Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


LAZIMNYA persekitaran pangsapuri kos rendah atau sederhana di kawasan bandar dikaitkan dengan keadaan yang ‘mengecewakan.’

Malah, banyak kemudahan menjadi mangsa perbuatan vandalisme sama ada dirosakkan atau diconteng. Tindakan yang tidak bertanggungjawab itu menyebabkan banyak masalah timbul termasuk mencacatkan pemandangan.

Sebaliknya ia tidak berlaku di Pangsapuri Melati, Seksyen U16, Taman Bukit Subang, Shah Alam, apabila penghuninya melaksanakan gotong-royong mengindahkan kawasan kediaman yang menawarkan suasana hijau, semula jadi dan mendamaikan.

Antara inisiatif dijalankan termasuk kerja mengecat dinding dengan lukisan mural yang boleh menjadi antara daya penarik di kawasan itu. Penggunaan barangan terbuang dijadikan bekas untuk mewujudkan taman sayur-sayuran dan bunga hiasan untuk mengindahkan lagi persekitaran.

Penghuni menyerlahkan kreativiti masing-masing apabila mengolah barangan terbuang menjadi sesuatu yang bermanfaat. Tayar lama bukan saja dijadikan pasu bunga, malah perhiasan pelbagai rupa bentuk seperti siput, angsa, watak kartun dan dekorasi gantung.


PENDUDUK menghias kawasan pangsapuri dengan barangan terpakai diolah kreatif.

Botol kosong turut diolah menjadi pelbagai hiasan, contohnya botol air yogurt dijadikan tanglung, botol air mineral dijadikan jambangan bunga yang menarik sebelum digantung di sepanjang pagar. Sudu plastik terpakai digunakan menghias jam dinding dengan corak geometri.

Kayu palet dijadikan kerusi dan meja di ruangan membaca selain tempat beristirahat penghuni. Tunggul kayu dan tali lama diolah menjadi pagar di laluan pejalan kaki, di samping gazebo yang dibina daripada papan terbuang.

Bukan itu saja, di kawasan sekitarnya turut dihiasi pelbagai pokok bunga hiasan yang cukup mengasyikkan pemandangan. Malah rimbunan sayur-sayuran, herba dan pokok buah-buahan secara langsung memperindahkan landskap kawasan pangsapuri itu.

Penyelaras Gabungan Komuniti Seksyen U16, Ahmad Faudzi Mohd Nazam berkata, pangsapuri yang terdiri lima blok dengan anggaran 2,000 penghuni mengubah persekitaran kejiranan tidak terurus kepada menjadi lebih indah secara mampan sejak enam tahun lalu.

“Usaha ini dilakukan secara gotong-royong yang dijalankan dengan konsisten setiap minggu. Landskap kawasan hijau diindahkan dengan menggunakan semula pelbagai barangan terpakai yang dikumpul daripada penghuni sendiri.

“Memulihara kecantikan kawasan kediaman terutamanya halaman rumah adalah penting untuk mewujudkan keindahan yang menyeluruh. Selain itu, ia juga melambangkan kerjasama penghuni dalam merealisasikan konsep pembangunan bandar dalam taman.

“Menerusi bimbingan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), penghuni melaksanakan pelbagai bentuk usaha di dalam membina landskap kejiranan hijau seiring dengan sasaran pihak berkuasa tempatan ini untuk mencapai Bandaraya Rendah Karbon 2030,” katanya.


LUKISAN mural rumah tradisional serlah kreativiti penduduk.

Seksyen U16 termasuk di dalam Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) Zon 22 di bawah penyeliaan MBSA. Komuniti Pangsapuri Melati pernah pernah terpilih mewakili MPP Zon 22 di dalam pertandingan Mini Zon Bersih MBSA sejak 2014 dan muncul johan pada 2016.

Semangat kerjasama tinggi antara penghuni dalam mewujudkan persekitaran bersih, cantik dan selesa didiami itu turut membolehkan kediaman berkenaan dipilih MBSA untuk menyertai dalam Anugerah Kejiranan Hijau 2019 anjuran Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Kementerian Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia, baru-baru ini.

Sementara itu, penghuni, Zurina Ibrahim, 44, berkata dia menjadikan pelbagai bekas seperti balang plastik kuih raya, botol air mineral dan tin kosong sebagai pasu untuk mini taman di kaki lima kediamannya.

“Saya banyak merujuk Internet untuk mencari ilham membuat sendiri mini taman di depan rumah. Selain botol kosong diolah menjadi pasu, ia juga dicat dengan warna terang bagi menambahkan keceriaan.


TAMAN mini menjadi terapi kepada Zurina.

“Memandangkan kawasan yang terhad, saya hanya menanam pokok hiasan kecil seperti kaktus dan bayam Brazil. Saya turut menanam pokok yang berfungsi membersihkan udara apabila ia bertindak sebagai penapis udara semula jadi.

“Tumbuhan berkenaan banyak dibeli di nurseri berhampiran. Saya juga membeli batu sungai yang kemudiannya dicat dan dilukis bentuk kumbang,” katanya.

Katanya, kerja menanam pokok dan menghias mini taman itu dilakukan setiap hujung minggu dan secara tidak langsung menjadi terapi menghilangkan tekanan selepas seharian penat bekerja sebagai tukang jahit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 5:30 AM
SUASANA hijau dan mendamaikan di kawasan pangsapuri hasil gotong-royong penghuni. FOTO & VIDEO: Aswadi Alias