Terdapat 3 susunan atau konsep boleh dilakukan untuk dekorasi meja konsol. FOTO Supian Ahmad
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


PUAS meraikan Aidilfitri di kampung halaman, kini tiba masa k hususnya bagi warga kota meraikan sanak saudara, sahabat handai dan rakan pejabat menerusi rumah terbuka.

Sudah tentu, dekorasi kediaman menjadi perkara utama selain juadah yang bakal disajikan termasuk di dalam bajet anda.

Ruang tamu dan ruang meja makan antara yang diberi perhatian utama kerana kebiasaannya kedua-dua kawasan ini sering menjadi tempat bersantai tatkala tetamu menikmati juadah.

Namun dalam pemilihan hiasan dan dekorasi bersesuaian, sebahagian besar pemilik rumah sering memilih rutin tipikal seperti menukar langsir, sarung kusyen, permaidani dan perabot saban tahun.

Sedangkan dalam situasi ekonomi tidak menentu sekali gus menggalakkan ke arah langkah penjimatan perbelanjaan, sebenarnya hanya memerlukan idea dekorasi yang sesuai.


CONTOH gaya M pada meja konsol iaitu lampu tinggi diletakkan di tepi sementara balang dan dulang pada ruang tengah. FOTO Supian Ahmad

Pengasas dan Perunding Hiasan Dalaman Mamyhome Renovation, Mohd Amin Mohd Yussof mengakui betapa pentingnya pemilik kediaman mengetahui panduan dan tip dekorasi tertentu bagi mengelak pembaziran.

“Penting untuk pemilik kediaman meneliti panduan tertentu dalam menatarias kerana dengan ilmu kita dapat mencegah pembaziran.

“Menerusi tip yang dikongsi, kita berharap standard cita rasa masyarakat negara ini juga meningkat selain mengetengahkan nilai adab dan secara tidak langsung membuatkan mereka lebih menghargai elemen kreatif yang ada dalam hiasan dalaman itu sendiri.

“Bonus buat mereka (pemilik kediaman) yang mempunyai pengetahuan berkenaan ruang kediaman supaya tampak lebih tenang dan membuatkan penghuninya lebih bahagia,” katanya.

Sempena rumah terbuka sepanjang Syawal ini, Mohd Amin berkongsi mengenai fokus hiasan dua sudut atau ruang iaitu meja konsol dan meja kopi yang sering diabaikan.

Bersandarkan kepada prinsip hiasan dalaman seperti kemasan iaitu kaedah digunakan, fungsi, pencahayaan selain elemen hijau bertujuan menyeimbangkan hiasan sedia ada agar tampak lebih mesra.


PALING tinggi diletakkan pada tengah meja konsol. FOTO Supian Ahmad

"Saya kongsikan idea tatahias membabitkan ruang meja konsol dan meja kopi kerana biasanya tuan rumah akan tempatkan juadah kuih raya serta stesen air di situ.

"Ruang ini turut memfokuskan kepada tetamu dan andainya tuan rumah menata hiasnya dengan betul, pastinya rumah terbuka yang diadakan kali ini lebih bermakna," katanya.

Berkenaan dekorasi meja konsol pula Mohd Amin berkata, terdapat tiga susunan atau konsep boleh dilakukan iaitu gaya A, M dan bufet.

"Susunan barang pada meja konsol, kita tampilkan mengikut corak huruf dan fungsi tertentu supaya tetamu lebih selesa dan tertarik terhadap ruang berkenaan.

"Gaya A memfokuskan mata pengunjung kepada ruang tengah dengan susunan barang berbentuk A atau piramid. Bermula dengan objek tinggi sebagai 'tiang seri' iaitu di tengah-tengah meja. Selalunya kita letak pokok hiasan bersaiz tinggi.

"Untuk meja konsol bersaiz 2.5 meter, saya menggunakan pasu tinggi dan pokok hiasan merimbun hijau. Bagi pilihan pokok dan pasu pula, sebaiknya kedua-duanya tidak melebihi paras 1.6 meter iaitu paras mata. Kemudian kita seimbangkan kedua-dua sisi objek 'tiang seri' dengan aksesori yang ketinggiannya menurun apabila mendekati penjuru meja.


KETINGGIAN antara elemen untuk tentukan susunan barang. FOTO Supian Ahmad

"Aksesori termasuk balang kuih, bingkai gambar dan lampu hiasan dilihat sesuai dengan konsep diingini penghuni," katanya.

Bagi konsep M pula, biasanya digayakan pada dinding meja konsol yang sedia ada mempunyai aksesori tergantung pada panel dinding seperti cermin dan bingkai gambar.

"Sementara susunan M pula, kedua-dua sisi konsol meja biasanya diletakkan aksesori dekorasi tinggi seperti lampu atau balang kuih tinggi dan turutan menurun ke tengah meja.

"Jika objek atau aksesori hiasan tidak mempunyai ketinggian seimbang, kita akan gunakan barang tertentu seperti buku dan kotak kasut cantik untuk bantu tinggikan aras aksesori berkenaan.

"Kaedah ini kita panggil 'stacking' atau 'staging' dalam istilah hiasan dalaman," katanya turut menekankan lampu memberi pencahayaan baik kepada ruang jamu terbabit.


GAYA bufet iaitu dulang dan ketinggian memberi garis sempadan mengenai stesen makanan dan air. FOTO Supian Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 9:54 AM