POKOK heliconia yang menjadi tumpuan pada ruang meja konsol.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


LUAR daripada kebiasaan. Inilah yang menangkap perhatian penulis kala melihat hasil sentuhan pemilik kediaman yang menata rias ruang rumah dengan tema tanaman hidup.

Biasanya konsep tanaman dalam bangunan diamalkan dalam premis komersial seperti kafe, restoran atau butik hotel. Jika ada di rumah pun, ia sekadar penyeri ruang.

Bukan mudah untuk menampilkan seni hiasan dengan pokok hidup di dalam rumah. Banyak faktor yang perlu diberi tumpuan khususnya pemilihan tumbuhan sesuai dan pemahaman kombinasi landskap bersama hiasan dalaman supaya ia mampu memberi kesan ‘wow’ kepada keseluruhan ruang dalam rumah.

Namun ia bukan mustahil kerana jurugambar bebas, Khairul Amri Daud berjaya membuktikannya apabila menggunakan konsep terbabit di kondominium di Cheras, Kuala Lumpur.


PENGGUNAAN warna perang gelap berlatar putih dan hijau kombinasi estetika ditonjolkan Khairul Amri.

Katanya, sebaik rumah berkenaan dibeli kira-kira setahun lalu, konsep awal yang dimahukan ialah sentuhan tradisional Melayu menerusi penggunaan perabot klasik dan perincian vintaj tetapi beralih kepada aliran semula jadi iaitu tanaman serta kayu sebagai elemen utama.

“Saya peminat barang vintaj dan mulanya hendak menghias rumah menggunakan tema berkenaan. Namun ketika meninjau perabot dan aksesori hiasan di beberapa pasar karat serata Malaysia seperti Kuantan dan Ipoh, saya mula sedar kos untuk merealisasikan konsep itu melangkaui bajet yang ada.

“Harga untuk gerobok lama saja sudah jangkau RM1,000 dan suis klasik berwarna hitam sekitar RM50 hingga ke RM100 sebiji, rasanya terlalu mahal. Tambah pula ada banyak soket rumah ini banyak dan pastinya untuk perincian kecil itu sahaja sudah menelan banyak belanja,” katanya yang membelanjakan sekitar RM50,000 untuk kerja pengubahsuaian dan hiasan dalaman rumah berkenaan.


TIDAK perlu penyelenggaraan rumit.

Selaku anak FELDA yang membesar dengan persekitaran hijau dan dikelilingi pokok, ilham daripada tema vintaj itu berubah kepada konsep taman dalam rumah kerana bersesuaian dengan minatnya yang mendalam terhadap perabot kayu.

“Selepas berfikir untuk mendapatkan rupa vintaj terlalu mahal, saya cuba mencari konsep yang hampir ke arah itu dan waktu itu idea asasnya ialah perabot kayu.

“Saya tidak mahu terlalu kelihatan seperti konsep Scandivia, jadi saya beli perabot dengan warna lebih gelap seperti warna kayu pada perabot klasik Melayu.

“Penampilan utama dalam wajah rumah yang saya mahukan ialah pada perincian lantai iaitu terdapat dua jenis material kayu saya gunakan iaitu kalis air dan tahan air.

“Bagi ruang tamu, saya gunakan kayu tahan air sementara bahagian lantai hampir dengan bilik air saya gunakan kalis air yang lebih mahal. Saya habiskan sekitar RM6,000 bagi bahagian lantai,” katanya.

Dalam proses dekorasi rumahnya, kata bapa berusia 34 tahun ini yang juga bekerja sendiri, dia berasakan suasana dalam rumah elemen penting buat keselesaan terutama tiga anaknya, Melur Maisarah, 6, Tuah Adri, 5 dan Embun Amirah, 2, yang sedang membesar.


MURAL antara sentuhan peribadi Khairul Amri dan anak di bilik tidur.

Bersandarkan rujukan di Internet, apa menarik perhatiannya ialah dekorasi dengan konsep tanaman dalam rumah yang dilihat membantu menyuntik elemen santai dan menenangkan buatnya sekeluarga.

“Dulu persekitaran kediaman lama tidak memberangsangkan dan anak jadi stres serta agresif.

“Selain bekerja di luar, banyak masa saya berkurung di rumah disebabkan kerja suntingan gambar dan video. Jadi memang melemaskan. Jadi apabila berpindah ke rumah baharu saya mahukan kelainan yang menenangkan. Apabila terlihat konsep ini, saya mula bawa masuk tanaman dalam rumah.

“Masa mula-mula susah hendak mencari tanaman sesuai dan banyak yang mudah mati. Selepas beberapa kali mencuba, kali ini berhasil dan tanaman yang ada bertahan lama di dalam rumah.

“Maklumlah saya tiada asas tanaman atau landskap, jadi hanya bergantung kepada maklumat daripada pemilik nurseri dan Internet yang menjadi ‘guru’ saya. Kaedah penggayaan dan susun atur pokok juga begitu, saya bukanlah tipikal tukang kebun yang konsisten menjaga pokok.


SUASANA kediaman memberi terapi buat keluarga Khairul Amri.

“Saya terpaksa tanam tumbuhan lasak dan kurang memerlukan penyelenggaraan. Boleh katakan pokok paling rumit yang ada ialah spesies pokok pisang hutan atau heliconia.

“Disebabkan saya tidak suka pokok palsu, setiap tiga atau empat bulan saya akan beli dan ganti pokok ini kerana setelah berbunga sekali, pokok ini akan mati.

“Pokok lain hanya memerlukan kerja membuang daun kering dan disiram sekali-sekala. Biasanya saya akan lakukan ketika stres dan ia membantu.

“Bagi anak juga saya lihat perkembangan emosi dan perilaku lebih positif dengan persekitaran malar hijau ini. Mereka juga suka membantu saya menjaga pokok yang ada antaranya monstera, Ficus lyrata, dracaena dan banyak lagi,” katanya.

Dalam ubah suai ruang rumah itu juga, kata Khairul Amri, dia tidak mempunyai banyak perabot disebabkan mahu memberikan ruang luas untuk anaknya bergerak bebas.

Isterinya, Siti Salmah Jusoh, 34, memberi kepercayaan dan sokongan terhadap konsep berkenaan meskipun pada mulanya agak khuatir dengan idea pemilihan pokok hidup dalam rumah.

Selain ruang utama, bilik turut dihias dengan tanaman sementara bilik anaknya juga diberikan sentuhan seni apabila terdapatnya mural yang dilukis sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 6:00 AM