LANDSKAP yang indah dan mendamaikan jika ditinjau dari ruang dalaman mampu mencipta terapi tersendiri.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


MISI Persekutuan Arkitek Landskap Antarabangsa (IFLA) ialah mewujudkan persekitaran hidup mampan dan seimbang di seluruh dunia untuk manfaat kemanusiaan sejagat.

Pada masa sama turut melalui transformasi ketara untuk mewujudkan organisasi baru, berfikiran ke hadapan dan lebih berkesan. Tahun ini Kongres Sedunia IFLA diadakan di Oslo, Norway.

Lebih membanggakan, Kongres Sedunia IFLA 2020 bakal menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah apabila ia dijangka diadakan di Pulau Pinang Ogos tahun depan.

Memperkatakan berkenaan Kongres Sedunia IFLA 2020, Presiden Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM), Prof Madya Dr Suhardi Maulan mengakui ia antara acara paling dinantikan khususnya mereka yang menceburi dunia seni bina landskap.

“Turut diadakan Sidang Kemuncak Arkitek Landskap Sedunia IFLA 2020 bertemakan ‘Future Tense’. Sidang kemuncak itu akan membincangkan pelbagai isu alam sekitar mendesak yang memberi kesan kepada masyarakat dunia.


PEMBANGUNAN diimbangi kehijauan alam.

“Ia juga bakal memainkan peranan utama dalam merumuskan dan mewujudkan penyelesaian berasaskan seni bina landskap, untuk masa depan lebih cerah.

“Malah turut menjadi platform di mana perwakilan serantau boleh berkongsi isu, idea dan inspirasi untuk memastikan profesion seni bina landskap bersedia menghadapi kehendak masyarakat, alam sekitar dan kehidupan bandar 10 tahun akan datang.

“Matlamatnya adalah membangun dan mempromosikan profesion seni bina landskap bersama-sama dengan seni dan sains yang berkaitan di seluruh dunia; pemahaman seni bina landskap sebagai fenomena fizikal dan budaya yang berkaitan dengan warisan alam sekitar dan kemampatan ekologi dan sosial; penubuhan standard amalan profesional yang tinggi dalam reka bentuk landskap, pengurusan, pemuliharaan dan pembangunannya,” katanya.

Malah pihaknya mengalu-alukan penyertaan anda untuk menghadiri kongres dan sidang kemuncak berkenaan bagi membincangkan serta menawarkan penyelesaian inovatif bersama rakan arkitek landskap dari seluruh dunia.

“Kami sedar bahawa ILAM sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai tanggungjawab memikul amanah dan tugas berat untuk menganjurkan Kongres Sedunia IFLA 2020 tetapi kami bernasib baik kerana mempunyai sokongan besar daripada Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) serta Jabatan Landskap Negara (JLN),” katanya yang juga Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Dr Suhardi berkata, Perancangan Strategik 2018 hingga 2020 juga menangani keperluan untuk meneruskan Akta Arkitek Landskap. Ia satu agenda yang sudah berada dalam radar ILAM sejak tahun 1990-an.

“Melihat kepada perkembangan dunia seni bina landskap untuk 2019 pula, tidak dinafikan terdapat beberapa trend yang diketengahkan di negara ini.

“Antaranya membawa gambaran taman atau pemandangan luar ke ruang dalaman atau bangunan. Bermakna landskap merangkumi keindahan persekitaran yang turut membawa kepada pengalaman keseluruhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:30 AM