LEEZA Soho ketinggian 194.15 meter
Oleh Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


SATU lagi keajaiban dalam rekaan seni bina dunia dapat dilihat menerusi pembukaan menara Leeza Soho di Beijing, minggu ini.

Bangunan setinggi 45 tingkat yang dibuka secara rasmi pada 19 November lalu antara ‘hasil tangan’ arkitek ternama, Zaha Hadid sebelum beliau meninggal dunia tiga tahun lalu.

Terletak di daerah perniagaan Fengtai, Leeza Soho menampilkan ruangan awam menakjubkan menerusi rekaan atrium tertinggi dunia dan kelihatan berpusar di tengah bangunan.


LEEZA Soho dibuka pada 19 November lalu.

Menariknya, ruangan kedai dan pejabat direka mengelilingi atrium gergasi menara Leeza Soho yang turut mempunyai empat tingkat bawah tanah.

Dengan ketinggian 194.15 meter, atrium gergasi berkenaan direka sehingga ke puncak menara Leeza Soho, menjadikannya atrium tertinggi dunia mengatasi hotel Burj Al Arab di Dubai.

Bentuk dinamik atrium ini menghasilkan bukaan cembung di kedua-dua belah menara, sekali gus membolehkan sinaran cahaya semula jadi ke dalam bangunan.

Tingkat paling bawah atrium direka untuk berfungsi sebagai ruangan awam bagi daerah perniagaan ini dan bersambung terus ke kawasan bersebelahannya.

Dua bahagian Leeza Soho dihubungkan dengan laluan dalaman yang diapungkan merentasi empat tingkat berbeza manakala luarannya disambungkan dengan permukaan langsir kaca.

Permukaan kaca ini mempunyai dua lapisan dan dihasilkan daripada sejumlah panel kaca yang disusun untuk membantu pengudaraan. Ini untuk membolehkan ruang dalam menara berkenaan mengekalkan suhu bersesuaian memandangkan Beijing mempunyai keadaan cuaca tidak menentu.


ATRIUM yang kelihatan berpusar di tengah bangunan.

Direka untuk memperoleh pensijilan LEED Gold daripada Majlis Bangunan Hijau Amerika Syarikat, Leeza Soho menggunakan sistem pengurusan tenaga BIM 3D.

Terdapat juga ruang parkir untuk 2,680 basikal dilengkapi tempat simpanan dan kemudahan mandi di samping tempat mengecas bagi kereta elektrik atau hibrid untuk menggalakkan pegunjung menggunakan teknologi mesra alam.

Menara Leeza Soho satu daripada empat projek dihasilkan Zaha Hadid Architects untuk pembangunan Soho China yang meliputi pembinaan dua lagi bangunan di Beijing iaitu The Galaxy Soho dan kompleks komersial Wangjing Soho.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 5:00 AM