Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


SAIZ rumah yang kecil bukanlah halangan kepada individu untuk menata hias kediaman mengikut cita rasa peribadi, sebaliknya ia bergantung kepada kebijaksanaan memanfaatkan ruang serta pemilihan perabot yang tepat.

Idea ini direalisasikan Hafidah Abdul Ghafar apabila berjaya menghasilkan sentuhan dekorasi minimum yang bergaya terhadap pangsapuri miliknya di ibu kota.

Saiz kediaman berukuran 700 kaki persegi dengan tiga kamar tidur, wanita berusia 40 tahun ini melihat konsep minimalis Scandinavia adalah pilihan terbaik.

Transformasi daripada konsep moden kontemporari kepada Scandinavia sejak dua tahun lalu, Hafidah mengakui ruang terhad memaksa dirinya berhati-hati terhadap setiap langkah menata hias.

“Setiap ruang terlalu minimum untuk saya mencurahkan kreativiti dan ia bukan perkara mudah.

“Panduan utama, saya perlu menggunakan perabot paling minimum demi mewujudkan ruang yang luas.

“Ini seiring dengan erti Scandinavia bermaksud minimalis, sederhana dan fungsi satu-satu perabot yang merangkumi penggunaan bahan semula jadi seperti kayu, rami dan kulit.

“Bagi menjimatkan penggunaan ruang, pemilihan saiz perabot sangat dititikberatkan.


RUANG tamu sebelum ini.

“Selalunya saya membuat ukuran di setiap ruang sebelum membeli perabot bagi memastikan ia tidak menjadikan rumah terlalu sarat. Selain itu, gaya susun atur juga penting.

“Disarankan sebelum menentukan sesuatu tema dekorasi atau pembelian perabot dilakukan, sebaik-baiknya melakukan rujukan menerusi pelbagai sumber sebagai inspirasi.

“Melalui inspirasi itu, mungkin kita mendapat sedikit idea bagaimana hendak memilih tema atau jenis perabot yang terbaik dan bersesuaian dengan ruang yang ada.

“Selain itu, dengan panduan ini juga kita dapat mengelakkan pembelian perabot yang lari daripada konsep atau skema warna dipilih mungkin terlalu gelap dan terlalu banyak kombinasinya,” jelasnya.


HAFIDAH lakukan transformasi konsep kediaman setiap dua tahun.

Menurut Hafidah lagi, tip yang mampu ‘menyelamatkan’ ruang terlalu berat, pemilihan warna cat putih atau pastel adalah pilihan terbaik untuk jangka masa panjang.

Cat putih pada dinding kediaman boleh disesuaikan dengan variasi jenis perabot untuk melengkapkan tema pilihan, selain menjadikan ruang lebih luas.

Kongsinya lagi, beliau sering membuat senarai barangan dan lakaran setiap kedudukan perabot serta perhiasan dekorasi sebelum menyusun atur.

Mengutamakan susunan perabot di kedudukan yang ditetapkan, kemudian barulah Hafidah menambah barangan perhiasan bagi satu-satu ruang secara berperingkat.

Aksesori perhiasan ini termasuk penggunaan pokok bersesuaian, meja kopi, bingkai gambar, rak kayu, pasu dan permaidani.

Gemar membuat eksperimentasi dekorasi kediaman, ibu kepada dua cahaya mata ini mengakui kerap melakukan transformasi menata hias dan perabot sekurang-kurangnya dua tahun sekali.

Bagi menerbitkan rasa segar dan kelainan buat isi rumah, Hafidah berkata, ruang utama seperti ruang tamu dan makan diberi keutamaan dalam proses pengubahsuaian ini.

Sempena perayaan lalu, Hafidah mengutarakan tema berbeza apabila menggabungkan dua warna berlainan konsep bagi dua ruang berkenaan.

Bagi ruang tamu, ton merah hati bersama putih menggantikan warna kelabu sebelum ini menjadi pilihan berjaya mencipta suasana menyerlah namun masih mengekalkan konsep Scandinavia.


KELUARGA kecil Hafidah.

Pilihan sofa dan kerusi rehat merah yang digabungkan bersama aksesori perhiasan berwarna putih, kelabu dan merah jambu berjaya menaikkan seri ruang tamu.

Tambahan pula, pilihan permaidani putih berjalur hitam bersaiz sederhana mengurangkan dominasi warna terang di ruang berkenaan.

Bagi hiasan dinding pula, wanita ini bijak menyesuaikan dengan perhiasan yang diperbuat daripada besi diwarnakan hitam.

Ia turut digandingkan bersama pokok hiasan hijau dan cermin dinding berbentuk bulat untuk menciptakan ilusi luas.

Berbeza pula dengan ruang makan yang mendapat suntikan konsep kehijauan taman apabila rona hijau diangkat sebagai warna utama.

Bukan sahaja pemilihan empat kerusi berwarna hijau, bahkan elemen tumbuhan turut diletakkan bersama bagi menyemarakkan lagi suasana tenang dan damai di ruang makan. Bagi menjimatkan penggunaan ruang, meja makan berbentuk bulat sebagai pilihan.

Turut menjalankan perniagaan dalam talian di bidang hiasan dalaman, Hafidah menjadikan rumahnya sebagai satu platform mengetengahkan konsep dekorasi sekali gus memberi idea kepada pengikut untuk menata hias.

Nasihatnya, peminat dekorasi disarankan menentukan konsep pilihan, bajet, pemilihan warna tema dan kerap melakukan rujukan.

Tegasnya, barangan berharga murah tidak bermakna tidak cantik dan sebaliknya. Paling utama, pemilik kediaman perlu mewujudkan identiti sendiri untuk syurga peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 9:52 AM
HAFIDAH lakukan transformasi konsep kediaman setiap dua tahun.