MEMUDAHKAN simpanan barang apabila bekas dilabel.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


DAPUR antara ruang yang banyak diluangkan masa bagi kebanyakan penghuni wanita untuk menyediakan juadah harian buat seisi keluarga.

Sejak dulu, fungsi ruang dapur bukan sekadar tempat memasak, sebaliknya menjadi lokasi bersantai dan makan hingga tiada berbeza dengan ruang tamu.

Namun cabaran ruang dapur untuk kediaman masa kini ialah saiznya. Biasanya ruang ini hanya boleh memuatkan dua hingga tiga orang pada satu masa.

Situasi ini menyebabkan terdapat keperluan untuk si penghuni bertindak bijak memanfaat-kan setiap ruang dapur khususnya dalam aspek penyusunan barang dan perkakas termasuk bekas rempah atau stesen penyediaan air bagi memastikan kawasan yang terhad ini tampak teratur serta kemas.

HAFIZA menyusun mengikut kekerapan ia digunakan.

Menurut Pengasas Dunia Deko yang juga peminat hiasan dalaman, Noor Hafiza Mohamad, ruang dapur antara ruang kegemarannya disebabkan hobinya yang gemar memasak selain menyimpan nostalgia keluarga di kampung apabila kerap berkumpul bersama di ruang berkenaan.

“Jika di kampung halaman, rumah kampung biasanya mempunyai dapur yang luas untuk memuatkan seisi keluarga tetapi cabaran rumah di bandar seperti kediaman disewa saya bersama suami ketika ini ialah apartmen tiga bilik.

“Jadi pada kediaman bertingkat biasanya ruang dapur sangatlah terhad. Mujurlah di dapur ada sedikit ruang di bahagian belakang yang saya jadikan stor penyimpanan selain bilik dobi.

“Perkakas dapur besar dan bahan memasak yang jarang digunakan saya letakkan dalam bekas plastik yang tertutup. Meskipun barang ini tersusun cantik, cabaran seterusnya ialah mengetahui kembali isi kandungan yang diletakkan dalam bekas tertutup dan berwarna pula.

“Kemudian datang inspirasi iaitu aktiviti melabel semua bekas simpanan. Saya lakukan sendiri iaitu menggunakan bantuan komputer untuk hasilkan rekaan label sesuai, lalu cetak di kedai dengan kertas pelekat yang berkilat.

TAMPAK eksklusif apabila balang kaca kosong dihias dengan pelekat.

“Saya lihat ia memberi perubahan kepada susun atur bekas di dapur dan memberi kebaikan lain iaitu memudahkan pencarian barang dalam tempoh singkat.

“Selain itu, rumah saya sering menjadi persinggahan ahli keluarga dari kampung. Melekatkan label pada setiap barang memudahkan mereka menggunakan kemudahan di dapur dengan mudah,” katanya.

Idea penggunaan pelekat pada bekas makanan itu dikongsikan bersama teman dalam Facebook, mula mendapat permintaan dan sejak setahun lalu ia dilihat sebagai aksesori dapur.

“Mengenai pelekat, dulu saya taip sendiri dan pilih rekaan mudah pada material jenis kertas. Jadi saya perasan ia tidak fleksibel kerana kerap koyak dan mudah rosak.

“Jadi saya beralih pada material jenis plastik dan mendapati ia tahan lasak dan boleh dialih pada bekas lain.

“Kebaikan melabel bukan saja membantu penyusunan barang lebih baik, malah ia bagaikan perkongsian pengetahuan asas berkenaan pelbagai rempah-ratus dan ramuan masakan,” katanya.

Berkongsi tip berkenaan penyusunan barang di dapur, tambah Hafiza, sebaik-baiknya bahan masakan yang sering digunakan perlu berada di kedudukan mudah dicapai selain tidak meletakkan bekas atau balang kaca di tempat yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 11:48 AM