AURORA Borealis wajib diburu sekiranya berada di Alaska.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Menempuh perjalanan sejauh 15 jam dengan penerbangan dari Boston menuju ke lokasi itu terasa seakan-akan penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke London. Jika ditambah tolak, jumlah jam penerbangan penulis dari Malaysia ke sana mencecah 36 jam!

Suatu penerbangan yang paling jauh yang pernah penulis lalui setakat ini. Semuanya, demi memenuhi impian untuk mengembara hingga ke hujung dunia.

Alaska! Sebuah negeri di Amerika Syarikat (AS) yang tidak asing mengenai kisah dunia salju serba dingin. Boleh dikatakan sepanjang tahun, mungkin penduduknya tidak dapat merasa ‘indahnya’ bahang matahari di negara beriklim tropika seperti di Malaysia.

Berada di New York dan Boston untuk beberapa hari, kemudian mengambil penerbangan domestik dari Boston ke Fairbanks iaitu salah satu bandar utama di Alaska, sememangnya satu perjalanan yang meletihkan. Mujur, perlu transit selama tiga jam di Chicago, dapatlah penulis berehat seketika.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Fairbanks, rata-rata penumpang di dalam pesawat bersama penulis tadi mula menyarungkan jaket tebal.

Penulis pula hanya memakai baju sejuk biasa kerana di Boston, suhunya sekitar 15 darjah Celsius dan tidak begitu sejuk jika sudah banyak berjalan. Pada fikiran penulis, di Fairbanks juga begitu.

Namun, dalam masa 10 minit berada di luar lapangan terbang, hingus yang meleleh sejak berada di Boston, menjadi keras! Teori mengenai suhu di Fairbanks yang berlegar di fikiran ketika di dalam pesawat sebentar tadi ternyata meleset sama sekali kerana jam pintar di tangan jelas mencatatkan suhu semasa mencecah negatif enam darjah Celsius.


PEKAN kecil yang menenangkan di Fairbanks.

Jika difikirkan secara logiknya, ketika penulis melawat bandar itu pada penghujung Mac, musim bunga baru bermula tetapi di Alaska perkara itu tidak berlaku sama sekali.

Kala berada di luar lapangan terbang pada sekitar jam 6 pagi waktu tempatan, penulis ‘dibelanja’ keindahan langit yang bersih tanpa secalit awan. Lebih indah, kelihatan jelas bulan dan matahari berada seakan-akan sebaris.

Di persekitaran kawasan itu turut terlihat pokok-pokok diselaputi salji dan tapak parkir di lapangan terbang juga dipenuhi ais yang agak tebal.


SALAH satu monumen peringatan di Fairbanks.

Tujuan asal penulis ke Fairbanks untuk melihat sendiri Taman Negara Denali yang cukup terkenal dengan lembah hutan seluas 2.4 juta hektar.

Siap membuat persiapan di hostel, penulis memandu kereta sewa ke taman negara itu yang mengambil masa sekitar dua jam. Semakin menghampiri taman negara itu, semakin cantik panorama dihidangkan. Barisan gunung di kiri dan kanan dengan tompok salji di atasnya menghilangkan rasa penat memandu.


LALUAN pendakian di Denali turut mempunyai tanda amaran mengenai haiwan liar.

Sampai saja di taman negara itu, setiap pengunjung perlu mendaftar di pejabat pengurusannya. Pejabat itu juga menjadi tempat bertanyakan pelbagai perkara mengenai lokasi pendakian.

Renjer hutan yang bertugas memberikan maklumat secukupnya. Malah, mereka turut memberi cadangan mengenai lokasi terbaik untuk menikmati laluan hutan salji dan berada di atas tasik beku.


BERJALAN di atas tasik beku di Fairbanks.

Paling utama ialah penulis ingin melihat sendiri puncak gunung tertinggi di Amerika, Gunung McKinley, 6,190 meter dari aras laut yang tersenarai dalam tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia.

Walaupun seronok dan teruja tetapi penulis perlu mengakui berjalan di dalam hutan yang masih diliputi salji bukan sesuatu perkara mudah. Mujur mempunyai pengalaman mendaki di pergunungan Alps yang banyak membantu menerokai kawasan itu dengan lebih selamat.


PEMANDANGAN pokok luruh dan hamparan ais di taman rekreasi.

Usai menerokai di dunia hutan salji itu, keesokan harinya penulis membuat persiapan untuk memburu Aurora Borealis yang wajib diburu sekiranya mengunjungi Alaska.

Bukan mudah untuk mendapatkan sekeping foto terbaik kejadian alam itu kerana perlu berada di kawasan yang gelap dan langit tidak berawan.

Selepas beberapa malam berada di situ dan dicengkam kedinginan suhu serendah negatif 15 darjah Celsius, akhirnya penulis berjaya merakam satu gambar terbaik untuk kenangan.

Tidak sekadar Fairbanks, penulis juga berkesempatan mengunjungi satu lagi bandar utama di Alaska iaitu Anchorage yang mengambil masa sejam penerbangan dari bandar sebelum itu.

Di Anchorage, keadaan sejuknya juga membuatkan air laut di pesisir pantai dan sungai di bawah jambatan membeku. Pemandangan alamnya juga amat memukau.


SALAH satu sungai membeku di Anchorage.

Sebenarnya terdapat banyak kisah menarik mengenai Alaska. Bagaimanapun, ruang ini terhad untuk menceritakan semuanya.

Bagi sang pengembara, Alaska adalah dunia ais yang perlu diletakkan di dalam senarai lokasi wajib untuk dikunjungi. Anda pasti tidak menyesal, apatah lagi apabila dapat merasai sendiri berada di dalam kereta api yang menyodok ais. Selamat mengembara!


PANORAMA di Anchorage yang memukau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 9:01 AM