VARVARA ketika bercuti di lokasi menarik di Malaysia.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Awalnya gadis ini hanya mengenali Singapura sebagai negara di Asia Tenggara. Ini kerana ketika kecil, dia sering mendengar lagu popular berkenaan sejenis makanan di Kota Singa itu yang dialunkan penyanyi Russia.

Lagu berjudul Tango Magnolia itu membuatkan Varvara mengimpikan untuk menetap di Asia Tenggara satu hari kelak. Impiannya tercapai apabila beliau menerima tawaran pekerjaan di Malaysia.

1. Kali pertama menjejakkan kaki di Malaysia dan tujuannya?

Saya datang ke Malaysia pada Mei 2010 dan itulah kali pertama kunjungan ke negara ini atas urusan kerja.

2. Sejauh manakah pengetahuan anda berkenaan Malaysia sebelum datang ke sini?

Saya tahu berkenaan Malaysia menerusi mata pelajaran Geografi di sekolah. Jujurnya, saya lebih tahu Singapura berbanding negara Asia Tenggara lain.

Malah, saya pernah menyimpan hasrat bekerja di Asia Tenggara dan sudah melakukan kajian di negara rantau ini sebelum memohon pekerjaan. Apa yang berlaku kemudian saya memperoleh tawaran pekerjaan di Malaysia dan terus bersetuju.

Dalam proses berhijrah, saya menyelidik maklumat asas berkenaan gaya hidup di Malaysia menerusi blog dan forum dalam Internet. Berdasarkan maklumat, saya tahu Malaysia adalah negara Muslim tetapi masih menghormati kepercayaan agama lain.

Selain itu, cuaca yang baik, kos hidup berpatutan, gabungan budaya yang unik dan pengangkutan moden adalah antara bekalan pengetahuan yang bermanfaat buat saya.

3.Cabaran yang anda hadapi sepanjang menetap di Malaysia?

Pastinya yang utama adalah masalah bahasa apabila berada di negara orang. Namun, saya mengatasinya dalam masa dua bulan kerana kebanyakan penduduk boleh bertutur bahasa Inggeris. Saya hanya sukar mahu membezakan gaya percakapan antara kaum Melayu, Cina dan India.

Kedua, sedikit kejutan budaya terutama dalam penyediaan makanan, kedai makan tepi jalan dan lokasinya. Ia berbeza dengan piawaian di negara saya yang sangat mementingkan kebersihan dan kesegaran makanan. Namun, saya membiasakan diri dengan suasana terbabit selepas enam bulan.

Selain itu, kurang kawalan serangga perosak di kawasan kediaman, penduduk yang tidak mematuhi peraturan jalan raya, berebut-rebut menaiki pengangkutan awam dan sikap membuang sampah di merata-rata walaupun di kawasan tempat tinggal sendiri.

4. Pengalaman menarik sepanjang berada di Malaysia?

Ketika menyertai program realiti televisyen dan saya berpeluang mengenali lebih dekat masyarakat pelbagai budaya di negara ini.

5. Destinasi kegemaran anda?

Cameron Highlands di Pahang dan Pulau Pinang

6.Sajian tempatan pilihan anda?

Rendang ayam, masakan Baba Nyonya dan air batu campur.

7. Malaysia pada mata anda?

Selepas tujuh tahun menetap di sini, saya percaya Malaysia mempunyai masa depan sangat cerah dengan kebangkitan generasi baru. Berlandaskan persepsi hidup berlainan, moden dan faktor lain seperti projek pelaburan mega, komuniti antarabangsa serta pembangunan pesat perniagaan.

Namun, perkembangan dan teknologi kontemporari datang lebih cepat berbanding 20 hingga 30 tahun lalu hingga menyebabkan sebahagian besar rakyat tidak mampu menanganinya. Seolah-olah, mereka mula menyesuaikan diri dengan peradaban Barat tapi tidak secara bijak. Mereka pasti berjaya jika mampu menyeimbangkan kemodenan itu.

Saya sendiri sayangkan Malaysia. Setiap daripada kita tidak sempurna, namun di Malaysia sesiapa pun layak berjaya. Malaysia antara destinasi tepat untuk mereka yang mahu maju. Menetap di Malaysia juga bersesuaian dengan jiwa saya dan itulah sebabnya saya masih terus mahu tinggal di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 8:47 AM