(DARI kanan) Mohd Fakhrin, Farizatul, Norliza Hayati, Ahmad Shairuzi, Khairul Azemy dan Abdul Rahim, sekeluarga kembangkan jualan telekung meliputi kelengkapan umrah dan haji.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Biarpun mempunyai modal dan ilmu, tanpa restu ibu bapa perniagaan yang dijalankan kemungkinan tidak berjaya. Apabila ada restu daripada mereka, secara tidak langsung ia juga memberi keberkatan dalam perniagaan yang diceburi.

Demikian azimat kejayaan dipegang tiga beradik dalam mengusahakan pusat sehenti untuk kelengkapan haji dan umrah,

Al-Khautar, sejak tiga tahun lalu. Memulakan operasi dalam talian, kini penyedia kelengkapan haji dan umrah itu mempunyai 10 cawangan butik fizikal dengan sembilan dilesenkan kepada pengusaha lain.

Pengasasnya, Norliza Hayati Ahmad Shairuzi, 48, berkata, beliau memilih perniagaan sebagai mata pencarian disebabkan ibu bapanya pernah menjadi pembekal kerepek, lantas darah usahawan mengalir dalam dirinya.

“Sebelum mengasaskan perniagaan ini, saya bekerja sebagai guru dan berkhidmat selama 23 tahun dalam bidang perguruan. Namun, naluri ingin berniaga lebih kuat dan saya mula berjinak-jinak dalam perniagaan dengan menjadi stokis.

“Keseronokan berniaga menyebabkan saya terfikir untuk mengusahakan perniagaan sendiri. Awalnya, saya ingin membuka stesen minyak tetapi bertukar ke jualan telekung eksklusif selepas mendapat petunjuk hasil melakukan solat istikharah,” katanya.


NORLIZA Hayati

Ternyata darah peniaga juga mengalir dalam diri adik-beradik lain apabila dua adik lelakinya, Khairul Azemy, 44, dan Mohd Fakhrin, 27, mengikut jejaknya dan mereka bersama-sama mengusahakan perniagaan telekung eksklusif berkenaan.

Siapa lagi yang menjadi mentor buat tiga beradik berkenaan kalau bukan ibu bapa sendiri. Ahmad Shairuzi Mohammad, 76, dan Farizatul Akmal, 65, yang sudah berhenti menjual kerepek akibat faktor usia bertindak sebagai penasihat.

Selain itu, suami Norliza Hayati iaitu Abdul Rahim Ahmad, 52, dan anak mereka, Harith Danial, 21, turut terbabit dalam perniagaan berkenaan. Masing-masing mempunyai peranan untuk menjayakan perniagaan telekung eksklusif itu sehingga ia berkembang menjadi penyedia kelengkapan haji dan umrah.

“Tahun pertama berniaga, kami beroperasi di rumah sehingga kediaman penuh dengan stok barangan jualan. Operasi perniagaan kemudian dibesarkan selepas mendapat suntikan modal daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Saya terpilih menyertai program pembangunan usahawan PKNS dikenali Pemantapan 5 Usahawan (5U) dan dalam program ini, usahawan yang berpotensi tidak saja mendapat bimbingan dari segi pengendalian syarikat, malah diberi modal untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.

Katanya, sebagai penyedia kelengkapan haji dan umrah di bawah satu bumbung, bakal jemaah dapat manfaat apabila tidak perlu bersusah payah ke sana ke mari bagi mendapatkan barangan di kedai yang berbeza.

Beliau juga bercita-cita untuk menjadi peneraju pasaran dalam industri pembuatan telekung, malah kini berupaya mengeluarkan 5,000 telekung sebulan dengan mengupah ibu tunggal sebagai penjahit.


NORLIZA Hayati bersama keluarga yang banyak mendorongnya berjaya dalam perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 1:41 AM