TREK licin tidak halang peserta pamer aksi terbaik.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Keadaan trek yang basah akibat hujan lebat sebelum perlumbaan bukan penghalang bagi 82 peserta Kategori Basikal Lumba Lelaki Terbuka dalam Kejohanan Kriterium Shah Alam 2018 untuk mempamerkan aksi terbaik, baru-baru ini.

Rata-rata peserta dilihat tidak mempunyai masalah untuk mencabar keupayaan diri dalam perlumbaan di sekitar Tasik Shah Alam bermula jam 5 petang anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang memerlukan peserta berlumba sejauh 26.4 kilometer.

Meskipun trek licin, ia tidak mendatangkan banyak masalah kepada pelumba pasukan Team Sapura Cycling, Mohd Izzat Hilmi Abdul Halil, untuk muncul juara kategori berkenaan sekali gus membawa pulang hadiah wang RM600.


AKSI pelumba PDRM sebelum perlumbaan bermula.

Menurut Mohd Izzat, perlumbaan boleh dikatakan mencabar kerana selain berlangsung dalam hujan lebat, trek digunakan adalah jalan raya untuk kenderaan bermotor yang banyak selekoh dan bonggol.

“Saya memberikan lebih tumpuan ketika berdepan selekoh kerana bimbang keselamatan diri. Namun, saya tidak memperlahankan kayuhan kerana pelumba di tempat kedua dan ketiga mengekori saya dengan rapat.

“Alhamdulillah berkat kesabaran dan usaha bersungguh-sungguh akhirnya saya berjaya mendapat tempat pertama dalam perlumbaan kali ini,” katanya.

Sementara itu, pelumba pasukan TSG Terengganu, Che Ku Mohammad Nazmie Che Ku Romli, berpuas hati berada di tempat kedua selepas tertekan berikutan jurang masa penangguhan perlumbaan yang lama kerana hujan.

Bagaimanapun, beliau berharap dapat menunjukkan prestasi lebih baik dalam kejohanan edisi tahun depan.


SERAMAI 82 peserta berentap rebut juara kategori terbuka lelaki.

Kejohanan juga mempertandingkan kategori basikal lumba dan kanak-kanak. Bagi kategori basikal bukit dan basikal lumba peringkat yang dipertandingkan adalah lelaki bawah 15 dan 18 tahun, lelaki junior master usia 36 hingga 45 tahun, lelaki senior master usia 46 tahun ke atas, terbuka lelaki dan terbuka wanita.

Bagi kategori kanak-kanak ‘Push Bikie’ pula terbuka kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia empat hingga lima tahun dengan jarak 100 meter.

Kejohanan Kriterium Shah Alam 2018 menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM11,950 membabitkan kira-kira 400 peserta. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Datuk Bandar MBSA, Shukri Mohamad Hamin; Ahli Majlis MBSA, Tan Ah Kow dan Timbalan Setiausaha MBSA, Rosli Bakar.

Ia juga antara usaha berterusan MBSA bagi membuka peluang kepada semua golongan di Shah Alam untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti sukan berbasikal seterusnya menggalakkan masyarakat mengamalkan kehidupan sihat dan cergas. Pada masa sama, ia membantu penilaian tahap prestasi pelumba, meningkatkan daya saing dan semangat kesukanan dalam kalangan peserta.


MOHD Izzat menerima hadiah daripada Shukri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 10:06 AM