CONTOH taman yang menggunakan rumah burung sebagai dekorasi menarik.
Oleh Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


PEMINAT landskap pasti menyedari dalam taman ala Inggeris, suatu perincian menarik mampu menonjolkan tema berkenaan adalah dengan kewujudan rumah burung.

Bukan sekadar hiasan untuk menyedapkan pemandangan mata, malah rumah burung yang biasanya diperbuat daripada kayu dapat memikat kehadiran unggas bertandang di taman.

Apatah lagi bagi taman di tengah kota, kicauan burung boleh membantu menghidupkan suasana kediaman. Dengan menyertakan rumah burung dalam rekaan setidak-tidaknya mewujudkan ekosistem yang lebih natural.

Selain itu burung membantu menjamin kesuburan tanaman dengan memakan ulat beluncas dan telur semut hitam. Kehadiran haiwan perosak itu menyebabkan dahan pokok mati.

Material rumah burung

Disebabkan burung sentiasa terbang dan bertenggek di tempat tinggi, sebaik-baiknya rumah burung diletakkan di lokasi tinggi. Pilihan rumah burung terdapat dalam pelbagai rekaan unik yang boleh dibeli atau dihasilkan sendiri.

Biasanya dalam membina rumah burung, material semula jadi digunakan seperti kayu, buluh dan rotan. Ini membantu burung yang bertenggek berasa seperti berada dalam habitat mereka.

Rekaan yang digunakan juga pelbagai sama ada dalam bentuk replika rumah yang tipikal atau rekaan digemari.


IDEA kreatif iaitu menampilkan tempat makanan daripada bahan terbuang.

Perlu dilengkapi bekas makanan burung

Sudah namanya haiwan, untuk ‘memikat’ burung tiada lain ialah dengan menyediakan umpan. Dulu bekas makanan burung diperbuat daripada dawai mata punai berbentuk silinder, balang kaca atau plastik terpakai.

Kini pelbagai jenis bekas burung ditawarkan lengkap dengan hiasan seperti loceng dan lampu hiasan. Sekali gus menambah seri pada aksesori landskap itu.

Tempat mandi burung

Meskipun ketika ini pelbagai pancuran mini ditawarkan dan ia menjadi tempat burung mandi, sebaik-baiknya jenis yang mengalir kerana ia nampak lebih semula jadi. Antara kebaikan lain, konsep pancuran mini mengalir mampu menghindari jentik-jentik dan berudu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 5:10 AM