PANDUAN elak permukaan jadi licin undang risiko.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


PENGGUNAAN blok turap konkrit digunakan secara meluas pada laman rumah mahupun persekitaran landskap bangunan kerana selain menjadi pilihan ekonomi, material ini juga mesra alam.

Namun masalah sampingan penggunaan material ini ialah ia mudah diselaputi lumut yang tumbuh di permukaan dan celahan konkrit apabila kerap ditimpa hujan.

Meskipun ia memberi nilai tambah pada landskap laman iaitu tampak hijau tetapi turut memberi risiko kepada pejalan kaki kerana permukaan menjadi licin dan boleh menyebabkan orang yang lalu di atasnya terjatuh. Dikongsikan panduan untuk menyingkirkan lumut yang menyelaputi blok konkrit iaitu

1. RACUN KULAT

Racun jenis antikulat membantu mengekang pertumbuhan lumut. Ia cekap dan memberi kesan pantas apabila panas matahari membantu mempercepatkan proses serapan pada sekitar blok turap konkrit terbabit.

2. KAPUR BANGUNAN

Meskipun penggunaan meluas dalam campuran bahan binaan, kapur juga boleh mengelak lumut tumbuh melata. Kaedahnya ialah basahkan blok berkenaan, kemudian taburkan kapur itu dan biarkan semalaman. Bersihkan lumut mengering dan taburkan kapur berkenaan untuk cegah lumut tumbuh kembali.

3. MENGGUNAKAN SERBUK SIMEN

Seperti kapur, fungsi simen boleh digunakan untuk mengelak pertumbuhan lumut. Caranya mengikut kaedah sama seperti kapur.

4. TABURAN SODA BIKARBONAT

Ia sesuai untuk kes lumut yang baharu atau sedikit tumbuh pada permukaan blok berkenaan. Sifat bahan ini sebagai pelelas (mengelupas) dapat membersihkan lumut dengan baik.

Tidak hairanlah bahan ini sebagai gantian cucian lebih mesra alam dan selamat digunakan. Terbaik gunakan dengan bancuhan lebih kental untuk mencuci permukaan blok yang berlumut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 5:00 AM