BERSAMA keluarga yang banyak menyokong minatnya.
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Meskipun dianggap antara hobi ‘mahal’ ia tidak menghalang Mohd Adam Khuzairi, 16, terus menjadikan dron sebagai aktiviti diminatinya.

Apatah lagi disokong keluarga dan saudara-mara yang tidak putus memberi kata semangat serta dorongan.

Bapanya, Mohd Khuzairi Md Saad, 45, berkata, semuanya bermula daripada dirinya yang meminati aktiviti dron sejak tiga tahun lalu. Ketika itu dia hanya bermain dron kategori permainan yang dibeli di pasar malam.

“Tidak sangka selepas itu Adam menunjukkan minat untuk berlumba dron pada September 2015 ketika Universiti Malaya (UM) menganjurkan sukan perlumbaan dron peringkat antarabangsa.

“Bermula saat itu, saya mendapati Adam sangat fokus dan minatnya terhadap dron melebihi yang lain. Dia serius terhadap aktiviti ini dan mahu ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada Metro Ahad.


MINAT mendalam terhadap dron membuatkan Adam sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terkini.

Menurut Khuzairi, disebabkan sukan ini masih baru dan menelan kos yang agak tinggi ia masih kurang dikomersialkan di negara ini berbanding negara lain.

“Mungkin kerana aktiviti dron masih baru dan tidak banyak pendedahan mengenainya menyebabkan aktiviti ini seakan-akan ‘sepi’. Kos asas untuk sebuah dron kira-kira RM1,500 hingga RM2,000 setiap satu.

“Sukan ini mula diperkenalkan di Amerika Syarikat, Jepun, China dan Korea pada 2012. Selain kos agak tinggi yang memerlukan kepakaran memasang peralatan dron dan perlu mengikuti perkembangan teknologi terkini juga antara faktor ia tidak mendapat sambutan,” katanya.


KETIKA menjuarai pertandingan dron di Johor Bahru baru-baru ini.

Sementara itu, Adam berkata lazimnya dia dan keluarga akan menghabiskan masa di Padang Taman Metropolitan Kampung Batu atau Padang Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Selayang untuk bermain dron selain memantapkan lagi kemahiran dirinya.

“Antara sebab kenapa saya sangat suka aktiviti dron adalah ia mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara saya dan keluarga. Ia juga memantapkan kemahiran pengendalian kapal terbang, melatih kesabaran diri terutama ketika sesi latihan perlumbaan, menambah informasi aplikasi teknologi penerbangan terkini serta hadiah lumayan mencecah jutaan ringgit,” katanya.


ANTARA piala kemenangan sepanjang menyertai sukan dron.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 2:51 AM