BAWANG putih boleh juga halau nyamuk.
Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

NYAMUK sememangnya menjadi musuh manusia. Gigitannya bukan saja membuatkan gatal-gatal kulit, malah membawa virus pelbagai penyakit berbahaya seperti denggi, malaria dan chikungunya.

Bagi menghalau nyamuk, kita sering menggunakan semburan mengandungi bahan kimia yang turut berpotensi mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan. Sedangkan kita boleh mencuba kaedah alternatif yang selamat untuk menghalau nyamuk di rumah seperti yang tersenarai berikut:

1. Serai bukan saja digunakan sebagai bahan masakan yang menyedapkan makanan atau minuman, malah boleh digunakan untuk menghalau nyamuk.

Serai juga tanaman yang mudah ditanam di rumah. Ia juga sesuai ditanam di bawah jendela sekitar rumah supaya nyamuk tidak datang dekat.

2. Lemon mengandungi bahan ‘citronella’ yang kuat untuk menghalau nyamuk.

Aroma sitrus dari daun lemon menjadi wangian yang tidak disukai nyamuk. Namun, pokok lemon mampu tumbuh dengan cepat dan anda perlu mengawal pertumbuhannya.

3. Bunga lavender berwarna ungu dan memiliki aroma yang sangat harum dan digemari kebanyakan kita, tetapi tidak bagi nyamuk. Ini kerana lavender mengandungi zat linalool dan lynalyl asetat yang tidak digemari nyamuk.

Anda boleh meletakkan tanaman bunga lavender di dalam pot berhampiran tingkap atau pintu.


LAVENDER

4. Pokok catnip adalah tanaman yang sering digunakan untuk merangsang kucing agar lebih aktif.

Bagaimanapun, tidak bagi nyamuk kerana mengandungi minyak pati nepetalactone yang boleh menangkis nyamuk. Pokoknya tumbuh tinggi, oleh itu tanam di kawasan rumah yang tidak menghalang pandangan.

5. Bawang putih juga sudah lama digunakan untuk menghalau nyamuk secara semula jadi.

Hiris bawang putih dan letak di tingkap atau pintu rumah. Malah, anda boleh mencampurkannya dengan minyak pati lavender untuk kesan lebih mampan.

6. Pokok geranium juga diketahui sebagai sejenis tumbuhan penghalau nyamuk.

Tumbuhan ini mengandung geraniol dan sitronelol berbau harum yang sangat tidak disukai nyamuk. Tanam pokok ini dalam pasu kecil dan letak dalam rumah di ruang tamu, bilik tidur atau dapur. Selain dapat menghalau nyamuk, bunganya yang cantik juga menjadi hiasan.


POKOK lemon

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 5:00 AM