BENTUK utama ruang secara simetri.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


DINAMAKAN rumah Tolak-Tarik, kediaman di Amersham, England ini dianggap unik kerana ia dibina dengan beberapa ruang yang sengaja dipisahkan bertujuan membenarkan lebih banyak cahaya semula jadi masuk menerusi bahagian direnggangkan.

Direka arkitek dari London, Cullinan Studio, rumah ini mempunyai pencahayaan di bahagian dalam dan yang terbuka, manakala pencahayaan bahagian luar dikekalkan bagi mengikut prosedur kawasan dilindungi Seni dan Kraf 1930 untuk seni bina kediaman.

Kesinambungan visual ini digabungkan dengan kaedah pembinaan moden. Rumah Tolak-Tarik dibina daripada struktur balak silang (CLT) yang direka dengan kerjasama pakar kayu Eurban.

Menjadikan kekuatan struktur seni dan kraf sebagai ilham, Cullinan Studio membuat rekaan berdasarkan bentuk rumah tradisional sebelum membahagikannya kepada tiga bahagian.

Bentuk utama rumah dibahagikan secara simetri kepada dua bahagian iaitu ruang masuk dan tangga ke tingkat atas.

Di samping kedua-dua bentuk ini, ruang bumbung disambungkan curam ke bawah bagi mewujudkan ruang tamu, dapur dan tempat makan yang besar dengan pelan terbuka dengan sudut berpilih yang menghadap ke taman.

“Pemilik rumah sangat menyukai ruangan yang terang-benderang di dalam rumah, oleh itu kami jadikan ia pendekatan dalam rekaan.

“Ruangan yang renggang seakan-akan boleh ditolak dan ditarik membawa masuk cahaya matahari. Biarpun terdapat ruangan yang rumit, cahaya mudah dipantul ke bawah menerusi bahagian dari jendela tinggi,” kata ketua jurubina, Roddy Langmuir.


BAHAGIAN renggang dipasangkan jendela kaca lut sinar memberikan gambaran visual rumah bersambung. Kanan, jendela tinggi cahaya mudah pantul ke bawah.

Rumah ini dipisahkan kepada empat bahagian yang mengelilingi ruang masuk berpusat dengan bilik ditempatkan di setiap penjuru.

Di tingkat bawah, ia menempatkan ruangan bersantai, tempat belajar dan bilik pelbagai guna, manakala tingkat atas pula adalah bilik tidur.

Bahagian yang renggang dipasangkan jendela kaca lut sinar memberikan gambaran visual rumah bersambung di setiap tingkat.

Di dalamnya, struktur CLT dibiarkan terbuka dengan sapuan cat putih untuk dipadankan dengan dinding bata dan lantai yang berwarna gelap.

Cullinan Studio diasaskan Ted Cullinan pada 1965 dengan projek terdahulu seperti penambahan rumah di Hampstead dengan kotak kaca bagi mewujudkan sambungan ke taman bunga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 5:00 AM