Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


HIJAU semula jadi, segar dan unik antara kelebihan yang dimiliki tumbuhan comel sukulen ini apatah lagi fungsinya dipelbagaikan termasuk dijadikan gubahan hiasan dalaman.

Apatah lagi gubahan bunga tiruan mahupun segar tidak dapat bertahan dalam tempoh panjang apabila hiasan itu mudah berdebu, manakala bunga asli pula layu pada tempoh tertentu.

Sukulen bukanlah jenis flora yang luar biasa ataupun baru saja mengecapi popularitinya dalam kalangan penggemar bunga hiasan.

Sebaliknya, tumbuhan yang juga dikategorikan separa kaktus ini memiliki pengikut dan pengumpul koleksinya yang tersendiri.

Usahawan sukulen, Emir Malek berkata, gubahan berasaskan tanaman itu menjadi trend hiasan bunga terkini sama ada untuk hiasan rumah atau di tempat kerja selain turut menjadi pilihan buah tangan sempena majlis perkahwinan.

“Gubahan sukulen sebenarnya sangat menarik kerana boleh dipelbagaikan jenis atau hanya fokus pada spesies sama dalam satu-satu pasu. Ia bergantung kepada kreativiti pengubah itu sendiri.

“Idea gubahan sukulen tercetus apabila saya ingin mempelbagaikan keunikan tumbuhan ini sebelum dimuat naik ke dalam media sosial, dua tahun lalu.

“Saya tidak menyangka ia berjaya menarik perhatian penggemar sukulen yang kemudian meminta saya membuat gubahan untuk mereka.

“Malah bagi menzahirkan gubahannya tidak terlalu sukar, paling penting kita mengetahui sifat, kadar pembesaran dan sensitiviti satu-satu spesies demi mengelak kerosakan kemudian hari.

“Selalunya bagi gubahan sukulen, saya akan menanam pokok secara rapat dan memenuhkan satu-satu bekas atau pasu.

“Menerusi penanaman secara rapat, kita dapat mengurangkan kadar pertumbuhan dan pembesarannya.

“Situasi berbeza sekiranya kita ingin tumbuhan itu membesar, kaedah penanaman seharusnya berjarak, jadi ia akan lebih cepat membesar.

“Meskipun begitu, seperti saya yang ingatkan sifat satu-satu spesies perlu diketahui sebelum melakukan pilihan gubahan sukulen. Ini kerana terdapat jenis sukulen yang cepat membesar dan ada juga lambat.

“Selain itu, tumbuhan bernabu (batang dan daun berisi) dipenuhi sap berair ini sangat sensitif dari aspek pengendaliannya.

“Oleh itu, ketika proses penanaman mahupun mengalih dari satu tempat ke tempat lain perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati kerana jenis tidak bertangkai atau berbatang lebih mudah patah,” katanya ketika ditemui di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Emir, gubahan sukulen tidak terhad pada jenis bekas tertentu, ia bergantung kepada kreativiti dan idea individu serta susun letaknya.

Katanya lagi, pelan gubahan sukulen juga mengikut inspirasi penggubah namun selalunya idea digunakan seperti ‘middle’ merujuk kepada sukulen berukuran tinggi berada di pusat dan dikelilingi sukulan bersaiz kecil atau berkelopak (rosette).

Manakala idea ‘stair’ pula merujuk kepada sukulen tinggi ditanam di belakang manakala yang jenis ‘rosette’ di hadapan seakan-akan tangga.

Apabila satu-satu gubahan sukulen berjaya dihasilkan, sentuhan batu kecil gunung berapi (lava rock) diletakkan di atas permukaan tanah bagi menaikkan seri hiasan.


BOLEH dipelbagaikan jenis atau hanya fokus pada spesies sama dalam satu-satu pasu.

Berkongsi penjagaan gubahan sukulen secara umumnya, usahawan muda ini menyifatkan ia terbahagi kepada beberapa proses penting termasuk jenis tanah, penyiraman, pembajaan dan penukaran pasu.

“Jenis tanah sangat penting bagi memastikan tumbuhan ini dapat hidup dan pengaliran air sempurna.

“Saya menyarankan supaya menggunakan tanah organik yang mengandungi baja kompos terdiri daripada sabut kelapa, sekam padi dan per lite.

“Tetapi tiga bahan organik ini masih tidak mencukupi, kita boleh gunakan bersama ‘pumice’ atau batu berliang kecil mampu ‘memegang’ udara yang kaya dengan mikronutrien baik untuk sukulen.

“Tumbuhan separa kaktus ini juga tidak memerlukan tanah yang menyimpan air sekadar melaluinya saja. Jika tersalah tanah, sukulen akan cepat rosak dan mati.

“Mungkin ramai beranggapan sukulen tidak memerlukan air banyak kerana ia bernabu. Sebaliknya, penyiraman tumbuhan ini perlu dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali.

“Mengulas mengenai pembajaan pula, penggunaan tanah organik sememangnya kaya dengan baja semula jadi tidak memerlukan kita melakukan proses pembajaan kerap.

“Baja lepas lambat ‘osmocote’ berbentuk bijian ini digunakan antara tiga hingga empat biji bagi satu pasu kecil dan ia mampu bertahan hingga empat bulan.

“Proses penukaran pasu pula bergantung kepada saiz sukulen itu sendiri. Sekiranya ia diletakkan dalam pasu lebih besar, lebih cepat ia membesar.

“Paling penting, sukulen ini memerlukan cahaya matahari secukupnya untuk tumbuh dengan lebih sihat,” jelasnya yang mengusahakan perniagaan sukulen bersama isteri, Harisa Husaini Shamsaifful, 29.

Menafikan sukulen adalah tumbuhan ‘indoor,’ beliau berkata pokok ini perlu diletakkan di tempat yang terdedah dengan matahari secara tidak langsung seperti tepi tingkap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 5:40 AM