SUNGAI Swan.
Nor Aziah Sharif
noraziasharif@nstp.com.my


Cuaca panas menyinari terus ke Sungai Swan di Perth Timur, Australia Barat. Mentari gagah melepaskan sinaran terus ke air manakala bahangnya pula merebak ke persekitaran. Lantunan pancaran matahari pada permukaan air memaparkan pemandangan berkilauan. Kilauan itu pula membalikkan cahaya dan tampak seperti bintang di permukaan air sungai yang biru itu.

Penulis merenung fenomena ini di Sungai Swan. Sebenarnya fenomena ini berlaku di mana-mana, tetapi penulis yang tidak perasan kerana mungkin mengambil mudah akan keindahan kejadian alam. Kesibukan kerja dan mungkin juga kurang memerhatikan sungai yang dekat membuatkan penulis terlepas menikmati keajaiban ini.

Sungai Swan ibarat jantung yang mengalir mengairi barat daya Australia Barat dan di tengah-tengah bandar metropolitan Perth sepanjang 60 kilometer. Nama Sungai Swan mengikut orang asal Australia, Aboriginal Noongar ialah Derbarl Yerrigan.

Sememangnya pemandangan di sungai ini sungguh indah dengan gabungan landskap, taman bunga serta rumah penduduk yang melingkarinya. Keadaan ini mewujudkan suasana damai kepada pengunjung yang menjamu selera di restoran di pesisiran sungai ini.


TANGGA laluan dari jalan utama ke tebing Sungai Swan.

Perth Timur memang terkenal dengan hidangan yang enak. Cef menyediakan hidangan terpilih yang boleh dinikmati pengunjung sambil bersantai mendepani Sungai Swan. Inilah yang menjadi tarikan kerana ia sentiasa menjadi pilihan pengunjung untuk bersarapan, makan tengah hari atau malam.

Meskipun ada pelbagai menu, hidangan utama dan popular di sini adalah yang berasaskan sayur-sayuran. Hidangan berat pula ialah stik, ayam panggang atau aneka makanan laut.

Penulis ke Claisebrook Cove untuk makan tengah hari di restoran yang menghadap sungai. Demi menjamu selera bersama anak dan cucu dalam suasana segar, cabaran menuruni anak tangga tinggi dari paras jalan raya untuk ke restoran tepi sungai tidak terasa sukar meskipun ia menuntut keteguhan lutut yang semakin berumur ini.

Sesekali mengubah selera, penulis memesan roti bersama hidangan salad dan kopi cappuccino. Ramuan perisa yang dihidangkan bersama salad campuran pelbagai sayur dan kekacang ini menambah keenakannya.


TEMPAT duduk di luar restoran di pesisiran Sungai Swan.

Sengaja kami memilih kawasan di sini kerana damai dan tidak sesak seperti di pusat bandar Perth, apatah lagi cucu penulis dilahirkan pramatang dan tidak boleh berada di kawasan ramai orang untuk menjaga kesihatannya. Ini adalah kali pertama dia dibawa berjalan ke tempat awam.

Pemanduan dari rumah anak di Boya ke Perth Timur mengambil masa setengah jam melalui bandar Midland. Perkhidmatan awam seperti bas dan tren ke pusat bandar Perth boleh dinaiki di Midland. Boya ialah kawasan kediaman di kaki bukit yang dikelilingi hutan taman negara.

Bersesuaian dengan itu laluan untuk riadah berbasikal, berkuda atau joging dijaga rapi pihak berkuasa bagi membolehkan penduduk sekitar melakukan aktiviti jasmani. Laluan ini pada asalnya adalah landasan kereta api yang dikekalkan untuk landskap rimba.


RUMAH anak penulis di Boya.

Midland adalah di pinggiran kawasan metropolitan Australia Barat dan bandar tempatan City of Swan meliputi Lembah Swan dan sebahagian Darling Scarp ke arah timur. Midland diiktiraf sebagai bandar pinggiran kerana kedudukannya hanya 16 kilometer dari pusat bandar Perth.

Bandar ini kini ceria, sibuk dan menjadi tarikan penduduk di kawasan sekitar yang meluas. Pusat perniagaan berkembang pesat, namun kami mahu lari daripada kesibukan itu. Selesai makan tengah hari, kami berjalan-jalan di sekitar Claisebrook Cove sambil melihat rumah yang cantik di sekitar sungai dan landskap taman penuh bunga.

Di sini disediakan laluan pejalan kaki dan menjadi tempat menarik untuk merehatkan minda sambil berjalan santai di tepi Sungai Swan yang memanjang ke seluruh Perth. Selain restoran, boleh juga memanjakan diri di spa atau sekadar meninjau keunikan barangan yang terjual di sini.


LALUAN pejalan kaki di pinggiran sungai ke deretan restoran.

Penulis melihat laluan basikal dan trek berjalan di kawasan kehijauan Queens Gardens dan Wellington Square. Penulis turut berjalan di jambatan merintangi di atas Sungai Swan yang menyambungkan kedua-dua kawasan ini.

Rumah kediaman di sini cantik ibarat rumah percutian kerana kedudukannya yang menghadap sungai. Penulis membayangkan, jika tinggal di sini pasti setiap hari rasa seperti bercuti.

Bagi yang suka menikmati alam semula jadi, di Perth Hill disediakan trek, kolam air dan taman rimba. Semuanya disediakan untuk membolehkan penduduk menjalani hidup yang aktif dan seimbang.

Di sini ada beberapa tempat menarik yang boleh dikunjungi iaitu yang dibina pada 1899, memaparkan koleksi emas terbesar dunia dan paling terkenal ialah ketulan emas seberat 11.5 kilogram diberi nama Golden Beauty.

Tempat berehat di Queens Garden (Taman Permaisuri) gaya Inggeris dipenuhi bunga-bungaan pelbagai warna menarik. Bukan saja taman bunga, Perth Timur adalah kawasan penempatan awal penduduk dan masih mengekalkan banyak bangunan sejarah.

Jangan ketinggalan untuk mengunjungi pasar malam Twilight Markets yang menarik ramai pengunjung bermula jam 4.30 petang hingga 8.30 malam. Di sini ada banyak gerai yang menjual makanan organik, vegan dan vegetarian. Barangan lain dihasilkan peniaga tempatan seperti barangan kecantikan, keperluan rumah, seni dan kraf.

Untuk sampai ke sini, pengunjung boleh menaiki bas percuma Central Area Transit (CAT) berwarna kuning. Perkhidmatan bas ini percuma dari pusat bandar Perth. Penumpang boleh naik dan turun dari bas sebanyak mana yang dikehendaki tanpa perlu membayar tambang.


PENULIS merakam kenangan membelakangi rumah penduduk yang menghadap Sungai Swan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 3:44 AM