PEMANDANGAN penuh mencabar.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


SEBAIK saja menerima teks pesanan ringkas daripada mereka, penulis memohon untuk mendapatkan gambar terbaik sepanjang ekspedisi bagi paparan di ruangan ini untuk perkongsian pembaca. Sememangnya rasa terkejut melihat foto kiriman mereka kerana laluan pendakian yang perlu ditempuh bermula 26 Jun sehingga 3 Julai lalu itu.

Ia menggambarkan betapa sukar dan perlunya ilmu pendakian yang cukup baik untuk menawan puncaknya yang termasuk antara tujuh puncak tertinggi di tujuh benua berbeza.

Gunung berkenaan yang dikenali sebagai Puncak Jaya atau lebih sinonim dengan panggilan Barat sebagai Cartenz Pyramid terletak di Irian Jaya, Papua, Indonesia dan puncak pilihan tertinggi bagi mewakili Benua Oceania berketinggian 4,884 meter.

Ekspedisi pendakian dianjurkan Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJA-M) itu disertai lima pendaki Malaysia iaitu Zainudin Lot, 42; Muhammad Illaham Ishak, 42; Ayob Yahaya, 55; Dr Zamri Jamingan, 50, dan Dr Mohazmi Mohamed, 50.

Menceritakan pengalaman pendakian ke puncak itu, Presiden KJA yang juga pendaki bersama ke gunung berkenaan, Muhammad Illaham berkata, menawan Puncak Jaya sememangnya bukan sesuatu yang mudah kerana pelbagai cabaran perlu ditempuh sepanjang ekspedisi berlangsung.

Beliau berkata, pendakian ke Puncak Jaya jauh berbeza dengan pendakian ke gunung tujuh benua yang lain kerana ia hampir sepenuhnya dalam keadaan menegak selain mereka perlu melakukan teknik mendaki tebing tinggi.

“Kami memulakan pendakian di Kem Induk Puncak Jaya, 4,100 meter (m) pada jam 2 pagi. Untuk ke kem induk saja satu cabaran berikutan keadaan cuaca sukar dijangka memberi kekangan kepada pergerakan helikopter yang menerbangkan kami dari Timika.

“Menggunakan laluan udara paling selamat untuk ke kem induk memandangkan laluan pendakian klasik sangat berisiko kerana pendaki perlu melalui beberapa kawasan perkampungan yang bergolak,” katanya.

Bagi mereka yang biasa melakukan ekspedisi pendakian gunung melebihi 3,500m sudah semestinya arif dengan cabaran pendakian disebabkan penyakit akut gunung (AMS) yang boleh berlaku pada ketinggian itu dan ke atas.


PEMANDANGAN di sekitar gunung.

Katanya, memandangkan aktiviti pendakian perlu dilakukan dari kem induk ke puncak dalam tempoh tujuh jam saja, mereka berdepan dengan simptom AMS kerana berlaku kejutan kekurangan oksigen dalam kalangan pendaki.

Tambahnya, selain kem induk, tiada lokasi yang sesuai untuk semua pendaki bermalam kerana keadaan muka bumi sepanjang pendakian berbentuk menegak dan berbatu curam.

“Dari kem induk ke puncak ada tiga seksyen utama yang boleh kami pecahkan iaitu antara 4,100m hingga 4,300m, kumpulan pendaki perlu mendaki tebing tinggi menegak. Lebih mencabar, apabila keadaan pendaki masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan oksigen yang menipis akibat berada di ketinggian itu dalam keadaan mengejut.

“Keadaan gelap dan teknik pendakian tebing menggunakan sistem tali keselamatan mendaki sememangnya menambah kesukaran untuk melepasi seksyen pertama itu,” katanya.

Katanya, bagi seksyen kedua membabitkan jarak 4,300m hingga 4,600m mereka perlu mendaki di celahan batu sempit dan berair serta mempunyai risiko batu jatuh.

“Dalam seksyen ini, keadaan semakin ekstrem kerana kami perlu bijak mengawal pergerakan menggunakan tali keselamatan yang dipasang kerana jika silap pergerakan risiko ditimpa batu adalah tinggi.

“Selain itu, kami juga perlu bergerak seberapa pantas yang boleh memandangkan masa dari kem induk ke puncak hanya boleh dilakukan dalam tempoh sembilan jam bagi mengelakkan keadaan lebih sukar ketika turun,” katanya.


MENITI di atas tali antara cabaran yang dilalui pendaki.

Bercerita berkenaan seksyen ketiga membabitkan ketinggian 4,600m dan 4,800m adalah paling mencabar berbanding dua seksyen sebelumnya kerana perlu melompat jurang batu dan meniti tali untuk meneruskan perjalanan.

Katanya, lebih mencabar apabila keadaan suhu ketika itu semakin rendah sehingga ke aras beku dan ketika itu salji sudah mula membasahkan laluan serta mengehadkan jarak penglihatan.

“Bagaimanapun, usaha yang kami lakukan selepas berdepan pelbagai kesukaran ke puncak, akhirnya berbaloi apabila seorang demi seorang peserta pendaki tiba di puncak bermula pada jam 12 tengah hari.

“Ketika di puncak rasa puas tidak dapat digambarkan dengan katakata kerana ini adalah kali kedua percubaan kami untuk menawan Puncak Jaya bagi melengkapkan pendakian gunung tertinggi di Oceania di mana pendakian pertama kami bertarung dengan cuaca untuk terbang ke Lembah Kuning dan kami pulang hampa selepas seminggu menunggu,” katanya.


MERAKAM kenangan bersama Jalur Gemilang di Kem Induk.

Muhammad Illaham berkata, untuk turun ke kem induk juga menjadi cabaran kepada setiap peserta kerana keadaan menjadi sukar serta perlu lebih berhati-hati memandangkan keadaan menurun adalah menegak.

“Saya adalah yang terakhir turun ke Kem Induk Puncak Jaya pada jam 11 malam. Meskipun pendakian ini hanya berlaku dalam satu hari, ia adalah ekspedisi yang sukar terutama untuk menyesuaikan diri dengan keadaan oksigen.

“Tambahan, bentuk muka bumi yang sentiasa menegak memerlukan kemahiran untuk aktiviti mendaki tebing tinggi,” katanya yang sudah melengkapkan pendakian ke puncak tertinggi dunia, Gunung Everest pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 12:41 PM