KONSEP diperkenalkan Marie mudah, cetus fenomena di seluruh dunia.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


SUDAH pasti anda pernah berdepan situasi tidak mempunyai pakaian yang sesuai untuk digayakan sama ada untuk bersantai atau formal.

Namun persoalan sama perlu diutarakan, adakah benar tiada busana bersesuaian ataupun susun atur pakaian sedia ada di dalam almari ‘menutup’ penglihatan anda untuk mengenal pasti?

Kita terbiasa dengan kaedah susun atur pakaian dengan cara menggantungkan pakaian menggunakan penyangkut baju dan kaedah melipat secara mendatar atau melintang.

Dua kaedah ini nampak memudahkan, tetapi tanpa disedari ia memakan ruang yang terhad dan agak menyukarkan kita memastikan sama ada ia masih diperlukan atau sebaliknya.

Bagi membantu anda mengemas pakaian dengan lebih efisien, kaedah Konmari yang diperkenalkan wanita berasal dari Jepun, Marie Kondo, menjadi alternatif menarik.

Kaedah Konmari ini sudah menjadi satu fenomena dunia berkaitan dengan falsafah, teori dan kaedah mengemas pakaian serta barangan rumah yang sangat praktikal.

Lebih menarik, idea mengemas pakaian dan barangan rumah diinspirasikan Marie ini dikongsikan menerusi buku tulisannya, The Life-Changing Magic of Tidying yang terjual lebih enam juta unit di seluruh dunia.

Kejayaan wanita ini turut meningkatkan popularitinya apabila mempunyai rancangan televisyen sendiri tayangan Netflix, Tidying Up with Marie Kondo sejak awal tahun lalu.


MARIE (kanan) mengilhamkan kaedah Konmari.

Konsep diperkenalkan Marie sangat mudah dan dapat membantu pemilik rumah untuk menguruskan kediaman dengan lebih baik.

Paling penting, hasilnya mencetuskan keseronokan dan kegembiraan tersendiri pada individu berkenaan.

Konsep minimalis Konmari ini menekankan prinsip pembahagian barangan atau pakaian mengikut kategori.

Antara yang unik mengenai kaedah Konmari ini adalah terletak pada teknik lipatan dan susunan pakaian yang mampu menjimatkan ruang. Pada masa sama, menjadikannya menarik.

Elemen kekemasan dititikberatkan apabila pakaian dilipat secara berperingkat mengikut kuantiti lipatan.

Pakaian dilipat lebih kecil dan saiznya hampir sama kecuali dari material jenis tebal.

Semua jenis pakaian sama ada baju, seluar, tudung, pakaian dalam dan stokin dilipat menggunakan kaedah sama.

Selepas itu, pakaian yang dilipat ini akan disimpan di dalam laci kabinet atau kotak dan disusun secara menegak atau berdiri.

Secara logiknya, apabila pakaian disusun secara menegak, risiko untuk ia bersepah berkurangan berbanding susunan secara mendatar.

Selain itu, sebaiknya pakaian disimpan mengikut kategorinya di ruang laci berbeza.

Jika lebih kreatif, anda juga boleh menyusun pakaian ini mengikut warna, pasti ia nampak cantik dan membuatkan hati anda seronok seperti yang diharapkan Marie.


PAKAIAN tidak tersusun undang pembaziran ruang.

Enam peraturan utama dalam kaedah Konmari:

1. Pastikan diri anda sentiasa bersedia untuk mengemas

2. Pilih gaya hidup anda yang ideal

3. Ketepikan pakaian atau barangan yang ingin dilupuskan

4. Kemas mengikut kategori pakaian

5. Ikut aturan yang tepat

6. Tanya pada diri sendiri adakah barangan yang disimpan itu memberi keseronokan kepada anda?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 5:10 AM