FASAD menggunakan kaca berwarna yang menghasilkan cahaya pelangi.
Susunan Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

MENGAGUMKAN! Satu kata yang masih tidak cukup bagi menzahirkan keunikan dan keindahan reka bentuk serta seni bina Islam yang disuntik pada struktur Masjid Nasir al-Mulk ini.

Terletak di Shiraz, Iran, pusat agama tradisional yang dikenali sebagai Masjid Merah Jambu ini memiliki populariti tersendiri apabila ia menjadi tumpuan pelancong sekiranya menjejakkan kaki ke negara berkenaan.

Dominasi material kaca berwarna-warni pada fasad masjid ini berjaya menghasilkan pemandangan luar biasa dalaman sebaik terkena pancaran mentari.

Ini membuatkan masjid berkenaan nampak lebih istimewa dan memiliki nilai estetika seni bina yang tersendiri.

Uniknya, majoriti jubin yang digunakan bagi reka bentuk dalaman masjid ini berwarna merah jambu, sekali gus menjawab persoalan nama samarannya.

Selain itu, ciri seni binanya turut mempamerkan unsur tradisional masyarakat tempatan seperti reka bentuk Iran ‘Panj Kase’ atau lima lekuk.

Rekaan masjid hasil tangan arkitek Iran, Mohammad Hasan e Memar dan Mohammad Reza Kashi-Saz-e-Sirazi ini dibina pada 1876 dan disempurnakan pada 1888.

Paduan reka bentuk dan seni diterapkan pada ‘masjid pelangi’ ini menghasilkan kecantikan luar biasa.

Elemen harmoni turut terserlah apabila coretan lajur, corak geometri, pancaran suria dan kaca berwarna digabungkan bersama.

Masjid dengan keluasan 2,212 meter persegi ini mempunyai ruang laman yang cukup besar, satu pintu masuk utama, ruang parkir dan pintu gerbang.

Nama Masjid Merah Jambu diambil sempena pemerintah era Qajar, Mirza Hasan Ali yang juga dipanggil Nasir al-Mulk, bertanggungjawab mengeluarkan arahan terhadap pembinaan masjid tradisional ini.

Masjid ini dikendalikan Yayasan Wakaf Nasir al-Mulk yang bertanggungjawab bagi proses pemulihan, perlindungan dan penyelenggaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 12:56 PM