KEINDAHAN pantai menuju ke jeti untuk ke Pulau Gili.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Pengalaman menjejak kaki ke Lombok, Indonesia tidak dapat dilupakan apabila menikmati keindahan pulau dan air terjunnya yang memukau.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok selepas tiga jam penerbangan dari Kuala Lumpur, rakan penulis yang terkenal dengan keramahannya ditugaskan sebagai jurucakap sepanjang empat hari tiga malam kami di sini.

Sepanjang perjalanan menuju Kepulauan Gili, antara lokasi pertama kami terpegun melihat masjid dan surau yang banyak dibina walaupun jarak antara satu sama lain sangat dekat.


TANAMAN padi antara sumber pendapatan penduduk Lombok.

Tersentuh hati penulis melihat apabila diberitahu Lombok diberi jolokan Pulau 1,000 Masjid kerana terdapat terlalu banyak masjid di Lombok yang berkeluasan kira-kira 5,000 kilometer persegi kerana hampir 90 peratus penduduknya adalah beragama Islam.

Malah, dengan populasi lebih empat juta, setiap kampung yang dihuni masyarakat asalnya dikenali sebagai suku Sasak, mempunyai sekurang-kurangnya sebuah masjid.

Dalam perjalanan itu, penulis dibawa ke pusat industri kain tenun untuk melihat sendiri bagaimana kain tenun dihasilkan secara tradisional.


MAKANAN tempe dan ayam antara yang popular di Lombok.

Difahamkan, kerja menenun kain di Lombok hanya boleh dilakukan kaum Hawa dan menjadi kepantangan jika ia dilakukan oleh orang lelaki kerana dibimbangi sifatnya menjadi ‘lembut’.

Kami meneruskan perjalanan yang mengambil masa dua jam untuk tiba di jeti Kepulauan Gili. Bagi penulis ia perjalanan yang amat meletihkan, namun ia terubat apabila disajikan dengan keindahan panorama kawasan berkenaan.

Kepulauan Gili di utara Pulau Lombok, Indonesia terdiri daripada tiga pulau kecil iaitu Gili Trawangan, Gili Air dan Gili Meno.


PENULIS menaiki buaian yang terdapat di pesisiran pantai Pulau Gili Terawangan.

Pulau ini semakin mendapat tempat di hati pengunjung kerana keindahan pemandangan laut dan pasir putih indah dilengkapi batu karang serta kehidupan marin yang terpelihara.

Penulis berasa teruja melihat tiga pulau kecil dari jauh dan tidak sabar menjejakkan kaki ke situ dengan menaiki bot laju. Kami menginap di Gili Trawangan selama dua malam bagi merehatkan minda selepas penat bekerja.

Di pulau berkenaan tiada kenderaan berenjin seperti motosikal dan kereta sebaliknya pengangkutan utama adalah basikal serta kereta kuda yang dikenali dengan nama cidomo.


PENGANGKUTAN utama di Pulau Gili ialah cidomo dan basikal.

Cidomo digunakan bagi melindungi pulau ini daripada pencemaran dan kekal terpelihara keindahannya. Pengangkutan tradisional itu digunakan dengan kadar bayaran yang jauh lebih murah dan memelihara alam sekitar.

Gili Terawangan lebih besar dan meriah berbanding Gili Air, namun kecantikan dan keindahan dua pulau ini adalah sama. Kami berkesempatan melakukan aktiviti snorkeling. Untuk lebih berpuas hati, kami menyewa basikal mengelilingi pulau berkenaan.


KEINDAHAN pantai di Pulau Gili Trawangan.

Selepas bermalam dua hari di pulau itu, penulis dan rakan meneroka keindahan air terjunnya yang sangat cantik dan tinggi.

Kami menaiki kenderaan menuju ke air terjun Tiu Kelep dan Sendang Gile antara dua air terjun di Lombok yang bercantum membentuk satu aliran.

Perjalanan mengambil masa dua jam melalui kawasan pantai Senggigi seterusnya Bukit Malimbu yang menggamit kenangan penulis.


AIR terjun Sendang Gile.

Air terjun yang terletak di sebelah utara dalam Kawasan Taman Nasional Gunung Rinjani, antara lokasi tumpuan ramai penakluk rimba yang gemar melakukan pendakian.

Air terjun Tiu Kelep berada di atas air terjun Sendang Gile. Kemasukan air dari air terjun Tiu Kelep membuatkan aliran air terjun Sendang Gile setinggi 30 meter (m) lebih deras tetapi menyajikan pemandangan yang sukar dilupakan.


PENULIS (kiri) bersama rakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 1:15 AM