MASJID Kubah Emas
Susunan Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Kubah dilihat sebagai ciri yang signifikan dalam seni bina apabila sering digunakan menghiasi rumah ibadat, monumen dan bangunan kerajaan.

Penggunaan kubah yang berbentuk separa sfera sebenarnya sudah bermula sejak zaman Rom kuno iaitu ketika pembinaan Pantheon, salah satu kuil yang terkenal.

Pengaruh reka bentuk bumbung itu berlanjutan sehinggalah ke tamadun gemilang Turki yang menjadikan kubah sebagai struktur penting dalam pembinaan sesuatu bangunan sama ada untuk bangunan kerajaan mahupun dalam pembinaan masjid. Di sini disenaraikan lima daripada 15 kubah tersohor serata dunia seperti yang disiarkan dalam satu portal antarabangsa:

Bangunan Capitol, Washington, Amerika Syarikat

Terletak di atas Bukit Capitol, di hujung timur National Mall, Washington, Amerika Syarikat. Bangunan Capitol Amerika Syarikat antara bangunan yang paling penting dari segi simbolik dan arkitek di negara berkenaan.

Ia menempatkan ruang mesyuarat Dewan Perwakilan dan Senat selama dua abad. Kubah bangunan Capitol tidak ditambah sehingga 1850-an. Ia mengambil masa selama 11 tahun untuk meletakkan kubah di atas bangunan.


BANGUNAN Capitol

Masjid Kubah Emas, Baitulmaqdis

Dibina pada abad ketujuh, dipanggil sebagai ‘kubah batu’ adalah masjid suci dan tapak Islam yang paling terkenal di Baitulmaqdis.

Pembinaan semula kubah dan masjid itu pada 691 Masihi adalah atas perintah Khalifah Umayyad Abd al-Malik.

Kubah masjid itu adalah contoh seni bina Islam yang tertua dan warna emas pada kubahnya terus menyinar meskipun berusia ribuan tahun.

Taj Mahal, Agra, India

Terletak betul-betul di tebing Sungai Yamuna, Taj Mahal adalah bangunan putih tersergam indah sesuai dengan pembinaannya sebagai tanda kasih sultan yang membina untuk permaisuri tercinta.

Reka bentuk bangunan itu dilihat satu seni bina cukup halus serta teliti apabila sering menjadi perhatian pengunjung serata dunia untuk merakam setiap sisi terutama kubahnya dilihat mempunyai lengkungan sempurna.


TAJ Mahal

Masjid Sheikh Lotfollah, Isfahan, Iran

Masjid Sheikh Lotfollah adalah antara seni bina penting di daerah Dataran Naghshi Jahan di Isfahan, Iran. Kubah masjid kecil yang indah ini dianggap sebagai satu daripada karya seni bina Islam yang hebat di dunia.

Ia adalah salah satu masjid lebih kecil di kawasan itu, yang direka untuk digunakan oleh keluarga diraja semata-mata.

Hagia Sophia, Istanbul, Turki

Dibina ketika Empayar Justinian pada 537. Hagia Sophia adalah rumah ibadat bagi Ortodoks Yunani yang terbesar di dunia selama lebih sembilan abad kemudian menjadi masjid ketika Empayar Turki menakluk bandar itu pada 1453.

Bermula pada 1935, masjid ini diubah fungsinya dan dijadikan muzium. Kubah Hagia Sophia dibuat daripada bata dan diameternya adalah 33 meter (108 kaki).

Turut tersenarai ialah Masjid Putrajaya pada tangga ke-12 yang memiliki kubah berwarna merah jambu dan dibina daripada batu granit yang berwarna merah ros.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 5:30 AM