dan tinggi menjulang. Lebih indah apabila ia dihiasi dengan taburan salji memutih di dahan dan rantingnya.

Selepas membayar AUD56 di kaunter masuk Lake Mountain, kami dikehendaki memasang rantai besi pada tayar hadapan van. Ini sebagai langkah keselamatan mengelakkan van tergelincir semasa memandu di atas jalan berais ataupun diliputi salji tebal. Ia juga pengalaman pertama saya memasang rantai tayar dengan bantuan Ilman dan Marlina.

Perjalanan kami diteruskan lagi sekitar 20 minit pada kelajuan 30km/j. Pada kelajuan itu dapatlah saya menikmati keindahan pokok pain yang diselimuti salji tebal. Lebih tinggi kami mendaki, lebih tebal salji memutih di dahan pokok pain itu.

Kami tiba di Lake Mountain Ski Resort sekitar jam 12 tengah hari. Ilman, Hanie dan Shayrah pantas mengeluarkan toboggan mereka, tidak sabar untuk merasai pengalaman pertama bermain salji di situ.

Semasa kami tiba di resort ski itu, salji masih turun. Semua pengunjung tidak kira umur begitu teruja bermain salji. Inilah masanya kanak-kanak membina orang salji, menggelungsur di atas salji dan bergambar sepuasnya.

Selepas lebih tiga jam ‘bermesra’ dengan salji, kami memandu turun sekitar jam 3.40 petang. Kami perlu tiba di bawah sebelum jam 6 untuk menghantar peralatan yang disewa dan meneruskan perjalanan ke Phillip Island yang akan mengambil masa dua setengah jam.

Campsite nombor 16 di Phillip Island menjadi penginapan malam kedua kami di dalam van. Kami perlu membayar sewa tapak sebanyak AUD70 untuk lima orang.


SHAYRAH yang teruja dengan keindahan tapak perkhemahan di Marysville.

Maru Koala and Animal Park yang terletak dalam 19 kilometer dari Big 4 Phillip Island Caravan Park menjadi destinasi hari ketiga. Di sini pengunjung boleh memberi makanan kepada kanggaru, wallaby dan haiwan Australia yang lain. Kami tidak melepaskan peluang bergambar bersama kanggaru dan koala.

Jam 2 petang, kami beredar dari situ dan menikmati makan tengah hari di hentian tepi laut tidak jauh dari The Nobbies. Dalam cuaca nyaman dan pemandangan indah, selera begitu terbuka walaupun hidangan yang ada cuma nasi panas berlaukkan sambal sardin.

The Nobbies adalah batuan paling besar dan menjadi pusat ekopelancongan di Point Grant. Di situlah tempat koloni 16,000 anjing laut di Australia. Pelancong hanya dibenarkan berada di atas laluan kayu supaya tidak mengganggu koloni haiwan itu.

Perjalanan dilengkapkan dengan mengunjungi Penguin Parade dengan tiket masuk AUD120 bagi empat dewasa dan seorang kanak-kanak. Kami perlu berada di sana sebelum jam 6 petang dan penguin akan mula naik ke darat sekitar jam 6.30 petang.

Apabila hari semakin gelap, cuaca juga semakin sejuk kerana kami berada di tepi laut. Kedinginan yang mencengkam memaksa saya menutup kepala dan tubuh dengan jaket tebal. Dari jauh kami dapat lihat sekumpulan penguin kecil naik terkedek-kedek ke darat. Comel!

Bagaimanapun kecomelan penguin tidak mampu melawan kedinginan dan kami mengambil keputusan untuk pulang. Dari tempat duduk ke pintu keluar, kami masih dapat melihat penguin berjalan masuk ke sarangnya. Ada ribuan kotak kecil yang menjadi tempat berlindung penguin pada waktu malam sebelum mereka ke laut semula pada waktu pagi.

Destinasi hari seterusnya ialah Great Ocean Road. Kami meninggalkan tapak perkhemahan pada jam 5 pagi untuk ke Terminal Feri Sorrento. Dari sini kami menaiki feri menyeberangi Teluk Ticonderoga ke Pelabuhan Queenscliff dengan bayaran AUD109 untuk van dan penumpang. Feri adalah alternatif laluan cepat dari Phillip Island ke Great Ocean Road dan perkhidmatannya bermula seawal jam 7 pagi.

Setibanya di Queenscliff kami berhenti di Pantai Ocean Grove supaya Marlina boleh menyediakan menu istimewa Aidiladha - rendang ayam menggunakan pes yang dibeli di pasar raya Hometown Asian. Juadah raya ringkas tanpa bunyi takbir yang merdu mendayu. Tiba-tiba hati rasa sayu terkenang ibu dan ayah di tanah air.

Perjalanan diteruskan lagi ke Port Campbell untuk melihat matahari terbenam di Twelve Apostles. Kami sempat tiba di sana sebelum jam 6 petang untuk menyaksikan warna keemasan senja di situ. Begitu indah ciptaan Tuhan. Pengunjung lain juga tidak melepaskan peluang mengabadikan foto di situ bersama rakan dan keluarga.

Twelve Apostles adalah sekumpulan tiang batu kapur yang cantik dan unik di tebing Port Campbell, terhasil dek hakisan angin dan hempasan air laut. Pada asalnya, ada sembilan tiang batu kapur namun satu sudah jatuh dan runtuh pada 2005. Syukur kerana dapat melihat kecantikan alam dan keajaiban ciptaan Allah di bumi Australia.

Sekitar jam 8 malam, kami menuju ke pekan kecil di Port Campbell untuk mencari tapak perkhemahan. Tidak sukar mencari tapak perkhemahan di sini kerana NRMA Port Campbell Campsite menyediakan banyak tapak pada harga AUD72 untuk kumpulan kami. Itu adalah malam terakhir kami di wilayah Victoria sebelum ke Loch Ard Gorge dan kembali ke Melbourne semula.

Loch Ard Gorge adalah tebing tepi laut yang dinamakan sempena kapal Loch Ard yang berlayar selama tiga bulan dari England ke Melbourne. Kapal yang membawa 54 orang penumpang itu karam di gaung berdekatan dan hanya dua penumpang yang terselamat.

Melihat keadaan ombak kuat dan angin kencang, tidak hairanlah jika kapal berkenaan karam di situ. Kami juga berpeluang melihat kesan hakisan angin selama ribuan tahun yang membentuk dinding tebing di The Razorback yang unik.

Kami habiskan masa selama dua jam di situ sebelum meneruskan perjalanan ke depoh campervan yang terletak satu kilometer dari lapangan terbang. Kami perlu memulangkan campervan sebelum depoh itu ditutup pada jam 7 malam.

Percutian menaiki campervan di Melbourne menambahkan pengetahuan kami mengenai geografi Australia. Perbezaan cuaca, bentuk muka bumi dan kesan alam sekitarnya memberikan pengalaman baru yang akan dikenang sepanjang hayat.


FARAHANIE gembira dengan orang saljinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 4:01 AM