KUMPULAN pengamal perubatan Pusat Rawatan Islam Al-Manarah bermain salji di Taman Negara Ala Archa.
Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

Menempuh penerbangan selama lapan jam untuk ke Kyrgyzstan, dianggap amat berbaloi selepas menyaksikan keindahan alam semula jadi negara Asia Tengah itu yang berjiran dengan Kazakhstan dan Uzbekistan.

Ketika diminta ke negara Asia Tengah itu untuk membuat liputan kaedah rawatan perubatan Islam oleh sukarelawan dari Pusat Rawatan Islam Al-Manarah, penulis tercari-cari lokasi sebenar Kyrgyzstan di atas peta dunia.

Berdasarkan maklumat diperoleh menerusi carian di Google, penulis mendapati negara itu sebenarnya memiliki keindahan alam yang amat menakjubkan, malah perkara itu diakui beberapa rakyat Malaysia termasuk Anita Yusof, iaitu wanita yang melakukan pengembaraan solo mengelilingi dunia dengan menunggang motosikal.

Sebenarnya, perasaan teruja untuk meneroka keindahan alam semula jadi Kyrgyzstan bermula daripada dalam pesawat lagi, apa tidaknya penulis kagum melihat pemandangan gunung dilitupi salji yang sangat indah ketika mengintai dari tingkap pesawat.

Geografi Kyrgyzstan yang dikelilingi gunung-ganang bersalji hampir sepanjang tahun menyebabkan negara itu kekal dingin kerana angin sentiasa meniupkan udara sejuk dari tanah tinggi ke kawasan penempatan di desa dan kota.


KUDA menjadi ternakan utama di Kyrgyzstan.

Sebelum terbang ke Kyrgyzstan, rakan dari Pusat Rawatan Islam Al-Manarah memaklumkan mengenai suhunya yang dingin hampir sepanjang tahun, kediaman atau bangunan komersial di negara itu tidak dilengkapi kipas.

Perjalanan saya bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Almaty, Kazakhstan untuk transit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Manas di Kyrgyzstan.

Ketika menjejakkan kaki di balai ketibaan suasana lapangan terbang agak sunyi, jumlah penerbangan sudah tidak banyak kerana kami sampai pada jam 7 malam, namun bangunan itu tetap dikawal ketat oleh pasukan keselamatan termasuk anggota tentera memakai sarung muka (balaclava) bersenjatakan raifal Kalashnikov AK-47.


PELANCONG dari Indonesia mencucuk jarum untuk menandakan negara asalnya di Kompleks Ethno Supara.

Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke rumah penginapan di pinggir Bishkek iaitu ibu negara Kyrgyzstan, mata penulis tidak terlepas daripada menyaksikan pemandangan gunung-ganang meskipun jarak pemandangan tidak berapa bagus kerana hari semakin gelap.

Kepenatan menempuh penerbangan bagi tempoh yang panjang, penulis terlena tidak lama selepas tiba di rumah penginapan. Namun, pada hari berikutnya penulis berasa amat teruja kerana menyaksikan keindahan gunung bersalji dari tingkap bilik selain menikmati tiupan angin dingin dari tanah tinggi.

Penulis menggunakan kesempatan melihat sendiri keindahan negara itu, ternyata Kyrgyzstan memang indah seperti digambarkan.

Meskipun puluhan tahun berada di bawah pentadbiran Kesatuan Soviet, penduduk di negara ini agak mesra dan sedia membantu. Masalahnya cuma satu, tidak ramai yang tahu berbahasa Inggeris.


PELANGGAN boleh merasai pengalaman menjamu selera di dalam pondok yang dibina menggunakan lumpur di Kompleks Ethno Supara.

Jika di Malaysia, masyarakat kita memilih lembu sebagai ternakan, namun di Kyrgyzstan penduduknya menjadikan kuda sebagai sumber daging selain haiwan tunggangan.

Persinggahan pertama penulis adalah Taman Negara Ala Archa yang dilitupi salji hampir sepanjang tahun, sekali gus memberikan pengalaman bermain salji tanpa had kepada pengunjung yang singgah.

Taman negara seluas 194 kilometer persegi itu dibuka pada 1976, sejauh kira-kira 40 kilometer dari Bishkek yang dikelilingi gunung-ganang selain Sungai Ala-Archa.

Destinasi pelancongan ini amat popular dalam kalangan kaki gunung yang mahukan cabaran kerana permukaannya yang berais dan salji manakala ketinggian puncaknya antara 1,500 hingga 4,895 meter.

Taman negara itu turut menjadi habitat haiwan liar seperti harimau salji atau dipanggil ‘Ilbirs’ dalam bahasa tempatan, selain kambing gunung dan rusa.


ROTI bercorak menarik antara dijual di Osh Bazar, Bishkek, Kyrgyzstan.

Bagi yang mahu mencari cenderahati, Osh Bazaar di tengah-tengah Bishkek adalah persinggahan yang dapat memenuhi keinginan anda sambil melihat kehidupan seharian masyarakat tempatan dengan lebih dekat.

Antara barangan ditawarkan di Osh Bazaar adalah kekacang seperti pistachio, badam dan pelbagai lagi jenis kismis yang dijual pada harga murah.


KEUNIKAN pondok di Kompleks Ethno Supara.

Ketika singgah di Kompleks Ethno Supara, penulis sempat menjamah mi daging kuda atau ‘Beshbarmak’ yang amat popular dalam kalangan masyarakat tempatan.

Daging kuda popular dalam kalangan penduduk negara Asia Tengah ini kerana ia mengandungi khasiat tinggi, selain boleh memanaskan badan dan membekalkan tenaga untuk menempuh cuaca dingin.

Ketika dihidangkan Beshbarmak, penulis berfikir banyak kali sama ada mahu menjamahnya atau tidak kerana tidak pernah menikmati daging kuda sepanjang hidup. Cuak juga hati kerana ia tampak agak pelik.


MI daging kuda yang popular di Kyrgyzstan.

Memikirkan rugi jika tidak mencuba, penulis menjamah Beshbarmak, ternyata rasanya memang enak dan kesan paling ketara badan menjadi panas, sekali gus berasa selesa menempuh suhu dingin.

Bukan saja memiliki pemandangan alam semula jadi yang indah, gadis di negara itu juga cantik! Jadi jika melancong ke Kyrgyzstan jangan lupa ambil gambar kenangan bersama mereka.

Jika diberikan peluang untuk sekali lagi ke negara ini, pasti penulis tidak menolaknya, malah kesempatan yang ada akan digunakan untuk meneroka seluruh pelosok Kyrgyzstan.

Soal makanan terjamin kerana majoriti penduduknya adalah Muslim dan yang pasti anda akan puas bercuti di sini kerana kos sara hidup yang masih rendah membolehkan anda berasa seperti ‘orang berada’!


MENIKMATI mi daging kuda atau ‘Beshbarmak’ di Kompleks Ethno Supara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 1:46 PM