Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Hampir setahun merancang untuk melancong ke Jepun, akhirnya impian penulis untuk berkunjung ke negara matahari terbit itu tertunai pertengahan April lalu.

Penulis bersama tiga rakan memilih Tokyo Disney Resort iaitu taman tema fantasi, Tokyo Disneyland, Tokyo DisneySea dan Ikspiari Mall sebagai destinasi percutian. Lebih manis, kunjungan penulis ke sana juga untuk menyambut ulang tahun kelahiran.

Ramai yang bertanya mengapa Tokyo Disney Resort menjadi pilihan untuk berehat daripada bebanan kerja kerana Jepun punya banyak lokasi lain yang menjadi tumpuan pelancong dari Malaysia seperti Osaka, Kyoto dan Hokkaido.

Setiap orang mempunyai cita rasa berbeza, bagi penulis taman tema fantasi Disney tidak kurang hebatnya. Penulis membesar dengan kartun Disney seperti Mickey Mouse, Minnie Mouse, Donald Duck, Goofy dan Pluto serta kisah dongeng Cinderella, Rapunzel dan Snow White.

Walaupun kartun dan kisah dongeng keluaran Disney berkenaan hanya hiburan, sebenarnya ia mendatangkan kesan kepada penulis kerana banyak pengajaran dan prinsip kehidupan dapat dipelajari.

Meningkat dewasa, penulis jarang dapat menonton animasi Disney disebabkan kesibukan tugas. Kiranya kunjungan ke Tokyo Disney Resort menggamit kembali memori zaman kanak-kanak yang meminati watak animasi Disney. Tambah lagi, ketika ini taman tema fantasi berkenaan sedang meraikan ulang tahun ke-35 dan banyak aktiviti menarik ditawarkan sempena sambutannya.

Penerbangan tujuh jam dengan All Nippon Airways (ANA) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Tokyo tidak rasa terganggu kerana syarikat penerbangan Jepun itu menyediakan perkhidmatan yang sangat selesa.

Penulis menghabiskan kebanyakan masa dalam penerbangan dengan menonton wayang gambar menerusi skrin kecil untuk setiap penumpang. Sajian disediakan juga halal dan penumpang boleh memilih satu daripada dua set makanan.

Kami tiba kira-kira jam 3 petang (waktu Jepun) dan mengambil perkhidmatan bas dari lapangan terbang terus ke tempat penginapan, Urayasu Brighton Hotel Tokyo Bay di bandar Urayasu dengan perjalanan sejam. Walaupun terdapat perkhidmatan kereta api, tetapi perlu tukar pengangkutan di tiga atau empat stesen.

Hari pertama di sana, penulis dan rakan menghabiskan masa pusing-pusing di sekitar penginapan di bandar Urayasu termasuk mencari tempat makan malam. Bagaimanapun, tidak banyak tempat yang kami lawati dan terpaksa pulang awal ke hotel berikutan cuaca amat dingin sehingga menusuk tulang walaupun memakai baju tebal.

Selepas bersarapan seawal jam 7 pagi, kami bersiap untuk ke Tokyo Disney Resort menaiki bas pengantara disediakan pihak hotel secara percuma. Perjalanan ke taman tema dari hotel kira-kira 15 minit.


SUASANA meriah di sekitar Tokyo Disneyland.

Sebaik tiba, kami sudah menggigil diterpa angin sejuk dari laut berhampiran. Bandar Urayasu dalam wilayah Chiba terletak di tepi laut dan disebabkan lokasi ini juga ia menjadi unik berbanding taman tema Disney di negara lain berikutan Tokyo DisneySea adalah satu-satunya yang ada di dunia setakat ini.

Tiket masuk dewasa ke Tokyo Disneyland dan Tokyo DisneySea masing-masing berharga 7,400 yen iaitu sekitar RM270 untuk pas masuk sehari. Bagaimanapun, pengunjung boleh memilih tiket pas masuk separuh hari atau pas masuk malam saja dengan syarat tertentu dan pada harga berbeza (kurang daripada harga pas masuk sehari).

Walaupun tiketnya bukan murah, tetapi memang berbaloi kerana kedua-dua taman tema fantasi ini terletak bersebelahan sangat besar dan luas kawasannya, di samping menyediakan banyak daya tarikan yang sesuai untuk semua usia.

Kami terpegun sebaik melangkah masuk ke Tokyo Disneyland kerana suasananya berubah seolah-olah masuk ke dalam dunia kartun. Tambah menarik, taman tema itu juga dihiasi landskap bunga-bungaan pelbagai warna yang sedang mekar dengan susun atur yang unik.

Tokyo Disneyland dibahagikan kepada tujuh kawasan bertema yang saling melengkapi tetapi setiap satunya mempunyai keunikan tersendiri iaitu World Bazaar, empat taman tradisional Disney (Adventureland, Westernland, Fantasyland, Tomorrowland) dan dua taman mini (Critter Country dan Mickey’s Toontown).

