TANGGA tali yang perlu ditempuhi oleh pendaki Gunung Santubong
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian bentuk muka bumi sememangnya menjadi destinasi tumpuan penggiat rekreasi luar dari seluruh dunia.

Bagi peminat aktiviti mendaki gunung, nama Gunung Santubong biasanya termasuk dalam senarai wajib yang perlu ditawan.

Terletak kira-kira 35 kilometer dari Bandar raya Kuching, tapak pendakian di Bukit Puteri antara akses popular bagi pendaki ke Gunung Santubong selain pintu masuk di Taman Negara Santubong.

Gunung legenda yang terkenal itu mempunyai ketinggian sekitar 810 meter terletak di sebuah semenanjung kecil yang dinamakan Semenanjung Buntal dan memang popular dengan aktiviti pelancongannya.

Penulis berkesempatan ke Kuching baru-baru ini bagi menyertai kumpulan pendaki tempatan dalam misi ke puncak gunung legenda berkenaan.

Perjalanan dari Bandar raya Kuching ke Bukit Puteri mengambil masa selama 40 minit dengan menaiki kereta. Memulakan pendakian seawal jam 7 pagi, kami dibahagikan kepada kumpulan kecil dan di situlah penulis berkenalan dengan ahli kumpulan terdiri daripada Widia, Fatheen, Andy dan Lin.

Laluan pendakian Gunung Santubong ditanda dengan jelas, namun pendaki dinasihatkan agar tidak bergerak berseorangan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini seperti sesat atau andai berlaku kecederaan.

Fasa awal pendakian mudah di mana pendaki berjalan menyusuri akar pokok bertingkat seperti anak tangga kecil. Sambil berjalan di dalam hutan, pendaki juga boleh melihat jenis dan nama pokok melalui papan tanda yang disediakan.


LALUAN pendakian yang mudah dikenal pasti dan disediakan kawasan rehat untuk pendaki.

Hampir 45 minit berjalan, kami tiba di hentian pertama. Di sini ada meja dan bangku yang didirikan bagi keselesaan pendaki untuk berehat sebelum meneruskan sesi mencabar diri.

Selepas membasahkan tekak, kami meneruskan pendakian. Kali ini trek bertukar ke laluan berbatu dan menegak. Dari jauh jelas kelihatan tangga bertali yang dipasang untuk kemudahan dan keselamatan pendaki.

Mengerah sepenuh tenaga untuk memanjat tangga bertali antara cabaran fizikal yang harus ditempuh setiap pendaki Gunung Santubong.

Pemakaian sarung tangan sangat digalakkan kerana hampir setiap masa pendaki harus berpaut pada tali untuk memanjat dinding batu menegak 90 darjah dan melepasi halangan lain.


PENDAKIAN menggunakan tangga tali untuk melepasi batuan menegak

Setiap kali berjaya melepasi tangga bertali, kami menarik nafas lega namun ia hanya bertahan untuk seketika kerana di hadapan trek menegak yang menguji ketahanan sedia menanti.

Mengikut sejarah, pada abad ke-14 pusat komersial pentadbiran Sarawak ialah Santubong di mana Kuala Santubong menjadi pusat kunjungan saudagar dari timur dan barat untuk berniaga.

Penemuan pelbagai artifak di kawasan sekitarnya menguatkan lagi dakwaan bahawa ada kesan langsung perdagangan di Santubong terhadap penyebaran Islam dan Hindu di Sarawak.

Bagi pendaki yang kali pertama mendaki Gunung Santubong, aspek keselamatan sewaktu memanjat tangga bertali amat dititikberatkan.

Pergerakan harus berhati-hati kerana kecuaian boleh membawa kecederaan serius terutama jika terjatuh. Perasaan gayat juga harus diatasi kerana ketinggian tangga berbeza dari satu lokasi ke lokasi lain.


TINGGI tangga tali berbeza mengikut lokasi

Selepas dua jam memanjat tangga dan menggunakan segala tenaga yang ada, kami sampai ke puncak Gunung Santubong pada jam 10 pagi. Cuaca yang baik serta hembusan angin menyambut ketibaan kami.

Di puncak Gunung Santubong didirikan pondok kecil yang boleh memuatkan kira-kira 20 orang untuk berlindung ketika cuaca buruk.

Ada kawasan lapang dengan pemandangan menarik menghadap Sungai Santubong. Pada ketinggian 810 meter, kami dapat menyaksikan keindahan alam di samping ketenangan dan kesegaran udara yang bebas daripada pencemaran. Sekali-sekala terdengar deruman enjin pesawat melintasi ruang udara Kuching.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah masing-masing yang berjaya mengharungi rintangan lebih-lebih lagi pengalaman menaiki tangga tali yang mendebarkan.

Selepas berehat selama 30 minit kami memulakan perjalanan turun. Menuruni Gunung Santubong juga memerlukan daya ketahanan yang tinggi.


PEMANDANGAN Sungai Santubong dari puncak gunung

Jika tadi kami diuji dengan pendakian menegak, kali ini kami diuji untuk menuruni tangga yang sama dengan cabaran lebih getir.

Ini kerana sewaktu menuruni tangga, penglihatan pendaki untuk memijak dan meletakkan kaki pada tangga amat terhad dan berisiko tinggi untuk jatuh.

Oleh itu, pendaki harus berhati-hati dan tidak gopoh menuruni tangga berkenaan. Sewaktu perjalanan turun, kami bertemu beberapa kumpulan pendaki yang dalam perjalanan menuju ke puncak.

Dalam pertembungan itu, kami berhenti lama bagi memberi laluan kepada pendaki lain untuk memanjat tangga tali itu.

Kami mengambil masa dua setengah jam untuk sampai ke tapak pendakian Bukit Puteri bagi mengakhiri aktiviti kali ini. Secara keseluruhan, pendakian Gunung Santubong mempunyai cabaran dan pengalaman tersendiri yang berbeza dengan gunung lain.

Pengalaman memanjat tangga tali adalah sesuatu yang istimewa dan akan kekal terpahat dalam ingatan. Bagi pendaki yang ingin melihat keindahan Santubong, bersedialah secara fizikal dan mental bagi mengharungi perjalanan yang penuh cabaran, namun ia berbaloi apabila tiba di puncak.

Kepada Widia, Fatheen, Andy dan Lin meskipun baru sahaja berjumpa di trek, keakraban yang terbina bagaikan sebuah keluarga. Kenangan di gunung legenda ini pastinya tidak akan dilupakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 1:59 AM