SEBAHAGIAN peserta menyertai acara berkenaan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Perhimpunan Pertama Perkhemahan Kenderaan (Campervans) Malaysia atau Malaysia 1st Campervans and Campers Gahering 2017, berjaya mengumpul lebih 40 pemilik pelbagai jenis kenderaan sedia lengkap bersama kemudahan khemah di Pantai Bagan Lalang, Sepang, Selangor baru-baru ini.

Inisiatif itu dirintis kelab Overlanders 3F (O3F) nyata menarik bukan saja peminat aktiviti luar, malah penggiat mahupun usahawan terbabit dalam pengubahan kenderaan bagi tujuan aksesori perkhemahan sangat popular di negara asing.

Malah menurut Presiden Overlanders 3F (O3F), Mohd Saiful Zahari, pihaknya berharap dengan penganjuran perhimpunan itu, kelabnya menjadi ‘trendsetter’ bagi acara perkhemahan berkenderaan di Malaysia.


SEBAHAGIAN peserta menyertai acara berkenaan.

Galak pelancongan dalam negara

Katanya, dia positif acara itu akan dimuatkan sebagai agenda tahunan pelancongan Selangor kerana acara ini tidak saja menganjurkan penarikan dalam kalangan peminat aktiviti perkhemahan dalam negara, juga luar negara.

“Kita anjurkan perhimpunan di Bagan Lalang kerana sokongan diterima daripada Tourism Selangor untuk menjadikan acara ini sebagai kalendar tahunan pelancongan negeri dalam memacu tarikan pelancongan di Selangor.

“Ini juga sokongan kepada pengumuman kerajaan Johor baru ini menamakan 16 lokasi tarikan bagi peminat karavan dan khemah, sekali gus mengiktiraf aktiviti ini satu bentuk rekreasi boleh dijalankan baik individu mahupun kelab tertentu.

“Buat O3F yang memilih destinasi Bagan Lalang disebabkan lokasi strategik selain kemudahan menepati konsep perkhemahan berkenderaan diinginkan komuniti ini yang sebahagian besar datang bersama keluarga untuk bersantai.


ANTARA aksi ahli keluarga peserta bersantai di pantai.

“Malah, kami mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Sepang, Selangor, selain kebenaran pemaju atau pemilik lokasi iaitu Avani Sepang Goldcoast Resort membenarkan kami menggunakan sebahagian pantai bagi tujuan perkhemahan.

“Dengan adanya penganjuran ini, kami berharap lebih banyak lokasi sekitar Selangor dapat kami teroka sesuai dengan konsep atau idea ‘Campervans dan Campers’. Ketika ini kami masih mengenal pasti lokasi menarik sekitar Selangor dan di negeri lain juga.

“Harapan kami dengan adanya penganjuran acara ini, ada juga penambahbaikan dapat dilakukan pihak kerajaan negeri terutamanya Pelancongan Selangor serta PBT dari segi fasiliti terutama sumber air bersih, kemudahan tandas dan sebagainya agar menggalakkan aktiviti pelancongan dalam negara,” katanya.

Tidak menolak usaha itu memerlukan galakan dan sokongan komuniti itu sendiri dalam memberi contoh baik budaya perkhemahan antaranya menjaga kebersihan tapak, selain penggunaan fasiliti awam dengan berhemah.


MENARIK pelbagai bentuk dan jenis kenderaan bersama aksesori masing-masing.

Tiada had model kenderaan

Setiausaha Kehormat O3F Mohd Amirul Ramlan berkata, jumlah penyertaan kali ini dihadkan bagi tujuan ‘pilot’ sebelum penganjuran lebih besar tahun akan datang.

“Jumlah penyertaan kenderaan perkhemahan kami buka pada awalnya dihadkan kepada 30 kerana kami mahu melihat dulu keadaan perkhemahan serta susunan kenderaan. Namun, ada juga pembukaan saat akhir iaitu 10 lagi tempat kerana terdapat permintaan menggalakkan. Tujuan kami hadkan kali ini kerana ini acara pertama dan ‘pilot’ sebelum acara lebih besar.

“Tambah pula kelab kami ini kecil saja kalangan ahlinya kerana mementingkan kualiti daripada kuantiti, setidaknya isu atau masalah timbul kami dapat atasi dengan lebih baik.


KENDERAAN perisai tidak terkecuali.

“Malah untuk acara kali ini kami amalkan ‘siapa dulu dia mendapat tempat’ dan tidak semua peserta kami kenal. Itu satu perkara baik kerana kami dapat berkenalan dengan kelab lain serta muka baru dalam aktiviti ini,” katanya.

Tambah Amirul, selain kenderaan pacuan empat roda, terdapat juga pelbagai model kenderaan lain antaranya van, kenderaan serba guna (MPV) dan kereta biasa menyertai acara ini.

“Kalau dari segi kenderaan, bukan kenderaan lasak atau pacuan empat roda semata-mata, kami juga ada penyertaan kenderaan biasa. Ia satu yang baik kerana kami tidak mahu menjadikan aktiviti ini eksklusif dan hanya boleh disertai sebahagian kumpulan semata-mata.


PEMILIK kenderaan vintaj juga tidak melepaskan peluang menyertai acara sama.

“Malah kelebihan mereka datang dalam program seperti ini, mereka boleh lihat kepelbagaian bentuk aksesori kenderaan perkhemahan terkini serta teknologi tinggi. Selain itu, dalam program ini lebih menarik, kami datangkan individu pakar baik segi peralatan mahupun segi perundangan membabitkan spesifikasi aksesori atau modifikasi kenderaan,” katanya.

Dalam program kali pertama ini peserta tidak saja dapat bergaul dengan pelbagai lapisan ‘pemain’ lapangan ini, malah bengkel seperti perkongsian kembara perseorangan tersohor Anita Yusof dan Zainal Baharuddin serta beberapa personaliti lain membantu persiapan mereka mahu melakukan aktiviti ini merentasi sempadan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 11:29 AM