Hobiubah suai hasilkan hiasan kini sumber pendapatan sampingan pesara tentera. FOTO: FB hiasan tayar kreatif-Encik Zali
Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


APA yang anda buat dengan tayar terpakai? Buang? Atau guna untuk membakar sampah? Mungkin anda tidak mempunyai banyak tayar terpakai, tetapi seboleh-bolehnya elakkan ia dilupuskan dengan cara membakar.

Tayar terpakai boleh dikitar semula untuk dijadikan sesuatu yang sangat berguna dan menarik. Hanya perlu sentuhan kreatif dan sedikit kemahiran, tayar terpakai juga boleh dijadikan hiasan di halaman mahupun dalam bangunan.

Selain itu, penggunaan tayar terpakai bukan saja menjimatkan, malah mengitar semula bahan terbuang itu dapat memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan dan kesihatan alam sekitar. Jika tayar terpakai dibakar di kawasan terbuka akan menghasilkan api yang besar, asap tebal dan berbahaya andai tidak dikawal.

Asap pembakaran tayar yang hitam, tebal dan berbau busuk turut dikatakan bertoksik boleh menyebabkan masalah kesihatan jika dihidu serta memberi kesan buruk kepada alam sekitar.

Mengitar semula adalah langkah yang sangat penting dan perlu dilakukan untuk mengurangkan sisa dan melindungi alam sekitar daripada bahan cemar.


6. PERSINGGAHAN raja sehari unik daripada tayar lama.

Menukar tayar terpakai ke bentuk yang kreatif dan bermanfaat sebenarnya tidak sukar. Asalkan ada minat dan kesungguhan, bahan terbuang itu juga mampu menjadi produk yang boleh menjana pendapatan sampingan.

Demikian dilakukan pesara tentera, Zazali Ibrahim, 57, dari Senawang, Negeri Sembilan apabila kreativiti mengitar semula tayar terpakai yang bermula sebagai hobi bagi mengisi masa lapang, kini dapat memenuhi permintaan penggemar barangan cantik dan menarik hasil ubah suai bahan terbuang.

Antara hiasan yang dihasilkan Zazali daripada tayar terpakai seperti bentuk angsa, burung merak, bangau, abstrak yang kebanyakan digunakan sebagai bekas bunga, selain kerusi pelamin, tempat duduk santai dan set meja kopi.

Menurut Zazali, dia menggunakan sepenuhnya kemahiran pertukangan yang dipelajari menerusi latihan diberikan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) semasa di bangku sekolah dan mengembangkan minatnya seiring peningkatan usia.

“Pada usia 12 tahun saya sudah berminat dalam kerja pertukangan dan membuat ukiran. Disebabkan itu saya menyertai latihan dianjurkan Kemas untuk masyarakat desa biarpun masih bersekolah rendah.

“Kemahiran dipelajari sehingga tamat sekolah menengah kerana saya mahu menimba sebanyak-banyaknya ilmu dalam bertukang.

“Bagaimanapun, minat dalam pertukangan terpaksa dihentikan sementara sebaik menyertai bidang ketenteraan. Namun, ia tidak pernah padam dan saya sambung semula sebaik bersara,” katanya.

Katanya, dia menjadikan tayar terpakai sebagai fokus utama pembuatan produk kitar semula sejak tiga bulan lalu selepas mendapati bahan terbuang itu mudah didapati dengan banyak pada harga murah.

“Kebanyakan tayar terpakai ini saya beli di kedai tayar pada harga berpatutan. Sifat tayar yang tahan terhadap pelbagai suhu dan cuaca amat sesuai dijadikan hiasan kitar semula terutama di kawasan terbuka.

“Lazimnya tayar terpakai digunakan untuk hiasan di taman, tetapi saya menonjolkan kreativiti dengan mereka cipta pelbagai produk hiasan unik seperti kerusi pelamin. Projek terbaharu saya adalah mengolah tayar terpakai ini menjadi bentuk dinosaur berukuran setinggi lebih dua meter,” katanya.

Katanya, kebanyakan produk tayar terpakai dihasilkan itu sekadar menghias halaman rumahnya dan dijadikan perabot kegunaan sendiri sebelum ia menarik perhatian jiran yang kemudian berminat membelinya untuk dijadikan hiasan di kediaman mereka.

“Biarpun tidak sukar menggubah tayar terpakai menjadi bahan dekorasi yang melatari landskap laman, peralatan sesuai turut memainkan peranan kerana material tayar lama ini yang diperbuat daripada bahan lasak memerlukan banyak kudrat.

“Selain idea bernas dan kreatif, penggunaan cat dengan warna terang untuk lebih tarikan turut menambah seri produk daripada bahan terpakai,” katanya yang dapat menyiapkan satu perhiasan dalam tempoh sehari sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 5:30 AM