MOHD Johari (berkemeja putih) bersedia melepaskan peserta.
Mohd Sharumnisham Shahbudin
metahad@hmetro.com.my

Hujan lebat menduga semangat 600 peserta Kubang Pasu Friday Night Ride 2017 menahan kesejukan malam untuk menamatkan kayuhan amat mencabar sejauh 30 kilomoter (km), baru-baru ini.

Bermula di Dataran Darulaman, peserta mengelilingi kawasan sekitar daerah Kubang Pasu melalui Jalan Jitra, Telok Malik, Gelong, Tasik Darulaman dan berbalik ke Dataran Darulaman.

Namun bagai malam penuh berkat, kayuhan sedikitpun tidak memenatkan lantaran mata asyik melihat suasana persekitaran yang mempunyai panorama menarik dengan limpahan cahaya neon biarpun badan basah disirami hujan.

Setiausaha Majlis Daerah Kubang Pasu, Syed Amaluddin Hafeez Syed Musa berkata, program ini dirancang bagi mempromosikan daerah Kubang Pasu sebagai destinasi menarik di Kedah.

“Untuk itu, Unit Pelancongan Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) dibentuk pada 2014 bagi merancang dan melaksanakan pelbagai program yang mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negeri untuk ke sini.


MERAKAM gambar di sekitar laluan utama Kuala Tunjang.

“Antara tempat menarik ialah Gua Kerbau, Makam Puteri Lindungan Bulan dan Kuala Tunjang. Suasana malam di pekan Jitra sentiasa meriah dengan gerai makanan sepanjang jalan turut menjadi tarikan pelancong,” katanya ketika ditemui selepas tamat kayuhan itu.

Beliau yang turut menyertai kayuhan berkenaan berkata, ini kali kedua pihaknya menganjurkan kayuhan waktu malam dan pada program kali ini yang juga mendapat sokongan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharom., disertai beberapa pasukan dari Thailand.

Mohd Johari berkata, aktiviti berbasikal beramai-ramai ini bukan sahaja menyihatkan, juga sebagai platform menyatupadukan peserta terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.


PESERTA melepasi bulatan yang menjadi mercu pekan Jitra.

“Usaha dilakukan oleh MDKP dalam memperkenalkan daerah Kubang Pasu juga harus disokong dan tidak berhenti di sini sahaja.

Program sebegini secara tidak langsung memberi maklumat kepada masyarakat tentang peranan MDKP yang lebih luas, bukan sekadar mengeluarkan lesen perniagaan dan kutipan sewa sahaja,” katanya.

Peserta daripada Pokok Sena, Razif Zakaria, 32, berkata, kayuhan malam ini adalah kali pertama buat dirinya kerana sebelum ini hanya berkayuh dalam program yang diadakan ketika siang.

“Pengalaman pertama lebih bermakna kerana berkayuh dalam hujan sehingga tamat. Pada masa sama saya bersyukur kayuhan berjalan lancar tiada perkara tidak diingini berlaku.

“Pada mulanya timbul kerisauan melihat hujan lebat dan tiada tanda hendak berhenti, namun semangat rakan sepasukan dan peserta lain tidak sabar memulakan kayuhan, saya turut kuatkan semangat,” katanya yang hadir bersama lima rakan daripada pasukan Poksen Rider.

Peserta, Mohd Amirul Amir Ishak, 28, berkata, pemilihan laluan memudahkan peserta, terutama untuk peserta sepertinya yang baru berjinak dengan aktiviti berbasikal.


LALUAN gelap tidak menjadi masalah buat peserta Kubang Pasu Friday Night Ride 2017.

“Setakat ini kayuhan terkawal hanya ada beberapa laluan memerlukan sedikit pendakian di kawasan berbukit tetapi mudah untuk dilepasi penunggang basikal yang kurang berpengalaman.

“Sokongan rakan sepasukan daripada Pejabat Daerah Kubang Pasu memberikan kekuatan dan motivasi berkayuh sehingga garisan penamat,” katanya.

Selaku orang tempatan, beliau mengalu-alukan program yang menghimpunkan ramai peminat sukan basikal dan pada masa sama berpotensi menarik kedatangan pelancong.

“Bagi saya aktiviti ini cara terbaik memperkenalkan sesuatu tempat kerana berbasikal menjadi aktiviti luar paling ramai peminat dan paling banyak penyertaan,” katanya.

Menariknya, kayuhan kali ini turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Mohd Ismail Ibrahim dan beberapa ketua jabatan agensi kerajaan lain.


PASUKAN Pejabat Daerah Kubang Pasu antara yang berjaya menamatkan kayuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 1:51 AM
Skip this ad x