PAKSAAN bertukar minat.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


GARA-gara arahan pihak atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak menggesa pegawai dan anggota menyertai acara kayuhan basikal sempena program komuniti, ‘Community Policing’ pada 2013, pasangan suami isteri ini terpaksa menyahut cabaran.

Bagi Asisten Supritendan Polis (ASP) Erny Yusnida Che Yusoff dan suami, Asisten Komisioner Polis (ACP) Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, pembabitan dalam sukan berbasikal bermula atas faktor terpaksa sebelum ia mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih positif.

“Kami terbabit dalam aktiviti ini ketika masih berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak apabila mantan Ketua Polis, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Shukri Dahlan menggalakkan semua anggota menyokong program komuniti kepolisan yang dianjurkan.

“Tidak dinafikan kami memulakan aktiviti ini atas dasar tugas, namun akhirnya ia menjadi minat.

“Tambahan pula, suami memberi sokongan padu supaya saya meneruskan sukan ini sekali gus kami dapat meluangkan masa berkualiti bersama selain mencuri waktu dalam kesibukan tugasnya.

“Aktiviti berbasikal ini bertambah rancak seiring dengan penubuhan Kajang Cycling Club pada 24 Mac 2018 sempena sambutan Hari Polis ke-211 peringkat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,” katanya.

Memiliki dua basikal, ‘mountain bike’ dan ‘road bike’, kekerapan pasangan ini melakukan sukan kegemaran bergantung pada kelapangan jadual kerja mahupun pada hujung minggu dan waktu malam.

Sering berbasikal di sekitar Kajang, Semenyih, Beranang dan Putrajaya, Erny Yusnida beranggapan aktiviti riadah ini membantu mereka berdua mengekalkan dan meningkatkan kecergasan, kesihatan serta ketahanan diri.

Menurutnya lagi, sukan berbasikal ini bukan saja mengurangkan ketegangan dan kegelisahan sebagai ibu dan wanita bekerjaya, bahkan merehatkan minda tatkala mengayuh basikal pada awal pagi mahupun waktu malam.

Bagi wanita ini juga, melakukan aktiviti bersama suami membentuk dirinya menjadi isteri yang lebih bertoleransi dan memahami tugasan, peranan serta kesibukan pasangannya apabila suami lebih terbuka untuk bercerita sepanjang kayuhan.

Berkongsi pengalaman menarik, Erny Yusnida menyifatkan pembabitan bersama dalam program anjuran Kajang Cycling Club termasuk Kayuhan Amal Rumah Anak Yatim Al Kitab, Fun Ride Sempena Mara Lasak KDNKA 2018 dan Selangor Industrial Ride 2.0 memberi impak kepada warga setempat, seterusnya mengeratkan hubungan antara awam dan polis.

Menafikan wujudnya perselisihan apabila berkongsi minat sama, pasangan ini meletakkan aspek hormat sebagai tunjang utama sekali gus mensejahterakan rumah tangga dan keluarga.

Sebagai isteri, wanita ini mengambil pendekatan memberi sokongan padu terhadap minat dan perkara diminati suami, terutama yang memberi manfaat kepada keluarga.

Dikategorikan wanita lasak apabila pernah mendaki Gunung Kinabalu (2010) dan Gunung Mulu (2012), Erny Yusnida mengakui dia dan suami turut memiliki impian untuk berbasikal di luar negara.


SERING berbasikal pada waktu malam dan hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 3:29 AM