TINGKAP penting dalam pencahayaan dan pengudaraan di dapur.
PERLU banyak pencahayaan dan pengudaraan agar lebih selesa.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


AKTIVITI sosial dalam kalangan masyarakat tempatan bukan hanya diadakan di ruang tamu, malah kebanyakan waktu dihabiskan di ruang makan terutama dapur.

Selain ruang sosial, kebanyakan orang terutama

wanita melihat ruang itu sebagai lokasi cukup penting sambil membantu menyediakan sajian keluarga.

Jadi tidak hairanlah ‘mood’ dan pencahayaan ruang dapur penting bagi membolehkan sinergi penghuninya mahu pun pun pengunjung terus berlangsung dalam aura positif.

Perkongsian perunding hiasan dalaman ZEDYA, Zarina Abdul Aziz dilihat penting. Selain pemilihan skema warna betul, pencahayaan dan pengudaraan penting untuk membuatkan dapur sebagai ruang yang menyenangkan.

“Boleh dikatakan dua pertiga masa dihabiskan di dapur kerana ruang ini biasanya menjadi tumpuan dari urusan memasak hingga dobi pakaian.

“Justeru tata hias termasuk penggunaan warna asas untuk ruang ini penting membolehkan ia menyerlah dan selesa digunakan,” katanya.

Kata Zarina, bagi menjadikan ruang dapur menarik dan terang sebaiknya jendela atau tingkap perlulah dimanfaatkan sepenuhnya.

“Tingkap di dapur pada saya, antara elemen penting. Saya selalu sarankan kalau ada bajet, mereka boleh tambah tingkap tambahan untuk pengudaraan dan pencahayaan lebih baik terutama dapur basah.

“Jadi guna bidai yang bersesuaian berbanding menampal pelekap tingkap gelap kerana itu akan mengehadkan pencahayaan masuk selain ruang dapur kelihatan suram.

“Ditambah dengan pemiliknya menggunakan jubin dan warna kabinet gelap. Sebaliknya pilihan kabinet atau jubin perlu ada kombinasi warna terang dan gelap supaya ruang penyediaan makanan lebih luas,” katanya.

Selain itu, kata Zarina rekaan ruang dapur itu juga perlu difahami andainya pemilik mahu menempah kabinet atau perabot yang sesuai.

“Setiap rumah mempunyai susun atur ruang berbeza dan kadang-kala dapur boleh jadi bentuk L, J dan U.

“Sebaiknya dapatkan pandangan perunding hiasan dalaman mengenai konsep bersesuaian supaya ruang itu sesuai selain selasa untuk penghuni,” katanya turut menyatakan penggunaan lampu dan cermin antara alternatif dalam membantu mencerahkan ruang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 8:33 AM