Difahamkan, Tokyo Disneyland menerima kedatangan 17.2 juta pelawat pada 2013 dan ini menjadikan ia taman tema kedua teramai pelawat di dunia selepas Magic Kingdom, Walt Disney World Resort di Florida, Amerika Syarikat.

Dengan ruang terbuka yang luas bagi menampung bilangan pengunjung yang ramai walaupun pada hari biasa, kami meneroka kawasan tema berkenaan berpandukan peta di pintu masuk. Peta itu sangat membantu supaya kita tidak tersesat selain dapat merancang melawat lokasi menarik dengan lebih efektif.


PERARAKAN kereta berhias dan persembahan tarian muzikal antara dinanti pengunjung.

Jalan di sepanjang World Bazaar dihias dengan tema perayaan dan di tengah-tengah taman ini berdiri monumen setinggi 10 meter dinamakan Celebration Tower. Penulis tidak ketinggalan merakam gambar di monumen yang menampilkan sembilan patung Mickey Mouse dengan kostum berbeza mewakili era berlainan dalam sejarah Disney Tokyo Resort.

Kami kemudian menjelajah dunia anak patung ‘Its a Small World’ yang mewakili budaya dari seluruh dunia. Ia antara tarikan wajib dikunjungi dan pengunjung akan menaiki bot menyusuri sungai kecil sambil dihidangkan persembahan nyanyian anak patung berkenaan.

Sesudah dihiburkan dengan persembahan anak patung, kami menuju ke jalan utama dan duduk di tepi jalan bagi menyaksikan perarakan kereta berhias Dreaming Up. Sepanjang 45 minit perarakan berlangsung, pengunjung disajikan persembahan tarian muzikal oleh 140 penari yang memakai kostum 55 karakter terkenal Disney.


PENULIS merakam kenangan di Celebration Tower monumen Mickey Mouse setinggi 10 meter.

Sebaik perarakan tamat, kami kemudian mengunjungi kedai manisan, Pastry Palace untuk menikmati aiskrim kon yang disertakan cenderahati sudu dengan motif Duck Family Chocolate Competition.

Kami turut mendapatkan coklat bertih beras, Chocolate Crunch yang popular sejak 1986 dan dimuatkan dalam tin khas, malah pengunjung boleh memilih tin daripada tiga rekaan untuk dibawa pulang. Pastry Palace dibuka dalam tempoh terhad iaitu sepanjang sambutan ulang tahun berlangsung hingga tahun depan.

Kemudian kami bergegas ke Tokyo DisneySea dengan menaiki monorail Disney Resort Line yang mengelilingi kedua-dua taman tema berkenaan. Uniknya, setiap gerabak dihias mengikut karakter Disney.

Sebaik tiba, kami tergesa-gesa mengambil tempat di Mediterranean Harbor untuk menyaksikan perarakan bot berhias Happiest Celebration On The Sea. Ini adalah persembahan dengan kombinasi pertunjukan bunga api, cahaya laser dan pemetaan video pada pancuran air.


ACARA malam pertunjukan bot berhias dengan kombinasi muzik dan cahaya.

Pengunjung sudah ramai berkumpul, namun kami berjaya mendapat lokasi strategik menyaksikan persembahan pada waktu malam yang menggabungkan kesan bunyi dan pencahayaan hebat menampilkan pelbagai watak filem Disney bersama lagu daripada runut bunyi filem masing-masing.

Selepas mendaftar keluar dari hotel keesokan hari, kami mengunjungi Ikspiari Mall di pintu masuk Tokyo Disney Resort yang menempatkan kira-kira 140 kedai dan restoran untuk mencari cenderahati barangan bertemakan watak Disney.

Kompleks ini sangat luas terdiri sembilan kawasan dengan setiap satunya mempunyai latar belakang cerita tersendiri seperti Traders Passage, Garden Site, Museum Lane dan Gracious Square.

Kami melangkah keluar dari Tokyo Disney Resort dengan 1,001 kenangan dan menuju ke bandar Tokyo untuk percutian seterusnya. Penulis rasa beruntung dapat mengunjungi taman tema itu ketika ia meraikan ulang-tahunnya berikutan pihak pengurusan menyediakan pelbagai tarikan baru dan magikal sepanjang setahun sambutan sehingga tahun depan.

Sekilas mengenai Tokyo Disneyland, ia adalah taman Disney pertama yang dibina di luar Amerika Syarikat dan dibuka pada 15 April 1983. Taman ini dibina oleh Walt Disney Imagineering dengan gaya yang sama seperti Disneyland di California dan Magic Kingdom di Florida serta dimiliki The Oriental Land Company yang mendapat lesen temanya daripada The Walt Disney Company.


BARANGAN bertema Disney boleh dibeli di Ikspiari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 11:08 AM