Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Keselamatan jalan raya perlu disemai seawal usia kanak-kanak, apatah lagi kumpulan ini menunggang basikal di jalan raya yang dikongsi bersama pengguna kenderaan lain.

Malah, isu kemalangan ngeri membabitkan penunggang basikal kanak-kanak dilaporkan media tidak lama dulu sehingga menggemparkan masyarakat umum menunjukkan perkara ini perlu diberi penekanan serius.

Justeru langkah Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor (STAPP) bersama Asiaflex Products dan Kelab Basikal Happy Rider Connect menganjurkan program Kayuhan Lestari Sempena Kempen Keselamatan Berbasikal di Jalan Raya, baru-baru ini, amat penting menyemai kesedaran ketika di jalan raya.


PAMERAN keselamatan jalan raya.

Aktiviti kayuhan sejauh 26 kilometer bermula dari STAPP melalui jalan utama Pasir Gudang menuju kilang pembuatan TechnipFMC di Tanjung Langsat disertai 110 murid yang juga ahli Kelab STAPP Rider.

Mereka bersama 10 penunggang Kelab Berbasikal Asiaflex Products, Cycloflex yang berperanan sebagai ‘marsyal’ dan 10 peserta lagi dari kelab Happy Rider Connect iaitu kelab basikal profesional di Johor Bahru.

Pengurus Besar Asiaflex Products Laurent Sandoli berkata, dalam program itu, pihaknya menaja 110 topi keselamatan untuk kegunaan murid yang mengambil bahagian.


LAURENT Sandoli membantu murid mengenakan topi keselamatan.

“Keselamatan dan kesihatan menjadi keutamaan kami di Asiaflex Products dengan pembabitan semua kakitangan, kontraktor, pelawat sehinggalah komuniti setempat.

“Kami sentiasa mengambil bahagian mempromosi dan meningkatkan kesedaran mengenai subjek berkenaan menerusi pelbagai aktiviti.

“Asiaflex Products gembira dapat menganjurkan program kayuhan kesedaran keselamatan jalan raya kepada komuniti setempat, lebih-lebih lagi terhadap generasi masa depan iaitu kanak-kanak.

“Kami akan meneruskan usaha seperti ini pada masa hadapan kerana ia satu daripada nilai teras dan tanggungjawab kami terhadap masyarakat,” katanya.


MENGAGIHKAN topi keselamatan kepada murid terbabit.

Sehari sebelum kayuhan pihaknya membuat pemeriksaan basikal peserta bagi tujuan memastikan semua basikal selamat digunakan dan dilengkapi peralatan keselamatan asas.

Pengurus Program Kayuhan Afham Samsudin berkata, program kayuhan berkenaan memberi kesan langsung kepada murid mengenai pentingnya mengamalkan etika betul ketika berbasikal berbasikal di jalan raya.

“Murid menerima manfaat sangat besar apabila mereka didedahkan mengenai langkah keselamatan antaranya penekanan pemakaian topi keselamatan ketika berbasikal.

“Mereka juga dilatih mematuhi peraturan jalan raya, selain perlu peka dan prihatin kepada pengguna lain.


MELALUI jalan mengikut saranan dan nasihat kru program.

“Mengenai laluan kali ini, pada saya cabarannya sederhana saja kerana sebahagian besar trek landai. Cuma sekali-sekala perlu mendaki dan menuruni bukit.

“Sukarnya mungkin disebabkan cuaca panas terik. Peserta juga diminta lebih berhati-hati dengan persimpangan jalan mahupun melintasi jambatan khususnya ketika menyeberangi Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang,” katanya.

Peserta kayuhan turut diiringi polis dari Balai Polis Taman Pasir Putih dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang bersama PIBG dan guru STAPP. Selain kayuhan, terdapat juga aktiviti lain seperti ceramah keselamatan, pameran selain permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 2:56 AM