KEBUN permakukultur yang direka seperti taman indah.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


PENGGUNAAN baja kimia dalam pertanian sejak bertahun-tahun lamanya menyebabkan kemerosotan kualiti tanah dan menjejaskan ekosistem. Daripada pencemaran air dan udara sehingga ke pengasidan serta pengurangan mineral tanah, baja kimia memainkan peranan dalam mengakibatkan kemusnahan alam sekitar, pertanian selain industri makanan.

Sehubungan itu, seruan untuk menyokong prinsip permakultur iaitu satu amalan yang lestari digunakan bagi menghasilkan tanaman atau menguruskan kebun dengan cekap dilihat bertepatan dengan masa dan kesesuaiannya pada hari ini.

Malah, reka bentuk kebun permakultur juga boleh dianggap unik kerana selain membekalkan bahan makanan mentah, ia juga umpama taman tempat beriadah dengan susunan tanaman yang teratur. Anda tidak perlukan halaman yang luas, biarpun memiliki tanah kecil tetapi yang penting gunakan daya kreativiti mengikut pendekatan permakultur.

Menurut pakar dari Australia, Rosemary Morrow dalam satu kenyataan, landskap permakultur menawarkan hasil lebih besar dan lebih baik dengan penggunaan kerja, masa dan sumber yang kurang. Menggunakan kaedah permakultur, anda boleh merancang ruang yang bermanfaat, cantik dan produktif tanpa perlu bekerja berjam-jam atau menggunakan racun perosak toksik atau baja kimia.

“Daripada mengehadkan kebun hanya untuk satu kegunaan, kebun permakultur menyediakan tumbuhan untuk makanan, perubatan dan habitat haiwan, di samping menawarkan suasana persendirian dan ruang santai. Bukan saja sayuran atau pokok buah-buahan, pokok bunga juga boleh ditanam secara berselang-seli dalam memperindahkan landskap.

“Berbeza dengan perladangan konvensional, permakultur yang juga singkatan kepada ‘permanent agriculture’ adalah bersandarkan pada konsep menggunakan tumbuhan yang sesuai di tanah dengan mengambil kira iklim asal negara yang terbabit.

“Dalam erti kata lain, konsep ini memberi tumpuan kepada menanam pokok yang paling sesuai untuk persekitaran setempat. Contohnya, iklim kering dan panas menyokong flora yang berlainan daripada iklim sejuk. Inti pati permakultur mengamalkan beberapa pendekatan untuk memastikan pertanian dilakukan dengan cara yang mampan atau lestari sambil menghasilkan tanaman yang berkualiti tinggi,” katanya.

Rosemary berkata, secara umum permakultur memperbaiki keadaan tanah dan menyediakan jalan produktif untuk sisa isi rumah. Daripada sisa dapur ke produk kertas, semua ini boleh digunakan semula bagi meningkatkan biodiversiti dan pada masa yang sama menghasilkan makanan sihat.

“Taman permakultur akan memulihkan pemahaman kolektif terhadap tanaman. Ia menjelaskan mengapa produk organik adalah lebih baik daripada sekadar label dan kenapa ia penting kepada persekitaran.


NARSANNA memberi penjelasan penggunaan bahan kitar semula dalam kebun permakultur.

“Permakultur adalah lambang ke arah pemuliharaan alam sekitar dengan cara yang mampan sambil menghasilkan makanan yang berkualiti untuk rakyat. Melalui konsep ini, manusia akan menjadi lebih seiring dengan alam ini kerana untuk bertahan untuk jangka masa yang panjang, kita mesti secara kolektif berusaha bagi mewujudkan masa depan yang mampan yang sama-sama adil dan makmur,” katanya.

Oleh itu, Universiti UCSI menerusi sekretariat Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menjemput empat pakar dari Australia dan India untuk menjalankan satu siri latihan dalam kursus reka bentuk permakultur selama 20 hari bermula 17 Jun lalu di Kolej UCSI kampus Kuala Lumpur.

Program sepanjang dua minggu itu dianjurkan The Blue Ribbon Global dan disokong oleh Permaculture for Refugees (P4R) dan Aranya Agriculture Alternative, India. Empat pakar berkenaan turut membabitkan Morrow, Greta Carroll, Kat Lavers masing-masing dari Australia dan Narsanna Koppula dari India.

Pada 2017, pihak universiti berkenaan memulakan sebagai pemacu bersepadu untuk mempromosikan kemampanan atau kelestarian bukan saja di universiti, malah di semua anak syarikat UCSI Group. Sebagai universiti swasta pertama dan satu-satunya di Malaysia yang diiktiraf sebagai Pusat Kepakaran Serantau (Regional Centre of Expertise) oleh Universiti Bangsa-Bangsa Bersatu, UCSI diamanahkan untuk memperjuangkan SDG PBB di peringkat tempatan.

UCSI menerajui enam inisiatif yang menumpukan pada Pendidikan Kualiti (SDG 4), Air Bersih dan Sanitasi (SDG 6), Bandaraya dan Masyarakat Lestari (SDG 11), serta Kehidupan di Darat (SDG 15). Ini membabitkan tanah yang memberi kesan kepada masyarakat luar bandar dan bandar serta mening

katkan literasi kemampanan komuniti yang kita hadapi.

Teknik permakultur memfokuskan kepada pembinaan tanah secara beransur-ansur bagi menjadikannya lebih kaya dengan nutrien yang seimbang bagi mewujudkan ekosistem yang mampan.

Terdapat 12 prinsip reka bentuk permakultur yang tertumpu kepada penggunaan alam semula ja

di sebagai manual atau panduan dalam mereka bentuk atau menghasilkan ladang yang cekap menepati kehendak manusia, di samping memelihara alam semesta.

Ia termasuk menggunakan tadahan air hujan untuk menyiram tumbuhan, mengkompos sisa makanan daripada dapur untuk haiwan seperti cacing dan pengudaraan bertujuan memulihkan tanah yang pada akhirnya dapat membantu memperbanyakkan hasil

makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 12:28 PM