KEADAAN sibuk dan meriah di Times Square.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Langit biru terang menemani perjalanan kali ini. Cuaca nyaman, tidak terlalu dingin seperti mana yang pernah penulis lalui dalam beberapa kunjungan ke sini dulu.

Seperti biasa, lautan manusia yang cuba menghayati suasana di ‘jantung’ New York tidak pernah gagal menarik perhatian penulis. Mana tidaknya, Times Square yang tidak pernah tidur sentiasa bersedia menjamu pandangan pengunjung dengan cahaya terang daripada pancaran papan iklan digital.

Di sinilah anda boleh melihat curahan idea menarik yang dipaparkan dengan penuh kreatif. Kadangkala leka juga melihat iklan yang disiarkan tanpa henti di sini. Kagum dengan luahan kreativiti insan seni dari seluruh dunia yang berkumpul di sini.

FINANCIAL District menjadi pusat perniagaan dan kewangan terkemuka dunia

Sebut saja New York, Amerika Syarikat (AS), semua orang tahu. Semua teringin hendak ke sana. Ya, New York terkenal sebagai lokasi metropolis dunia yang kemeriahannya sering kali dipertontonkan di kaca televisyen hingga ia melekat di minda.

Apatah lagi berada di Manhattan, yang menjadi nadi New York kerana di situlah pelbagai syarikat gergasi antarabangsa memilih untuk mewujudkan ibu pejabat mereka.

Bagi penulis, pengembaraan kali ini lebih menarik berbanding kunjungan sebelumnya kerana kebetulan ketika ini adalah musim panas dan sudah tentu memudahkan untuk melakukan pelbagai aktiviti di bandar ini, terutama membeli-belah.

PEMANDANGAN senja di satu lokasi di Manhattan menampakkan Brooklyn dari jauh.

Bagi anda yang gemarkan aktiviti membeli-belah terutama bagi jenama kelahiran AS, Manhattan adalah lokasi terbaik kerana harganya lebih berpatutan dan beberapa jenama yang tidak dibawa masuk ke Malaysia mudah didapati di situ.

Tidak hairanlah ada yang terpaksa menggunakan beg tambahan untuk mengisi barangan dibeli. Nyata, penulis juga tidak terkecuali dalam mendapatkan kasut sukan kegemaran.

Musim panas di AS kali ini jatuh pada Ramadan dan sememangnya pengalaman berpuasa melebihi 15 jam di sini tidak terasa kerana ada saja perkara ingin dilakukan.

KEMEGAHAN World Trade Centre di tengah-tengah bangunan pencakar langit.

Selain Times Square yang tidak pernah lekang dengan kehadiran manusia dari pelbagai pelosok dunia, beberapa kawasan menarik turut penulis kunjungi.

Uniknya, Times Square boleh dikatakan antara kekuatan Manhattan bagi aktiviti pelancongan kerana di sini ada pelbagai daya tarikan kemodenan.

Papan iklan digital mengelilingi Times Square bukan sesuatu yang asing dan keindahan lampu menerangi jalan membuatkan malam bagaikan siang.

KOLAM peringatan mangsa tragedi serangan di World Trade Center.

Di kawasan itu juga dikelilingi dengan pelbagai bangunan pencakar langit dan ramai pengunjung mengambil kesempatan merakam kemeriahan panoramanya.

Kemudahan seperti kerusi santai membolehkan orang ramai menikmati pemandangan langit dan persekitaran.

Sekiranya mengunjungi New York, tidak lengkap jika tidak menyeberangi jambatan paling terkenal iaitu Jambatan Brooklyn yang menghubungkan dua bandar iaitu Brooklyn dan Manhattan.

Panorama indah kedua-dua bandar itu dapat disaksikan dari atas jambatan berkenaan. Pandangan ke arah Manhattan membawa anda menyaksikan pelbagai bangunan pencakar langit bagaikan satu ‘gugusan.’ Apatah lagi kebiruan langit yang memayungi pemandangan.

TERSERGAM gah bangunan pencakar langit di Manhattan dari atas Jambatan Brooklyn.

Jika sebelum ini, mengunjungi Brooklyn dengan berjalan kaki, kali ini penulis melalui jambatan itu dengan menaiki basikal yang boleh disewa di sekitar Manhattan. Ternyata menaiki basikal mengelilingi beberapa kawasan santai di Manhattan dan Brooklyn antara pengalaman menarik buat penulis.

Kelihatan ramai yang mengambil peluang pada musim panas ini untuk berjoging di atas jambatan itu. Laluan khas untuk berbasikal pula diwujudkan di atas jambatan itu supaya tidak mengganggu pejalan kaki yang bersiar-siar di kawasan berkenaan.

Kali ini juga, penulis berkesempatan mengunjungi taman dalam bandar Manhattan iaitu Central Park yang sangat popular. Berada di taman itu suasana tenang dapat dirasai.

LANDSKAP pelbagai warna di Central Park.

Di Central Park juga ada pelbagai jenis fauna dan flora yang menjadi tarikan pengunjung.

Melengkapkan pengembaraan, penulis turut berpeluang melawat Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terletak begitu hampir dengan tempat penginapan sepanjang berada di Manhattan.

SEBUAH dewan di dalam ibu pejabat PBB di New York yang menjadi lokasi ucaptama pemimpin dunia.

Ibu Pejabat PBB yang dibuka kepada orang ramai untuk kunjungan dikenakan bayaran dan di dalamnya pengunjung dapat melihat dewan-dewan utama yang sering dijadikan medan perbincangan pemimpin dunia.

Terasa bangga apabila melihat Jalur Gemilang berkibar megah di kawasan itu. Tambahan pula, ada cenderamata iaitu tepak sirih yang dihadiahkan Malaysia dan tersimpan rapi di dalam ibu pejabat berkenaan sebagai tatapan masyarakat antarabangsa.

PENULIS merakam foto di dalam PBB.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 4:00 AM