GABUNGAN perabot vintaj dan kontemporari lengkapkan dekorasi.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


KEBAKARAN hutan yang sering berlaku di bahagian utara California, Amerika Syarikat, mengundang keresahan penduduk berikutan bencana itu bukan saja memberi impak kepada alam sekitar, malah menjejaskan kediaman mereka.

Bagi mengurangkan kerosakan akibat api, firma seni bina Mork-Ulnes Architects dipertanggungjawabkan membina rumah yang bukan saja memenuhi keperluan pelanggan, malah mampu bertindak-balas terhadap ancaman kebakaran hutan.

Keluli, konkrit dan kaca tahan cuaca digunakan dalam pembinaan sebuah rumah yang terletak di lereng bukit dan menghadap lembah Sonoma County.

Rumah bangsal dua tingkat dinamakan Triple Barn itu direka supaya dapat dibina di kawasan bercerun bagi memberikan pemandangan lembah yang beralun-alun dan diselimuti rimbunan pohon dan kebun anggur.

Tingkat atas rumah yang menempatkan ruang tamu utama direka berbentuk segi empat dengan sedikit lengkungan.

“Perkara paling mencabar dalam projek ini yang turut menentukan bentuk bangunan adalah bagaimana memanfaatkan cerun yang curam dan pada masa sama mewujudkan laluan jentera bomba di kawasan yang mudah terbakar.

“Kami juga memilih keluli Corten sebagai pelindung material disebabkan mempunyai ciri rintangan semula jadi terhadap api,” kata arkitek, Casper Mork-Ulnes.

Bahagian paling bawah rumah itu menempatkan pejabat, stor dan bilik mencuci pakaian serta garaj kereta. Bersebelahan ruangan ini adalah lorong luas yang dapat memuatkan jentera kebakaran.

Terdapat tiga bumbung yang menggambarkan zon berbeza dalam rumah itu. Konkrit digunakan di bahagian bawah, manakala keluli tahan cuaca di bahagian atas.


RUANG dapur konsep terbuka.

Rumah seluas 1,750 kaki persegi itu dimiliki seorang tukang masak yang juga pendidik makanan sihat, Hollie Greene Rottman, bersama suaminya, Jim juga eksekutif di syarikat farmaseutikal.

Pasangan yang pernah menetap di bandar raya San Francisco dan New York itu mengidamkan kediaman berkonsepkan desa untuk suasana tenang dan ada hubungan dengan alam semula jadi. Mereka juga mahukan ruang yang banyak untuk menganjurkan kelas memasak dan menerima tetamu.

Kayu pokok fir, batu semula jadi dan dinding bercat putih adalah kemasan di bahagian dalam rumah membantu pencahayaan kekal terang. Gabungan perabot vintaj dan kontemporari pula sebagai dekorasi.

Tingkat bawah menempatkan dapur, ruang makan dan ruang tamu utama, manakala bilik tetamu dan ruang rehat berada di lokasi tengah rumah.

“Hiasan dalaman rumah sengaja direka untuk material yang ringkas dan cerah bagi mewujudkan suasana kasual. Semua dinding dicat putih supaya setiap ruangan menjadi terang, selain membolehkan pemandangan luar dapat dilihat jelas.


RUANG tamu terbuka tepati konsep desa.

“Dibina dengan pelan lantai terbuka, rumah ini dan kemasannya direka supaya keluarga berkenaan dapat memiliki ruangan peribadi. Rumah ini juga banyak elemen tersendiri, namun pusatnya adalah dapur dengan gaya profesional.

“Selain dilengkapi dengan perkakas dapur dan meja kayu walnut, dapur ini juga bersambung dengan teres luar. Teres ini juga menempatkan batas menanam sayur bersama tempat pendiang api,” katanya.

Mork-Ulnes Architects memiliki portfolio pembinaan kediaman berciri Skandinavia, namun diberi sentuhan dinamakan ‘keterbukaan California terhadap inovasi.’

Projek kediaman lain termasuk Ridge House terdiri tiga keluli berbumbung sudut di Sanoma County dan rumah kayu dengan pelan berpusing di Norway.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 6:00 AM