PAK Omar bersama pembantu menunjukkan pilihan menu ditawarkan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Rindu nasi lemak! Inilah yang dilalui penulis setiap kali pergi bercuti atau ditugaskan ke luar negara, biarpun untuk beberapa hari. Kerinduan terhadap sajian tradisional yang menjadi hidangan kebanggaan negara inilah yang menyebabkan penulis akan segera bergegas mencarinya sebaik menjejakkan kaki ke tanah air.

Entah kenapa nasi lemak yang dicari dulu, walaupun pada hari-hari biasa, sajian ini dinikmati sekali-sekala saja. Paling kerap mungkin dua atau tiga kali sebulan. Itupun apabila benar-benar teringin.

Namun, tarikan nasi lemak memang luar biasa, apatah lagi jika dibungkus dengan daun pisang dan kepedasan sambal ikan bilisnya memenuhi cita rasa. Tambah selera seandainya disajikan bersama kangkung celur atau tumis.

Nasi lemak ayam berempah di Pak Omar Nasi Lemak Champion di Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur antara yang berjaya menambat selera penulis. Malah, ia juga menjadi sebutan kerana menawarkan pilihan untuk mereka yang mementingkan kesihatan.

Rasa lemak pada nasinya juga tidak keterlaluan kerana ia dikukus bersama ramuan herba semula jadi seperti halia, serai dan daun pandan. Gandingan tiga bahan ini sudah cukup untuk membuatkan pelanggan tidak sabar hendak menikmatinya.

Lebih istimewa, pengasasnya iaitu Omar Chee juga tidak menggunakan gula dalam sajian lauk dan santan bagi menu rendang daging serta kambing minang.


ISTIMEWA nasi lemak ayam berempah dalam saiz jumbo.

“Saya adalah pelanggan setia kepada pemilik asal resipi nasi lemak kukus ini yang berasal dari Negeri Sembilan. Saya sukakan rasa nasinya yang enak untuk dinikmati sebarang waktu.

“Nasi lemak kukus dan kurang santan menjadi pilihan mereka yang mahukan sajian lebih sihat kerana kurang kolesterol. Oleh kerana nasi lemak menjadi santapan pilihan kebanyakan orang tanpa mengira masa, saya mahu menyediakan pilihan yang lebih baik untuk penggemar sajian ini.

“Bahkan lauk sampingan seperti sambal sotong dan lain-lain juga tidak menggunakan gula. Saya mahu mengajak pelanggan bersama-sama mengurangkan pengambilan gula dalam makanan.

“Bagi melengkapkan sajian, saya sediakan pilihan sayur seperti kangkung goreng, sambal petai, acar dan sambal bendi selain lauk pauk lain. Untuk rendang minang, saya gunakan yogurt menggantikan santan. Nampaknya penggunaan yogurt menyedapkan rasa masakan daging lembu dan kambing.

“Ini adalah cara saya untuk membantu pelanggan menikmati hidangan kegemaran mereka tetapi dalam versi yang lebih sihat,” katanya.

Lebih istimewa di restoran Nasi Lemak Pak Omar, pelanggan boleh menikmati pilihan hidangan disajikan secara kombo sesuai untuk hidangan tiga hingga empat orang. Selain nasi lemak, ia turut menawarkan mi Siam dan karipap rangup.


MENARIK pilihan lauk yang menarik dinikmati bersama nasi lemak kukus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 8:02 AM