AMIRUDIN (empat kiri) dan Juwairiya (lima kanan) turut berkayuh dalam program Bukit Melawati Exploride 2018.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Kuala Selangor cukup sinonim dengan Bukit Melawati yang terkenal kerana keunikan landskap dan monumen bersejarah hingga sentiasa menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan pelancong.

Malah, sekitar daerah ini ada pelbagai tarikan pelancongan lain seperti pejabat pos lama dan kelip-kelip di Kampung Kuantan. Sebagai destinasi tumpuan pelancong, usaha memperkenalkan Bukit Melawati dipelbagaikan dan dijalankan berterusan.

Sehubungan itu, Pejabat DUN Bukit Melawati dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Tourism Selangor, menganjurkan Bukit Melawati Exploride 2018 untuk memberi peluang kepada pengunjung tempatan dan pelancong menjelajah Kuala Selangor dengan lebih dekat, baru-baru ini.

Kira-kira 1,000 peserta terutama peminat sukan berbasikal, menyertai acara berkenaan yang secara tidak langsung menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.

Program kayuhan santai itu membabitkan dua kategori iaitu 20 kilometer (km) dan 50km dengan yuran penyertaan RM20.

Acara pelepasan disempurnakan Menteri Besar Selangor, Amirudin Sahri, seawal jam 7.30 pagi di kawasan letak kenderaan Asrama Pusat Pekan Kuala Selangor. Amirudin turut serta dalam kayuhan membabitkan laluan antaranya Pusat Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Bukit Rotan, Pejabat Pos Lama Bukit Rotan, Kelab Golf Kampung Kuantan, Sasaran Art, Pantai Remis, Cendol Bakar, Masjid Jamek Sultan Ibrahim dan Rumah Api Kuala Selangor yang terletak di atas Bukit Melawati.


ORANG ramai tidak melepaskan peluang berbasikal sambil bersantai menikmati destinasi pelancongan.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, selain destinasi menarik untuk pelancong, Kuala Selangor juga sering dijadikan lokasi aktiviti penggemar sukan berbasikal untuk berekreasi.

“Program berbasikal ini bukan saja sebagai inisiatif bagi mempromosi Kuala Selangor sebagai hab pelancongan di negeri ini, malah kami berhasrat menjadikan Bukit Melawati Xploride sebagai jenama dalam Pelancongan Selangor.

“Kelebihan acara ini apabila peserta sambil berkayuh dapat menikmati keindahan sekitar Kuala Selangor. Bukit Melawati juga mempunyai sejarah tersendiri apabila pada suatu ketika dulu, bukit ini pernah dijadikan pusat pentadbiran kerajaan dan benteng terawal Sultan Selangor daripada serangan musuh,” katanya.

Katanya, selain melihat pelbagai peninggalan sejarah seperti Batu Hampar dan Tangga Seratus, dari atas bukit itu juga pengunjung dapat menikmati pemandangan hampir keseluruhan Kuala Selangor dan paling indah adalah pada waktu matahari terbenam.


LALUAN membabitkan kawasan pelancongan pekan lama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 1:00 AM