POKOK tiruan menaikkan seri ruang tamu.
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


KIRA-kira dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, kehidupan seharian kita banyak dipengaruhi teknologi terkini membabitkan penggunaan aplikasi telefon pintar dan media sosial.

Dalam bidang hiasan juga tidak terkecuali apabila munculnya aplikasi seperti Instagram, Flickr dan Pinterest yang bukan saja merubah cara kita menilai reka bentuk malah melahirkan ramai pereka hiasan dalaman ‘segera’ yang tidak kurang hebatnya berbanding yang profesional.

Bagi mereka yang rajin dan mempunyai daya kreativiti, mudah sahaja untuk menghasilkan rekaan hiasan dalaman pelbagai konsep.


KEBANYAKAN perabot di kediaman ini dibeli dari kedai terpakai

Buka saja media sosial seperti contoh di atas, banyak bahan rujukan juga boleh dijadikan inspirasi untuk diaplikasikan di kediaman sendiri.

Itulah yang dilakukan Mohd Azwadi Ab Wahid yang menghias sendiri rumahnya di Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PP1M) Presint 11, Putrajaya dengan konsep ‘mix and match’ atau suai padan.

Pegawai Pertanian di Jabatan Pertanian berusia 35 tahun ini berkata, dia menggabungkan hiasan klasik dan moden.

“Suai padan adalah gaya yang memecahkan tabu, reka bentuk yang objek, gaya, bahan atau elemen berlainan digabungkan secara bebas untuk mencipta gaya baharu.


KAMAR tidur utama guna konsep suai padan.

“Pada mulanya saya mahukan konsep Parisian tapi disebabkan sukar mendapatkan kebanyakan material dan kekangan bajet, ini sahajalah yang mampu buat masa ini,” katanya.

Katanya, dia memilih gabungan warna putih, biru dan emas untuk menghiasi ruangan pangsapuri berkeluasan 111.5 meter persegi itu.

“Sejujurnya, saya tiada pengalaman dalam menghias rumah, semuanya mengikut naluri dan gabungan idea daripada pelbagai sumber.

“Idea dan konsep untuk kediaman saya ini boleh dikatakan datang daripada pengalaman, pengamatan dan persekitaran, misalnya ketika bercuti ke luar negara.


TAK PUAS memandang tatarias ruangan dapur yang dihias lelaki ini.

“Saya juga menjadikan banyak majalah berkaitan hiasan dan aplikasi Pinterest sebagai ‘guru’ sehingga terhasilnya rekaan hiasan di kediaman saya ini sekarang.

“Ada juga saya dapatkan inspirasi daripada buku dekorasi luar negara dan bilik pameran,” katanya yang masih belum berumah tangga.

Mohd Azwadi juga boleh disifatkan berani apabila turut mencampurkan elemen ‘hijau’ dengan meletakkan banyak pokok tiruan dan hidup sebagai dekorasi di kediamannya itu.

Menariknya, ia tidak langsung menjejaskan pemandangan, sebaliknya menaikkan seri hiasan yang secara tidak langsung memberi gambaran jejaka itu mempunyai cita rasa tersendiri dalam menghias rumah.

“Pokok hidup agak sukar dijadikan hiasan terutama jika rumah tidak mendapat cahaya yang sepenuhnya.

“Biasanya saya letak pokok hidup di ruang berhampiran tingkap dan setiap dua minggu letak di balkoni untuk beberapa waktu sebelum meletak kembali ke dalam rumah.

“Dari segi penyelenggaraan juga memerlukan kita sentiasa cakna dengan memangkas, membaja dan menyiram pokok ini.

“Sebab itu kebanyakan pokok yang ada di rumah saya adalah pokok tiruan, tetapi ada juga cabarannya iaitu masalah debu dan risiko pudar,” katanya.

Secara keseluruhan, Mohd Azwadi berkata, dia membelanjakan kira-kira RM20,000 untuk hiasan dalam rumah.

“Saya buat pun secara berperingkat-peringkat dan kalau nak diikutkan, masih belum siap lagi.

“Banyak perabot saya terpakai yang saya beli. Ada antaranya perabot lama yang saya baik pulih dan ada juga saya dapat di pasar lambak.

“Alhamdulillah, saya amat berpuas hati dengan hasil dekorasi dan tatarias apartmen saya ini.

“Bagi saya, rumah tidak seharusnya cantik tetapi yang penting selesa dan membuatkan kita betul-betul berasa berada di kediaman idaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 9:56 AM