MENGGALAKKAN bangunan memperuntukkan ruang hijau vertikal sebanyak lima peratus.
Oleh Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


SATU contoh bandar masa depan iaitu Masdar, Abu Dhabi dilihat mempunyai landskap berdaya tahan dan mampan.

Malah bandar berkenaan turut menjadi prototaip bandar masa depan sifar karbon. Ia antara kriteria penting membabitkan isu landskap bandar dalam mengharu­ngi perubahan iklim dunia cukup meruncing kebelakangan ini akibat aktiviti pembangunan dan kemusnahan hutan tidak terkawal.

Projek mega seperti Masdar menampilkan idea gabungan kota dengan seni bina dan landskap kembali ke zaman purba, tetapi teknologi ditampilkan dalam menghidupkan bandar itu berasaskan tenaga alternatif termasuk loji janakuasa ‘photovoltaic solar’.

Terkini dalam Dialog Arkitek Landskap Antarabangsa SPARK 2019 yang dianjurkan Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) di GMBB, Mall Kuala Lumpur turut membincangkan agenda sama.


KOMUNITI membantu menjayakan agenda bandar rendah karbon di Kuala Lumpur.

Dalam pelaksanaan di Kuala Lumpur ke arah memenuhi hasrat bergelar bandar rendah karbon, Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Perancangan Bandaraya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Nik Mastura Diyana, usaha pihaknya untuk menjadikan ibu kota yang mempunyai populasi 1.7 juta bandar rendah karbon memerlukan komitmen padu daripada pelbagai pihak.

“DBKL merangka dua pelan tindakan iaitu Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030 dan Pelan Pengurusan Karbon DBKL 2025 pada 2017.

“Pelan induk Masyarakat Rendah Karbon 2030 melihat secara menyeluruh langkah pengurangan karbon di Kuala Lumpur bagi mengimbangi kepesatan pembangunan ekonomi, fizikal dan menjaga kualiti alam sekitar serta memberi penekanan ke arah masyarakat rendah karbon.

“Sementara bagi Pelan Pengurusan Karbon DBKL pula melihat kepada pengurusan semua aset milik DBKL ke arah pengurangan karbon dan penjimatan tenaga.

“Kedua-dua pelan ini sangat penting dan mempunyai peranan dalam merangka tindakan Masyarakat Rendah Karbon dengan penglibatan semua lapisan masyarakat termasuk NGO untuk mencapai sasaran 70 peratus pengurangan intensiti perkapita pelepasan karbon menjelang 2030.

“Ini termasuk dalam usaha mewujudkan lebih ba­nyak kawasan hijau di Kuala Lumpur menerusi penanaman lebih banyak pokok di sekitar Kuala Lumpur.

“Setiap tahun DBKL menyasarkan 30,000 pokok di tanam dan 100,000 pokok pula pada tahun depan. Ternyata jumlah itu melebihi dari sasaran ditetapkan. Lebih mencabar buat kami ialah mengenai perancangan jangka panjang iaitu mencapai nisbah satu pokok untuk setiap penduduk.

“Malah dalam agenda menghijau KL, kami turut menyasarkan setiap 14 meter persegi ruang hijau bagi setiap penduduk pada tahun depan dan jumlah itu meningkat kepada 20 meter persegi menjelang 2030,” katanya.

Usaha itu dirancakkan menerusi pembabitan NGO dan penduduk dalam projek pertanian bandar selain pembinaan taman poket sekitar Kuala Lumpur.

Bagi pengurusan aset DBKL pula , beberapa lang­kah diambil bagi menjayakan program penjimatan tenaga. Ia termasuk menukar lampu jalan kuning kepada LED selain amalan penjimatan dan cekap tenaga dilaksanakan dalam bangunan aset milik pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Bagi Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, beliau mencadangkan supaya usaha penanaman pokok dipergiatkan menerusi Parlimen masing-masing.

“Pemahaman saya daripada panel ada menerang­kan mengenai kesesuaian beberapa jenis tanaman dan pokok mengikut kawasan. Sebenarnya kalau kita lihat pokok di Kuala Lumpur dari segi sejarahnya pelbagai.

“Kalau tidak mengambil kesempatan memahami dan menggunakan pokok tempatan, memang biasanya akan menggunakan pokok luar negara kerana berasakan itu lebih ‘trendy’ dan wajar.

“Sedangkan pada masa sama ada pilihan flora

tempatan banyak pilihan, cuma ia berhubung kait dengan pihak berkuasa tempatan dan landskap arkitek untuk mencari stok mencukupi

“Jadi saya melihat ia mempunyai agenda penting tahun depan sempena Hari Wilayah, alangkah baiknya andai setiap kawasan Parlimen menanam pokok. Seperti Parlimen Lembah Pantai, kami menjangkakan akan menanam 233 pokok iaitu 200 di Bangsar dan 33 di Kerinchi.

“Kalau setiap Parlimen menanam 10 atau 50 pokok, usaha itu boleh dilihat mengurangkan jejak karbon (carbon footprint) dan menambah kawasan hijau,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 5:31 AM