KERJASAMA Abd Halim dan Mufaizah.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Perumpamaan tepat menggambarkan kerjasama Ir Abd Halim Hashim dan Mufaizah Mohamad apabila saling mendorong antara satu sama lain.

Meskipun berjawatan sebagai jurutera, ia bukan alasan untuk Abd Halim mengelak daripada membantu isteri yang aktif dalam seni menjahit langsir.

Bertindak sebagai penolong, lelaki berusia 46 tahun itu melaksanakan tugas sukar dilakukan isteri seperti memasang langsir di rumah pelanggan, membuat ukiran, menebuk lubang, memasang rod kayu dan rel besi.

“Oleh kerana saya memiliki kerja tetap, saya cuba meringankan kerja isteri dengan pembahagian tugas mengikut kemampuan dan kemahiran sendiri.

“Tugas memilih fabrik, menjahit dan penyediaan aksesori langsir digalas isteri, saya pula mengambil kerja memanjat dan memasang. Melalui cara ini, kerja dapat dilakukan dengan teratur.

“Lebih menarik, kami seronok apabila melakukan kerja ini bersama anak-anak ketika cuti sekolah. Daripada mereka membazir masa, anak dapat mempelajari semangat kerja keras dan erti ketekunan daripada kami secara langsung.

“Selain itu, anak juga dapat menghargai usaha ibu bapa mereka dan turut serta dalam aktiviti bermanfaat, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Lebih menarik, mereka aktif mempromosikan perniagaan ini kepada kawan-kawan,” katanya yang kadangkala perlu berkunjung ke rumah pelanggan pada lewat malam.


DIDIK anak erti kerjasama.

Menurutnya, ilmu dan pengalaman sebagai jurutera awam memberi kelebihan kepada Abd Halim apabila sentiasa memastikan setiap pemasangan dan kedudukan rod kayu tepat dan sempurna.

Manakala Mufaizah mengakui mengikuti kelas jahitan langsir sejak lima tahun lalu atas sokongan suami.

Bermula dengan minat, wanita ini tidak menyangka berubah menjadi kerjaya bagi suri rumah sepertinya.

“Bermula dengan tempahan adik-beradik, lama-kelamaan makin ramai membuat tempahan.

“Bagi memastikan hasil kerja berkualiti, saya mengikuti banyak kelas jahitan.

“Selain suami menjadi pembantu setia, dia juga memberi galakan untuk mengisi masa lapang dan menjadikan cara untuk saya berseronok,” katanya.

Bagi Abd Halim, sokongan dan kerjasama terhadap usaha dan minat isteri adalah tanda penghargaan atas pengorbanan Mufaizah dalam memainkan peranan menguruskan keluarga.


WAKTU santai sekeluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 3:34 AM