ANTARA yang menyertai kategori 85km dilepaskan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Melewati jalan kampung yang mempunyai laluan sempit dan struktur jalan berbukit ketika mengelilingi Melaka sejauh 85 kilometer (km) menambah getir peserta Varsiti Cycling Challenge (VCC) 2017.

Dalam perlumbaan sama, ada juga kategori Lebuhraya 45km ditawarkan khusus untuk pelumba wanita terbuka, institusi pengajian tinggi (IPT) dan VIP.


PESERTA kategori 85km memulakan kayuhan.

Namun begitu tiada halangan buat wanita menyertai acara 85km. Meskipun penganjuran awal bertujuan menyerlahkan bakat muda menerusi sukan berbasikal terutama peserta IPT, namun perlumbaan ini juga menzahirkan kemampuan tuan rumah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) dalam penganjuran acara basikal peringkat nasional.

Selain UTEM, Kementerian Pendidikan Tinggi selaku penganjur bersama dalam acara itu juga menawarkan hadiah untuk lima pemenang terbaik dalam 10 kategori dipertandingkan.

Pengarah Program VCC 2017 yang juga Pegawai Belia dan Sukan Kanan UTEM, Mohd Fairuz Azwad Mohd Zauwawi berkata, acara itu yang masuk tahun ketiga turut mendapat perhatian pelumba ternama tempatan selain kelibat peserta antarabangsa.

“Bagi pertandingan kali ini, penyertaan meningkat hampir sekali ganda yang mana kalau sebelum ini iaitu VCC 2016 yang berlangsung di Litar Antarabangsa F1 Sepang mendapat penyertaan 307 peminat sukan berbasikal daripada 39 institusi termasuk 17 sekolah.

“Untuk tahun ini kita mendapat penyertaan hampir sekali ganda iaitu 574 peserta daripada 43 agensi. Penyertaan dalam kalangan institusi pengajian tinggi amat menggalakkan iaitu dengan 30 daripadanya ialah universiti serta kolej seluruh negara.

“Lebih menarik ialah penyertaan 17 peserta dari Asia Tenggara iaitu Singapura, Brunei dan Filipina,” katanya.

Tambah Azwad lagi perlumbaan itu bermula dan berakhir di UTEM me­nyaksikan peserta melalui 13 jalan merentasi lima daerah iaitu Alor Gajah, Batang Melaka, Selandar, Jasin dan Durian Tunggal. Turut mengambil bahagian dalam VCC edisi 2017, Naib Canselor UTEM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib bersama 29 peserta lain bagi kategori VIP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 12:35 AM