KOMBINASI perpustakaan dan pusat seni.
Susunan Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


PROSES membaik pulih atau transformasi bangunan warisan kepada ciri moden adalah antara usaha terbaik dalam mengekalkan keunikan seni bina lama sekali gus menarik kunjungan pelancong tempatan mahupun asing.

Inisiatif kerajaan Belgium memulihara bangunan bersejarah dipercayai dibina pada abad ke-19, Pupilenschool yang berfungsi sebagai sekolah anak askar sebelum mereka menyertai pasukan keselamatan itu dimenangi firma, Kaan Architecten.

Bangunan Utopia di Aalst kini menjadi sekolah muzik dan perpustakaan dinamakan sempena buku pertama yang dicetak di bandar berkenaan hasil tulisan Thomas Moore.

Projek seni bina bandar ini bertujuan mengekalkan struktur bangunan asal dan mengintegrasikan daripada tapak segi tiga kepada segi empat tepat bagi mewujudkan tiga ruang awam di lokasi berkenaan.


BILIK persembahan yang kedap bunyi.

Memiliki latar belakang sejarah Belgium, struktur ini sememangnya terletak di bandar zaman pertengahan yang berselirat dengan jalan dan dataran kecil.

Jaringan jalan kecil ini memberi idea kepada firma berkenaan untuk mewujudkan satu lagi ruang awam berkonsep kebudayaan dalam rangkaian sedia ada kepada komuniti.

Merujuk kepada ruang dalaman bangunan tiga tingkat ini, ia dilengkapi pelbagai fasiliti sekolah.

Lebih menarik apabila rak buku tinggi diperbuat daripada kayu oak seakan-akan berfungsi menyokong kestabilan dan kekukuhan struktur bangunan.

Sementara itu, bilik teater dan muzik pula diasingkan dalam kotak ‘akustik’ apabila ruang itu dibina menggunakan lantai konkrit, pintu kaca lapisan berganda dan pintu berciri kedap bunyi.


PERKENAL konsep jendela besar.

Kelebihan standard ini membolehkan arkitek menggabungkan ruang perpustakaan bersama kotak akustik tanpa gusar terhadap masalah gangguan kepada pengguna.

Menyuntik idea jendela besar dan luas setinggi bilik darjah bagi bangunan ini, ia bertujuan memberi peluang kepada pengguna pelbagai generasi bertemu meskipun wujudnya jurang antara mereka.

Sementara itu, bangunan sekolah lama yang dibina menggunakan bata bertindak sebagai ‘landasan’ utama bagi kejayaan projek ini.

Ini kerana struktur ini mengandungi sekolah, kelas seni, tarian, teater, pejabat serta koleksi kesusasteraan seni.

Kaan Architecten memberi sentuhan baharu apabila struktur asal dibalut dengan batu-bata berukuran panjang dengan permukaan lebih rata berwarna merah jingga.

Penambahan batu-bata ini adalah kesinambungan kepada bangunan sedia ada yang menjadi warisan zaman pertengahan Aalst.

Tingkat bawah pula terdiri daripada ruang awam termasuk kawasan bacaan utama, himpunan koleksi muzik dan video, bilik bacaan kanak-kanak, auditorium, bengkel belia, teater kecil, kelas muzik serta restoran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 9:21 AM