RUANG tersendiri untuk anak melakukan eksplorasi.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


EKSPLORASI, kata kunci yang tepat untuk membantu si kecil mempelajari sesuatu dengan pengalaman dan pengamatan sendiri dengan pengawasan ibu bapa.

Namun dengan situasi keselamatan hari ini membuatkan segelintir ibu bapa paranoid untuk membenarkan anak mereka berada di luar rumah bagi melakukan aktiviti mahupun menerokai persekitaran.

Tetapi, itu bukan alasan yang munasabah buat ibu bapa menyekat kreativiti anak atau semata-mata bergantung kepada gajet bagi mengalih tumpuan. Pilihan yang ada, penjaga boleh membina ruang bermain si kecil di dalam bilik mahupun di halaman rumah secara lakukan sendiri (DIY) mengikut minat anak dan kreativiti ahli keluarga.

Berikut antara panduan yang boleh membantu ibu bapa menghasilkan ruang istimewa si cilik.

1. Lokasi

Pilihan tempat atau ruang yang sesuai dijadikan taman permainan kanak-kanak di rumah termasuk bilik tidur, bilik khas, ruang tamu, bahagian bawah tangga (bagi rumah bertingkat) ataupun di halaman rumah.

Sekiranya ada bilik khas untuk tujuan ini, ia lebih baik kerana anak dapat melakukan aktiviti sendiri dengan lebih bebas.

Bilik tidur pula akan membuatkan anak ‘terkurung’ dalam ruang yang sama.

Bahagian bawah tangga dan ruang tamu antara alternatif terbaik kerana sambil anak bermain, ibu bapa atau penjaga dapat memantau pergerakan mereka dengan lebih baik.

Selain itu, ia juga dapat mendedahkan si kecil dengan aktiviti bersosial di ruang yang terbuka sekiranya menerima kunjungan tetamu.

Pilihan halaman rumah pula adalah kelebihan buat mereka yang memiliki

kediaman teres.

2. Tema atau konsep

Sebagai ibu bapa sememangnya bertanggungjawab mewarnakan kehidupan anak, tetapi ia tidak bererti kita boleh mengetepikan minat si kecil.

Sekiranya mereka meminati satu-satu ikon atau figura, kita mungkin boleh menggunakan elemen itu sebagai konsep utama ruang bermain.

3. Warna

Selalunya ibu bapa mengkategorikan anak mengikut warna, merah jambu umpamanya simbolik kepada kanak-kanak perempuan manakala biru bagi lelaki.

Tidak dinafikan dua warna berkenaan memiliki kecan

tikan tersendiri, namun sebaiknya ibu bapa ‘bermain’ dengan tona warna cerah dan pastel bagi merangsang mata dan minda anak.

Selain itu, gabungan warna yang pelbagai pasti menjadikan ruang bermain si kecil nampak lebih menyerlah malah ceria.

4. Permainan

Sesuai dengan konsep ‘taman permainan dalam rumah’, jadi tidak salah seandainya kita menambah alat permainan seperti buaian, tali untuk bergayut ataupun tangga di dinding bagi membolehkan mereka bergerak aktif.

Pilihan lain, anda juga boleh menyediakan permainan yang bersesuaian dan selamat mengikut usia anak.

Kanak-kanak juga suka menzahirkan kreativiti dengan cara menconteng, jadi papan hitam bersama kapur ataupun pen khas membolehkan mereka berkarya.

5. Perabot

Secara semula jadi, kanak-kanak sememangnya aktif dan risiko berlaku kemalangan tinggi.

Jadi, anda perlu memilih perabot yang selamat dan mengurangkan risiko cedera ketika bermain.

Sebagai contoh, menggunakan permaidani atau tikar menyerap hentakan, meja dan kerusi diperbuat daripada PVC bukannya kayu, rak buku atau permainan bersaiz sederhana.

Sekiranya ada bucu perabot atau dinding dilihat berbahaya, anda dinasihatkan supaya melindungi bahagian berkenaan.

6. Bahan bacaan

Dengan adanya perabot seperti meja dan kerusi, anda boleh mempelbagaikan teknik pembelajaran anak menerusi pembacaan buku cerita ataupun buku aktiviti, bukan hanya bermain.

Terdapat banyak pilihan buku cerita dan buku aktiviti yang bersesuaian bagi menyemarakkan rasa cinta si kecil terhadap ilmu pengetahuan.

7. Penjagaan

Memiliki ruang tersendiri, anda perlu mendidik si kecil supaya berdisiplin terhadap kebersihan dan kekemasan ruang bermain mereka.

Anda boleh sediakan rak atau kotak pelbagai warna bagi memberi semangat kepada anak untuk mengemaskan semula barang permainan mahupun buku digunakan apabila selesai.

Secara tidak langsung, si kecil belajar untuk bertanggungjawab dan menghargai barangan peribadi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 12:44 PM