GUDANG terbiar dibina pada 1850-an tidak lagi suram selepas diubah suai.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


KURANG penyelenggaraan dan penjagaan menyebabkan sebuah gudang antik yang dibina pada 1850-an di London terabai dan usang. Namun, sentuhan studio hiasan dalaman, Tasou Associates yang menjalankan kerja ubah suai gudang itu berjaya mengembalikan semula serinya.

Gudang lama yang suram itu diubah menjadi ruang pejabat dikenali sebagai 9 Jeffrey’s Place menggunakan material perindustrian bagi mengekalkan kegemilangan silam bangunan berkenaan.

Pengubahsuaian mengikut adaptasi awal bangunan dua tingkat kepada ruang kerja terkini selepas ia ditinggalkan susulan kegagalan pemilik sebelumnya menangani ruang gelap bangunan terbabit.

“Penekanan utama projek ubah suai ini adalah menjadikan gudang lama ini supaya tidak lagi kelihatan suram, sebaliknya mempunyai ruangan pejabat yang cerah dan tersusun menggunakan material kukuh untuk jangka hayat panjang,” kata jurucakap studio.

Tasou Associates memulakan kerja baik pulih dengan menanggalkan sebahagian dinding untuk menyerlahkan struktur bangunan yang asli. Langkah itu membawa mereka menemui ruangan lama bangunan itu seperti dinding batu bata, pintu memuat barang dan peralatan mengangkat yang sudah runtuh.

“Penemuan ini memberi inspirasi kepada rekaan dan semua tambahan baru dipertimbangkan dengan berhati-hati supaya dapat mengekalkan kesan bersejarah itu yang asal tanpa percubaan untuk menirunya,” katanya.

Satu tangga besi di bahagian tengah gudang itu turut berfungsi sebagai pemisah antara tingkat bawah dan tingkat satu.

Ini mewujudkan campuran ruang kerja separuh persendirian tanpa mensia-siakan ruang di kaki lima, sekali gus mengekalkan reka bentuk pelan terbuka.


TANGGA besi untuk ke tingkat atas.

Bahagian atas sekali, pejabat persendirian dibina di kawasan penyambungan atas bumbung. Ia dibina semula daripada bahagian hadapan bangunan kerana yang asal tidak dapat dilihat dari aras tanah.

Penyambungan itu dilitupi zink hitam sebagai merujuk kepada warisan industri bangunan dan dipasangkan jendela yang besar yang menyalurkan cahaya kepada ruangan menerusi tangga.

Semua ruangan dalam 9 Jeffrey’s Place ditata rias dengan material palet ringkas termasuk batu bata terbuka, papan plaster dicat rona kelabu dan dipasang perincian kayu oak serta walnut.

Kayu banyak digunakan untuk bahagian luaran, apabila fasad bangunan dicirikan dengan pintu kayu gelongsor yang turut menggambarkan bahagian muka bangunan asal, malah ia membantu memberi ruang peribadi kepada penghuni.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 5:15 AM